AKSI  Lewandowski menjaringkan gol kemenangan Bayern.
AKSI Lewandowski menjaringkan gol kemenangan Bayern.
AFP

BAYERN Munich makin hampir menjulang kejuaraan berganda selepas pendahulu Bundesliga itu menewaskan Eintracht Frankfurt 2-1 dalam aksi separuh akhir Piala Jerman di Allianz Arena, awal pagi tadi.

Jaringan awal Bayern oleh Ivan Perisic disamakan pada babak kedua oleh pemain Frankfurt, Danny da Costa yang baharu masuk tiga minit dalam aksi berlangsung tanpa penonton itu.

Bagaimanapun, Robert Lewandowski memastikan kemenangan tuan rumah 16 minit sebelum tamat perlawanan untuk jaringan ke-45nya dalam semua kejohanan musim ini.

Bayern bakal berdepan Bayer Leverkusen yang mengatasi cabaran kelab divisyen empat, Saarbruecken 3-0, semalam pada final di Stadium Olimpik Berlin, 4 Julai depan.

"Kami selalu gagal membuat keputusan yang betul, kami sepatutnya mendahului tiga atau empat jaringan pada babak pertama seterusnya boleh memudahkan tugas kami," kata pemain Bayern, Thomes Mueller yang menghantar bola kepada Perisic untuk jaringan pembukaan.

"Anda dapat lihat kedua-dua pasukan kepenatan pada penghujung babak kedua namun kami tetap bersemangat dan bertahan dengan baik terutamanya mematahkan hantaran jauh lawan."

Bayern yang dikendalikan Hansi Flick mendahului tujuh mata dengan baki empat aksi liga boleh memastikan gelaran Bundesliga kelapan berturut-turut hujung minggu ini jika menewaskan Borussia Moenchengladbach dan pasukan di tangga kedua, Borussia Dortmund tewas kepada Fortuna Duesseldorf di tempat lawan.

Bagaimanapun, Bayern bakal beraksi tanpa Lewandowski dan Mueller selepas kedua-duanya digantung satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 7:53 AM