LUCILE Randon. FOTO AFP
LUCILE Randon. FOTO AFP
AFP

Marseille: Orang tertua di dunia, biarawati Perancis, Lucile Randon, meninggal dunia pada usia 118 tahun, kata seorang jurucakap memberitahu AFP pada Selasa.

Randon, dikenali sebagai Sister Andre, dilahirkan di selatan Perancis pada 11 Februari 1904, ketika Perang Dunia I masih berbaki sedekad lagi.

Dia meninggal dunia dalam tidurnya di Pusat Jagaan Warga Emas Toulon, kata jurucakap David Tavella.

"Ratapan dan kehilangan besar tetapi... ia adalah hasratnya untuk 'menyertai' abang tercintanya. Baginya, ia adalah pembebasan," kata Tavella, dari rumah jagaan Sainte-Catherine-Laboure, kepada AFP.

Randon sudah lama dinobatkan sebagai orang Eropah tertua. Kematian Kane Tanaka dari Jepun dalam usia 119 tahun pada tahun lalu menjadikan Randon sebagai orang yang paling lama hidup.

Rekod Dunia Guinness secara rasmi mengiktiraf statusnya itu pada April 2022.

Randon dilahirkan pada tahun semasa New York membuka kereta bawah tanah pertamanya dan apabila jelajah Tour de France hanya diadakan sekali.

Dia dibesarkan dalam keluarga Protestan, perempuan tunggal bersama tiga beradik lelaki yang tinggal di bandar selatan Ales.

Satu daripada kenangan terindahnya ialah kepulangan dua abangnya pada penghujung Perang Dunia I, katanya kepada AFP dalam temu bual pada hari lahirnya yang ke-116.

Wanita itu bekerja sebagai pengasuh di Paris iaitu tempoh yang pernah digelarnya sebagai masa paling gembira dalam hidup untuk berkhidmat kepada anak-anak keluarga kaya.

Kemungkinan besar, orang tertua Perancis kini adalah Marie-Rose Tessier berusia 112 tahun, seorang wanita dari Vendee, kata pakar umur panjang, Laurent Toussaint kepada AFP.

Tetapi Toussaint memberi amaran bahawa selalunya mungkin orang yang lebih tua belum lagi mendedahkan diri mereka.

Jeanne Calment, yang meninggal dunia pada 1997 di Arles, selatan Perancis, pada usia 122 tahun memegang rekod umur tertua yang disahkan dicapai oleh mana-mana manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 11:06 AM