BETO Kusyairy. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
BETO Kusyairy. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Syanty Octavia Amry

Dikenali dengan watak berat, pelakon Beto Kusyairy, 37, akui sebagai seorang pelakon dia tidak boleh terlalu memilih watak.

Sebaliknya, perlu lebih mencabar diri melakonkan apa juga watak diberikan walaupun ringan.

Aktor hebat ini sedar apabila sudah terbiasa dengan watak berat agak sukar untuknya menjayakan karakter ringan.

Namun itulah cabaran yang mesti dilalui insan seni dan ia perlu dilakukan demi membuktikan kemampuan diri kepada orang ramai.

“Memang mencabar menzahirkan watak ringan apabila orang sudah biasa melihat saya bawa karakter berat.

“Namun, pada saya jika kita faham jalan cerita dan watak, dibantu pula pasukan produksi yang bagus, ia tidak menjadi masalah,” katanya.

Terbaru, Beto bakal tampil dengan filem Bisik Pada Langit arahan Kabir Bhatia.

Walaupun filem itu berat dengan emosi dalaman, watak Beto tampak ringan.

“Memang watak saya dalam filem ini biasa saja kerana itu yang dimahukan oleh skrip. Saya sendiri perlu membawanya sesuai dengan skrip dan tidak boleh terlalu berlebih-lebih, bimbang jadi lain pula nanti,” katanya.

Selain itu, filem TV #TerobekRaya menunjukkan sisi berbeza Beto apabila dia melakonkan watak lelaki lembut malah turut menari.

“Saya sendiri tidak terfikir boleh terbabit dalam karya komedi seperti ini. Disebabkan sudah lama mengenali Johan, saya terima tawaran berlakon atas dasar kawan.

“Memang rasa pelik apabila kena jadi lelaki lembut dan ada babak saya perlu menari pula. Walaupun ada yang kata ‘kayu’ ia satu percubaan baru untuk saya,” katanya.

Dalam pada itu, Beto turut diberi peluang beraksi dalam drama bersiri Singapura berjudul Tok Kadi.

Siri itu mendapat sambutan hangat dan untuk musim kedua ia akan ditayangkan sebanyak 13 episod.

“Saya tidak sangka siri ini mendapat maklum balas positif dan orang Singapura suka menontonnya. Pada musim pertama ia ditayangkan sebanyak lapan episod.

“Saya memegang watak utama sebagai Tok Kadi. Siri ini mengisahkan kerjaya kadi,” katanya.

Harap Bisik Pada Langit diterima ramai

Jarang penonton disajikan filem bercorak kekeluargaan. Kalau ada pun boleh dibilang dengan jari termasuk filem Abang dan Redha.

Bisik Pada Langit sebuah lagi karya wajib tonton Kabir dan menjanjikan kepuasan maksimum.

Memegang watak sebagai Zaidi, abang kepada Siti Hajar lakonan Ummi Nazeera, Beto yakin filem ini mudah difahami dan dekat dengan penonton.

“Filem ini memaparkan kisah kehidupan realiti yang biasa berlaku dalam keluarga. Walaupun kisahnya santai, mesej yang ingin disampaikan sangat bermakna.

“Saya yakin penonton akan mudah faham dan mungkin juga akan sama-sama merasai kesedihan yang dilalui setiap watak.

“Sebagai pelakon saya harap dapat mendidik masyarakat melalui medium ini,” katanya.

Selain filem itu, Beto bakal terbabit dengan sebuah projek TV yang akan menggabungkan pelakon telefilem Kekasih Elektrik dan Aku, Dia dan Makhluk Asing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 3:19 AM