HASNISALFINA  menjahit songkok di premis Sri Warisan  di pekan Kuala Pilah.
HASNISALFINA menjahit songkok di premis Sri Warisan di pekan Kuala Pilah.
Amran Yahya


Kuala Pilah: Pekerjaan membuat songkok sinonim dengan aktiviti kaum lelaki namun bagi Hasnisalfina Mohd Yunus, 50, ia bukan halangan apabila mampu meneruskan legasi ditinggalkan arwah suaminya.

Katanya, dia belajar membuat songkok ketika mula berkahwin pada tahun 1992.

“Arwah suami membuka kedai songkok di Malay Bazar, Kuala Pilah sejak 60-an lagi dan ketika itu kedainya dikenali dengan nama M Yunus sempena nama suami Mohd Yunus Buyong.

“Ketika itu sambutan menggalakkan kerana kedai songkok ini satu-satunya premis menjual songkok yang terdapat di Kuala Pilah.

“Selepas suami meninggal dunia pada 2004, saya mengambil alih sepenuhnya kedai songkok ini dan kini dikenali dengan nama Sri Warisan dan beroperasi di Medan Selera Kuala Pilah,” katanya.

Hasnisalfina berkata, perniagaan membuat songkok sememangnya mendapat sambutan terutama menjelang Aidilfitri.

“Jumlah jualan meningkat pada musim perayaan berbanding hari biasa namun saya tidak mensasarkan jumlah tempahan.

“Ini kerana saya sentiasa menyediakan stok yang banyak mengikut saiz serta jenis songkok dan setiap masa memang tersedia antara 250 hingga 300 songkok.

“Harga songkok antara RM25 hingga RM75 bergantung jenis baldu dan saiz,” katanya.

Menurutnya, untuk menghasilkan songkok yang berkualiti ia memerlukan kepakaran dan kesabaran serta ketelitian.

“Sebab itu saya tidak mengambil pekerja kerana menjahit songkok adalah rumit dan perlu kemahiran demi kepuasan pelanggan.

“Jika diberi tumpuan sepenuhnya, saya mampu menyiapkan sepuluh songkok sehari. Bagaimanapun, jika stok songkok mencukupi, saya akan membuat kerja sambilan iaitu menjahit baju.

“Antara baju yang saya jahit adalah baju kurung, kebaya, baju Melayu dan kemeja lelaki,” katanya ditemui di kedainya.

Hasnisalfina berkata, tidak dinafikan permintaan songkok semakin hari semakin menurun disebabkan peredaran zaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 7:34 AM