Gambar lama Yuna dengan Adam. FOTO YUNA
Gambar lama Yuna dengan Adam. FOTO YUNA
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : Penyanyi popular Yuna terkejut apabila didakwa sudah mengikat tali pertunangan dengan teman lelakinya Adam Sinclair yang tular di laman sosial, sejak semalam.

Yuna, 30, yang kini berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) tidak menyangka gambar lama yang diambil bersama Adam yang juga adik kepada pelakon Ashraf Sinclair itu akan mencetuskan spekulasi mereka sudah bertunang.

Yuna dalam kenyataan menerusi pengurusnya, Nor Zaina Wardah atau Wawa berkata, gambar mereka berpakaian sedondon yang tersebar di laman sosial itu adalah gambar lama yang diambil pada 25 Disember tahun lalu.

"Gambar itu diambil ketika mereka menghadiri majlis perkahwinan pemuzik, AG Coco sebelum ini.

Kalau tidak percaya, peminat boleh tengok gambar itu di Instagram Yuna kerana AG turut bergambar bersama mereka," katanya. Wawa berkata, Yuna juga mengakui dirinya tidak mampu untuk mengelak gosip seperti itu daripada tersebar di laman sosial.

"Yuna tidak marah, cuma dia terkejut saja dengan gosip itu.

Setakat ini, Adam juga tidak ada keluarkan sebarang komen mengenai gosip yang mendakwa mereka bertunang itu," katanya.

Ditanya sejauh mana hubungan Yuna dengan Adam yang juga seorang penerbit itu, Wawa berkata,mereka memang sudah lama berkawan.

"Mereka makin rapat sejak setahun lalu dan kini dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Buat masa ini, Yuna memang sibuk dengan kerjayanya dan belum ada perancangan untuk berkahwin dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Wawa berkata, Yuna juga baru pulang ke Malaysia tiga hari lalu dan akan berada di sini sehingga Sabtu dan kembali semula ke AS selama seminggu," katanya.

Gosip mendakwa Yuna bertunang bermula selepas penyanyi itu memuat naik gambar bersama Adam dengan berpakaian sedondon buat pertama kali di Instagram pada Disember lalu.

Yuna juga didakwa menerima lamaran Adam minggu lalu.

Spekulasi mengenai percintaan pasangan ini hangat diperkatakan sejak September 2015 apabila gambar mereka bersama Ashraf dan isterinya, Bunga Citra Lestari bercuti di Los Angeles tersebar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 4:34 PM