LEWANDOWSKI menjaringkan penalti Bayern. FOTO AFP
LEWANDOWSKI menjaringkan penalti Bayern. FOTO AFP
AFP

Munich: Juara bertahan, Bayern Munich mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) selepas menewaskan Lazio 2-1 pada saingan peringkat kedua 16 terakhir untuk kemenangan agregat 6-2 di Allianz Arena pagi tadi.

Robert Lewandowski meledak penalti sebelum Eric Maxim Choupo-Moting menggandakan jaringan pada babak kedua manakala gol Lazio menerusi tandukan Marco Parolo hasil sepakan percuma pada lewat permainan.

"Kemenangan ini sangat penting kepada kami. Sudah menjadi DNA kami untuk menang setiap perlawanan,'' kata pemain tengah Bayern, Joshua Kimmich kepada Sky.

"Kami beraksi penuh yakin walaupun bukan pada tahap sebenar. Tak sepatutnya kami melepaskan gol.''

Kemaraan mereka ke saingan lapan terakhir mengatasi catatan Barcelona yang tampil di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara sebanyak 18 kali sejak kejohanan itu dijenamakan semula daripada Piala Eropah.

Mereka melebarkan rekod tanpa kalah dalam saingan UCL kepada 19 perlawanan dalam tempoh dua tahun.

"Kami perlukan prestasi baik dan kami tersingkir dengan aksi yang positif,'' kata jurulatih Lazio, Simone Inzaghi. "Ada pasukan yang sukar diatasi, Bayern salah satu daripadanya."

Bayern diberikan penalti pada minit ke-31 selepas Vedat Muriqi menjatuhkan Leon Goretzka. Lewandowski menyempurnakannya untuk jaringan ke-39 dalam semua kejohanan musim ini dan kelima dalam saingan UCL.

Hasil hantaran David Alaba, Choupo-Moting memecut laju ke dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Lazio, Pepe Reina untuk gol kedua tuan rumah.

Lapan minit sebelum tamat, sepakan percuma Lazio Andreas Pereira ditanduk masuk Parolo yang tidak dikawal untuk gol sagu hati pasukannya.

Pertahanan Lazio, Francesco Acerbi berkata mereka beraksi lebih baik daripada saingan peringkat pertama namun mengakui Bayern salah satu pasukan terhebat dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 7:02 AM