HUSSIN menunjukkan kakinya yang terkena jerangkap samar. Gambar kanan, Hussin diraikan ketika berkhidmat dalam angkatan tentera. FOTO Nazri Abu Bakar
HUSSIN menunjukkan kakinya yang terkena jerangkap samar. Gambar kanan, Hussin diraikan ketika berkhidmat dalam angkatan tentera. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: “Saya tak pernah serik bercerita kisah penuh derita ketika negara diancam kekejaman komunis pada era 60-an dan 70-an lalu,” kata bekas komando Hussin Mahbeb, 68, yang kini cacat seumur hidup akibat terkena jerangkap samar dalam operasi menghapuskan pengganas komunis pada 1976.

Hussin berkata, walaupun keadaan diri kurang sempurna akibat pergelangan kaki kirinya putus dalam Ops Gubir 2 namun dia tetap cekal memberi ceramah kepada pelajar sama ada di sekolah rendah dan menengah sekitar negeri ini kerana mahu memberi pengetahun kepada mereka mengenai keperitan hidup pada zaman itu.

Bekas anggota komando Rejimen Gerak Khas Kem Sungai Udang itu berkata, jika perlu dia bersedia menceritakan kepada umum mengenai perjuangan getir anggota pasukan keselamatan dalam memastikan negara bebas daripada ancaman komunis pada era terbabit.

Katanya, dia sering dijemput berceramah pada majlis khas bekas tentera bersama komuniti, malah turut diundang berceramah di sekolah sama ada dalam negeri atau luar Melaka termasuk di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Terbaru pada 15 September ini, saya berceramah di Sekolah Kebangsan (SK) Serkam, Jasin. Sebelum ini di Sekolah Menengah Teknik Cheras (Kuala Lumpur), SK USJ 20 (Selangor) serta SK Kem Terendak II, SK Kem Sungai Udang, SK Malim dan Sekolah Menengah Seri Tanjung (Melaka).

“Tiada bayaran tertentu dikenakan apabila dijemput berceramah. Saya ikhlas meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi Y. Apa yang menggembirakan dan membanggakan saya, setiap ceramah mendapat perhatian dan maklum balas positif daripada pendengarnya termasuk guru dan ibu bapa,” katanya.

Menyentuh operasi yang disertainya hingga putus pergelangan kaki kiri akibat terkena jerangkap samar komunis, Hussin menganggap takdirnya sudah tertulis begitu walaupun berusaha mengelak ratusan jerangkap samar ditanam komunis.

Hussin yang menetap di Taman Sungai Udang, di sini, berkata, kejayaan Ops Gubir 1 dalam membanteras komunis menjadi pembakar semangat kepada dirinya dan rakan lain untuk terus menggempur kubu persembunyian komunis yang mengancam keselamatan negara.

Katanya, mereka diterbangkan ke kawasan hitam menaiki helikopter bersama lapan anggota dalam empat kumpulan dan dia berada dalam kumpulan melakukan serangan awal.

“Malang buat saya apabila terpijak jerangkap samar menyebabkan saya tercampak sejauh beberapa meter sehingga pergelangan kaki kiri hancur dari bawah buku lali.

“Waktu itu, tak dapat digambarkan betapa sukarnya saya dalam keadaan cedera mahu keluar dari medan perang. Saya berperang dengan diri sendiri, menahan sakit, apa lagi perlu bergerak dan mengelak serang hendap sebelum sampai ke Hospital Alor Setar (Kedah) menaiki helikopter.

“Selepas itu saya dipindahkan ke Hospital Sungai Udang dan terlantar lebih setahun,” katanya yang bangga dengan sokongan isterinya, Roaini Abe serta anak-anak.

Katanya, walaupun pernah melalui peristiwa hitam api perjuangan dalam dirinya sedikit pun tidak padam, malah lebih bersemangat bertugas dalam tentera hingga bersara sebagai Pegawai Waran 2 pada 1992.

Berdasarkan jasa dan pengorbanannya, Hussin dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) 2013, selain Bentara Angkatan Tentera Malaysia dan Kurnia Perutusan Keberanian (KPK).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 5:28 AM