Najib melihat papan tanda selepas merasmikan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Istana Kehakiman Putrajaya. Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Najib melihat papan tanda selepas merasmikan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Istana Kehakiman Putrajaya. Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Mohd Husni Mohd Noor


MAHKAMAH Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang beroperasi di Istana Kehakiman, Putrajaya dirasmikan oleh Datuk Seri Najib Razak, pagi ini.

Idea penubuhan mahkamah itu dicetuskan Perdana Menteri sendiri yang diumumkan ketika beliau berucap pada Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak di Kuala Lumpur Mac lalu.

Mahkamah berkenaan yang diwujudkan ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, bahkan juga pertama di Asia Tenggara.

Ia bertujuan mempercepatkan tempoh pelupusan kes dan giliran bagi perbicaraan kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.

Dalam ucapannya Najib berkata, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak itu berbeza dengan Mahkamah Kanak-Kanak sedia ada, yang mengendalikan kes-kes membabitkan pelaku jenayahnya adalah kanak-kanak.

Bagaimanapun, katanya, mahkamah yang baru ditubuhkan itu, adalah untuk membicarakan kes-kes jenayah seksual yang mangsanya adalah kanak-kanak.

Dalam pada itu, beliau berkata, buat permulaan, mahkamah itu mendengar kes-kes yang berlaku di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurutnya, penubuhan mahkamah itu nanti akan diperluaskan secara berperingkat ke semua 13 negeri di seluruh Malaysia.

"Semestinya, mahkamah ini akan dikendalikan oleh seorang Hakim Kanan Mahkamah Sesyen yang berpengalaman luas dalam bidang kehakiman dan perundangan.

"Bukan itu sahaja, malah mahkamah ini akan turut mempunyai pendakwa raya yang memiliki kepakaran khusus, dalam jenayah seksual kanak-kanak," katanya pada majlis perasmian mahkamah berkenaan di Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 12:14 PM