ANTARA makanan kaya vitamin D.
ANTARA makanan kaya vitamin D.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Ramai mengutamakan pengambilan vitamin C dalam diet harian kerana khasiatnya dapat meningkatkan sistem imun badan dan pelbagai manfaat lain terhadap kesihatan.

Hinggakan ada yang terlupa kepentingan vitamin D, sedangkan ia juga ialah elemen perlu ada dalam tubuh.

Disebabkan kealpaan itu juga, semakin ramai didiagnosis kekurangan vitamin D.

Timbalan Presiden Medical Mythbusters Malaysia, Dziehan Mustapa berkata, vitamin D diperlukan untuk membentuk tulang yang kuat kerana membantu resapan kalsium dalam diet.

"Vitamin D boleh dihasilkan oleh tubuh sendiri apabila kulit terkena cahaya matahari.

"Selain itu, ia (vitamin D) juga ada dalam bentuk semula jadi daripada pelbagai sumber makanan seperti sebahagian jenis ikan, minyak ikan, kuning telur, produk tenusu dan bijirin," katanya.

Beliau berkata, individu yang mengalami kekurangan vitamin D berkemungkinan disebabkan beberapa faktor iaitu kurang pendedahan kepada matahari kerana keluar rumah ke tempat kerja sebelum matahari terbit.

"Bangunan pejabat pula terlindung daripada cahaya matahari.

"Ditambah ada dalam kalangan lelaki dan wanita memakai krim kulit harian yang mengandungi perlindungan sinaran ultralembayung (UV).

"Ada juga yang kurang gemar atau alah kepada kepada makanan laut dan tidak mengambil produk tenusu," katanya.

Dziehan berkata, warga emas yang mengalami kekurangan vitamin D berpunca daripada keupayaan buah pinggang mereka untuk menukar vitamin D

kepada bentuk aktif sudah berkurangan dan itu meningkatkan risiko kekurangan vitamin berkenaan.

"Selain itu, individu obes yang memiliki indeks jisim tubuh (BMI) 30 atau lebih, turut sering mempunyai tahap vitamin D yang rendah dalam darah.

"Ini kerana vitamin D diekstrak daripada darah oleh sel lemak, menyebabkan pembebasannya ke dalam peredaran darah terganggu," katanya.

Menurut Dziehan, antara gejala kekurangan vitamin D ialah rasa sakit tulang dan lemah otot.

"Bagaimanapun, kebanyakan individu tidak ketara mengalami gejala itu.

"Meskipun tanpa gejala, tahap vitamin D yang rendah dalam tubuh sebenarnya meningkatkan risiko kesihatan seperti kematian akibat penyakit kardiovaskular, masalah kognitif orang dewasa dan serangan asma yang teruk dalam kalangan kanak-kanak," katanya.

Jelasnya, ujian darah boleh dilakukan untuk mengukur tahap vitamin D dalam badan.

"Tahap 20 nanogram (ng) atau mililiter (ml) hingga 50ng atau ml dianggap mencukupi bagi individu sihat.

"Rawatan untuk kekurangan vitamin D juga boleh dilakukan dengan cara mengambil lebih banyak vitamin itu menerusi diet atau produk makanan tambahan," katanya.

Kata Dziehan, doktor yang merawat akan menentukan dos vitamin D yang diperlukan individu berdasarkan keputusan ujian darah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 2:26 PM