MUTO bergambar sebelum ditemuramah AFP di Tokyo.
MUTO bergambar sebelum ditemuramah AFP di Tokyo.
AFP

Tokyo: Penganjur Sukan Olimpik tetap yakin temasya yang ditunda ke tahun ini dapat diadakan tetapi tidak menolak kemungkinan berlangsung tanpa penonton, menurut CEO Tokyo 2020, Toshiro Muto.

Muto turut mengakui rakyat negara itu bimbang dengan peningkatan kes koronavirus di seluruh dunia termasuk di Jepun yang menyaksikan darurat dikuatkuasakan di Tokyo.

Tetapi dia menegaskan Olimpik boleh diadakan walaupun tanpa mewajibkan atlet dan penonton mendapatkan vaksin dan masyarakat akan menyokong penganjurannya apabila situasi bertambah baik.

"Kami tidak membincangkan pembatalannya. Menganjurkannya adalah polisi kami dan pada masa ini kami tidak membincangkan selain daripada itu.''

Desas-desus pembatalannya menghantui temasya itu selepas 10 bulan pandemik memaksa penundaan kali pertama dalam sejarah Olimpik.

Sebelum itu, Naib Pengerusi Sukan Olimpik 2012, Keith Mills berkata kepada BBC, dia yakin Sukan Olimpik Tokyo tidak akan dapat diadakan manakala seorang bekas Olimpian terkenal mendakwa tidak munasabah menganjurkannya ketika ini.

Manakala dalam tinjauan di Jepun bulan ini mendapati 80 peratus membantah penganjuran temasya itu walaupun penganjur memperkenalkan protokol kesihatan lebih ketat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 10:14 PM