PUAN Khadijah Abdul Rahman, ibu Adam menyarung cincin ke jari manis Yuna. FOTO ihsan Yuna
PUAN Khadijah Abdul Rahman, ibu Adam menyarung cincin ke jari manis Yuna. FOTO ihsan Yuna
Sofiatul Shima Wan Chik


PENYANYI tempatan bertaraf antarabangsa Yuna Zarai selamat bertunang dengan jejaka pilihannya Adam Yousof Mohamed Sinclair, petang tadi.

Yuna, 30 mengesahkan berita ini melalui siaran akhbar yang diberikan kepada media.

"Syukur Alhamdulillah, majlis pertunangan kami berjalan dengan lancar. Majlis kami dihadiri keluarga terdekat dan rakan-rakan karib. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat yang selalu mendoakan kebahagiaan saya.

Berkat doa mereka, hari ini saya selamat bertunang dengan Adam Sinclair," kata Yuna.

Menurutnya, acara pertunangan ini dilangsungkan di kediaman ibu bapa Yuna di Shah Alam.

Pasangan yang memakai busana Hatta Dolmat, mula berkenalan pada awal 2013. Adam, 32, adalah adik pelakon Ashraf Sinclair.

Pasangan ini mula merancang untuk ke arah lebih serius pada 2015 dan kemudian upacara merisik diadakan pada 27 Mac 2017.

Menurut Yuna, ini merupakan saat yang sangat manis baginya kerana ini langkah pertama mereka untuk hidup bersama.

"Saya sangat bersyukur berjumpa denganseorang lelaki yang sangat penyayang dan baik hati. Percaturan Allah itu memang sungguh indah."

"Adam merupakan rakan karib saya dan sepanjang perkenalan kami dia telah mewarnai hidup saya dan membuat saya tersenyum dan ketawa,” katanya.

Berita berkaitan

Kiasan 'Yuna kecil atas pelamin'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 5:04 PM