KEVIN Sinfield bercakap pada sidang media menjelang pertemuan dengan Afrika Selatan, Ahad ini. FOTO AFP
KEVIN Sinfield bercakap pada sidang media menjelang pertemuan dengan Afrika Selatan, Ahad ini. FOTO AFP
AFP

Paris: Jurulatih pertahanan England, Kevin Sinfield berkata pasukannya 'kagum' dengan prestasi Afrika Selatan di suku akhir Piala Dunia Ragbi menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di peringkat separuh akhir, Ahad ini.

Springboks mengatasi tuan rumah, Perancis dengan hanya satu mata dalam pertemuan suku akhir yang cukup mendebarkan hujung minggu lalu untuk memastikan juara bertahan itu layak ke separuh akhir menentang England di Stade de France.

"Kami menyaksikan perlawanan itu dan kagum dengan faktor fizikal mereka," kata Sinfield kepada pemberita.

"Ia adalah persembahan yang bagus untuk ragbi. Kami amat menghormati mereka," tambahnya.

Aksi di ibu negara Perancis itu akan menjadi ulangan semula perlawanan akhir Piala Dunia 2019 di Jepun, yang menyaksikan Springboks menang 32-12.

England sudah menukar barisan kejurulatihan mereka dengan Steve Borthwick kini bertanggungjawab selaku ketua jurulatih selepas Eddie Jones dipecat Disember lalu.

Untuk Afrika Selatan, Rassie Erasmus beralih ke jawatan pengarah ragbi manakala Jacques Nienaber dinaikkan pangkat daripada pembantu kepada ketua jurulatih.

Rata-rata barisan pemain Springboks 2019 juga masih kekal beraksi termasuk kapten, Siya Kolisi, Cheslin Kolbe, Faf de Klerk dan Handre Pollard.

"Saya rasa ada yang masih mengingati kekalahan itu dan ada juga tidak mengendahkannya sama sekali kerana banyak yang sudah berubah dalam tempoh empat tahun ini," kata Sinfield merujuk kekecewaan pada final 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 9:54 AM