Yaacob menunjukkan tangan besinya. FOTO Muhammad Rasul Azli Samad dan Nazri Abu Bakar.
Yaacob menunjukkan tangan besinya. FOTO Muhammad Rasul Azli Samad dan Nazri Abu Bakar.
Salman Hamat dan Nazri Abu Bakar


SEMANGAT komando, bukan saja menjadikan Yaacob Hassan, 65, tabah malah mampu berdikari dengan bekerja sebagai tukang kayu walaupun pergerakannya terbatas akibat pergelangan tangan kanan putus terkena jerangkap samar.

Pengalaman berkhidmat sebagai komando juga menjadikan Yaacob seorang yang kreatif di mana dia mencipta ‘tangan besi’ disarung pada tangan kanan untuk dijadikan tukul bagi memaku serta pengetuk pahat.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, pergelangan tangan kanannya putus terkena jerangkap samar ketika memburu pengganas komunis pada Ops Gubir 2, pada 21 April 1976.

“Peristiwa itu sedikit pun tidak beri kesan pada saya, komando ajar saya untuk berdikari. Kalau nak harapkan orang, berapa lama boleh bertahan, malah badan saya masih sihat, jadi lebih baik berusaha atau bekerja.

“Selepas dirawat dan kembali ke kem, saya ditugaskan menjaga stor senjata namun agak kekok mengendalikan senjata kerana sebelah tangan kudung, berikutan itu saya minta pindah ke bahagian bengkel perkayuan tetapi permohonan pertama ditolak.

“Saya terfikir untuk buat tangan besi ini yang boleh digunakan sebagai tukul dan pengetuk pada September 1985. Rakan bantu saya mengimpal besi ditemui berhampiran bangunan lama dalam kem dan terhasillah tangan besi ini yang digunakan hingga kini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanah Merah, Pantai Puteri hari ini.

Veteran komando itu berkata, tangan besi seberat kira-kira dua kilogram itu banyak berjasa kepadanya terutama ketika dia mengambil upah membuat rumah atau perabot sebagai pendapatan sampingan walaupun menerima pencen bulanan.

Yaacob menganggarkan, upah melakukan kerja kayu diterima yang dilakukan menggunakan tangan besi itu sejak lebih 30 tahun lalu berjumlah lebih ratusan ribu ringgit.

“Kalau tangan besi ini tak ada, memang sukar saya nak buat kerja seperti mengetuk paku dan pahat. Walaupun berat namun saya sudah biasa, syukur kerana saya masih mampu melakukan kerja-kerja berkenaan melalui kudrat serta kemahuan.

“Memang benar semangat komando masih tebal menjadikan saya berani mencuba. Namun saya seboleh-bolehnya mengelak daripada menggunakan peralatan elektrik ketika bertukang, risau jika terkena renjatan elektrik,” katanya.

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Batin dalam kalangan veteran komando berkata, selepas bersara daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dia mula berjinak dalam bidang pertukangan dan kekal sehingga kini.

“Saya bangga kerana masih ramai yang datang untuk mendapatkan khidmat saya sekali gus membuktikan sifat rajin selain kemahuan mampu melakukan pelbagai perkara walaupun tangan kudung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 5:34 PM