TUNKU Imran (dua dari kiri) menyerahkan tajaan biasiswa bernilai  RM1.1 juta kepada Aaliyah Yoong bagi membolehkan terus menjalani latihan luncur air berkelas dunia di Florida Southern College. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
TUNKU Imran (dua dari kiri) menyerahkan tajaan biasiswa bernilai  RM1.1 juta kepada Aaliyah Yoong bagi membolehkan terus menjalani latihan luncur air berkelas dunia di Florida Southern College. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ratu ski air negara dan peluncur nombor satu Asia, Aaliyah Yoong Hanifah hari ini menerima biasiswa bernilai RM1.1 juta daripada Yayasan Sime Darby (YSD) untuk melanjutkan pelajaran ke Florida, Amerika Syarikat (AS) mulai Januari tahun depan.

Aaliyah akan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi di Florida Southern College yang juga kolej berprestij dengan kemudahan canggih dan melahirkan pemain ski bertaraf dunia.

Pengerusi YSD, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar berkata, pemberian biasiswa lima tahun itu akan menyokong Aaliyah untuk meneruskan kedua-dua aspirasinya menjadi pemain nombor satu dunia dalam sukan air dan impiannya untuk memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi.

"YSD kagum dengan semua pencapaian Aaliyah di peringkat antarabangsa pada usia sangat muda yang menunjukkan potensinya yang tinggi, dan kami menganugerahkannya dengan biasiswa ini. Tidak ramai yang dianugerahkan biasiswa berprestij daripada YSD ini.

"Beliau (Aaliyah) benar-benar memberi inspirasi kepada kita semua, dan beliau sedang menuju menjadi peluncur nombor satu dunia dalam sukan ski air," katanya dalam ucapan semasa sidang media 'Aaliyah Yoong's Journey to be World Champion' (Kembara Aaliyah Yoong menjadi Juara Dunia) di Kuala Lumpur Golf & Country Club, di sini, hari ini.

Sementara itu, Aaliyah yang memenangi pingat gangsa dalam Trik Wanita Terbuka di Sukan Dunia 2022, sekali gus muncul sebagai pemain ski air pertama Malaysia yang meraih pingat di Sukan Dunia menyifatkan pendidikan adalah penting untuk kemajuan dan kejayaan sukannya.

"Saya meminati sukan dan bercita-cita untuk menjadi seorang daripada ramai yang telah membawa perubahan kepada dunia melalui kuasa sukan.

"Saya ingin dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang akan meningkatkan pembangunan sukan di negara ini dengan penekanan kepada psikologi sukan," kata atlet berusia 19 tahun itu.

Aaliyah mula terbabit dalam sukan ski air seawal usia lima tahun dan memperoleh pingat emas pertamanya di Sukan Sea 2011 ketika berusia lapan tahun dan mengumpul sejumlah enam emas setakat ini.

Dia kini menduduki tempat pertama di Asia dalam slalom, tricks, lompatan, dan overall selain menduduki tempat ke-3 di dunia bagi kedua-dua kategori Bawah 21 tahun dalam kategori overall dan tricks.

Beliau yang juga Bintang Sarjana dan Duta YSD turut meningkat secara progresif dalam ranking global International Waterski & Wakeboard Federation (IF), iaitu daripada tangga ke-19 kepada tangga ke-11 dalam kategori Women Overall setakat November tahun ini.

Pada 2023, Aaliyah akan memulakan kempennya dalam Moomba Masters di Melbourne, Australia pada Mac dan menyertai dua kejohanan dunia B21 di Mexico pada Jun sebelum bertanding di kejohanan terbuka dunia di Florida pada Oktober.

Untuk rekod, penerima Anugerah Biasiswa Bintang YSD sebelum ini termasuk pelumba basikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan pemain golf Kelly Tan kerana kedua-duanya disokong dalam usaha akademik sambil cemerlang dalam bidang olahraga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 7:28 PM