SUELE yakin enam mata bukan jurang besar penentuan kejuaraan Dortmund dalam saingan Bundesliga. FOTO/AGENSI
SUELE yakin enam mata bukan jurang besar penentuan kejuaraan Dortmund dalam saingan Bundesliga. FOTO/AGENSI
AFP

BERLIN: Bayern Munich yakin mereka mampu mengejar pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund apabila juara Jerman itu memulakan babak kedua musim ini dengan menentang Hoffenheim di tempat lawan pada awal pagi Sabtu.

Buat kali pertama sejak Januari 2011, Bayern gagal berada di puncak liga selepas tamat rehat musim sejuk apabila mereka ketinggalan enam mata di belakang Dortmund tetapi skuad Niko Kovac kekal yakin mampu memintas pencabar dan menjuarai trofi Bundesliga buat kali ketujuh.

"Tiada siapa di sini yang tak yakin kami mampu muncul juara. Jurang enam mata bukan penamat perjuangan,” kata pertahanan, Niklas Suele yang dijangka bergandingan dengan Jerome Boateng di pertahanan tengah selepas ketiadaan Mats Hummels.

“Tiada lebih menarik minat kami selain menjuarai liga,” menurut kapten Manuel Neuer selepas Bayern menewaskan Borussia Moenchengladbach menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final kejohanan mini empat pasukan di Duesseldorf.

Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic pula menganggap pengalaman sangat penting dan mereka mempunyai pasukan yang sangat berpengalaman menikmati kejuaraan.

Bekas kapten Jerman dan legenda Bayern, Lothar Matthaeus berkata, kejuaraan bakal ditentukan oleh pasukan yang mampu menyesuaikan diri dengan peranan baru dalam pemburuan liga.

"Dortmund diburu dan Bayern adalah pemburu,” katanya. “Ini adalah tugas baru kedua-dua kelab. Siapa yang mampu menguasainya akan muncul juara.”

Dortmund pula berdepan misi getir menentang RB Leipzig di tempat lawan pada awal pagi Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 11:37 AM