AALIYAH mengumpul keseluruhan 2,678 mata dalam acara slalom di Kompleks Sukan Air, Presint 6, Putrajaya.
AALIYAH mengumpul keseluruhan 2,678 mata dalam acara slalom di Kompleks Sukan Air, Presint 6, Putrajaya.
Haika Khazi


PELUNCUR air negara Aaliyah Yoong Hanifah bersyukur kerana masih mampu mempertahankan pingat emas biarpun demam dan menahan sakit belakang ketika beraksi di final acara Overall ski air Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Tasik Putrajaya, hari ini.

Aaliyah muncul juara keseluruhan selepas mengumpul pungutan mata tertinggi selepas bertanding dalam tiga disiplin berbeza iaitu slalom, trick dan jump.

Peluncur air berusia 14 itu muncul pemenang pingat emas selepas mengumpul keseluruhan 2,678 mata dalam acara slalom (803.03 mata), trick (1,000 mata) dan jump (875.86 mata).

Perak dimenangi atlet Indonesia Nur Alimah Priambodo dengan 1,874.41 mata manakala rakan senegaranya Rossi Amir mengutip gangsa dengan 1,232 mata.

Aaliyah ketika ditemui berkata, dia gembira dan berpuas hati kerana segala pengorbanan dan usahanya termasuk menahan sakit belakang dan mengalami demam berbaloi selepas berjaya menyumbangkan emas pertama dalam acara ski air kepada Malaysia.

"Emas ini amat bermakna bagi saya bukan hanya kerana dapat mempertahankan emas yang dimenangi di Sukan SEA Singapura 2015, tetapi ia amat berharga selepas pelbagai dugaan dan tekanan yang saya hadapi sebelum perlumbaan bermula sebelum ini.

"Saya amat gembira kerana masih mampu menang emas biarpun terpaksa menahan sakit belakang dan mendapatkan suntikan untuk meredakan demam panas yang dihadapi sejak beberapa hari lalu," katanya.

Aaliyah berkata, dia juga berharap kemenangan itu dapat membantu meniupkan semangat kepada dirinya dan atlet ski air serta wakeboard Malaysia untuk terus mencipta kejayaan di Sukan SEA kali ini.

Menurutnya, dia juga akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan emas acara trick yang dimenanginya di Sukan SEA Singapura 2015.

"Saya juga akan melakukan yang terbaik untuk menang sekurang-kurangnya perak dalam acara jump di Sukan SEA kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 3:59 PM