BAYI sesak nafas perlu diberi perhatian serius.
BAYI sesak nafas perlu diberi perhatian serius.
ANTARA gejala CMPA ialah ekzema.
ANTARA gejala CMPA ialah ekzema.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Susu lembu terdiri daripada protein, gula lemak, vitamin, bahan galian dan air. Ada sebahagian kanak-kanak mempunyai sistem imunologi tidak normal yang bertindak balas kepada protein susu. Ini menghasilkan keadaan dipanggil alahan kepada protein susu lembu atau CMPA.

Tindak balas ini dicetuskan oleh sistem imunisasi tubuh kita dan oleh itu boleh menjejaskan pelbagai bahagian dalam tubuh seperti kulit, paru-paru dan usus.

Antara satu hingga lima peratus bayi mengalami alahan terhadap protein yang terdapat dalam susu lembu dan susu formula yang berasaskan susu lembu.

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, CMPA adalah berbeza daripada ketidaktahanan laktosa.

Ketidaktahanan laktosa berlaku apabila usus tidak boleh menghadam gula laktosa yang terkandung dalam susu yang akan menyebabkan cirit-birit.

Susu lembu adalah pengganti susu ibu yang utama. Oleh itu, ia menjadi penyebab alahan yang paling biasa dalam kalangan bayi. Kebanyakan bayi yang mengalami alahan kepada susu lembu akan sembuh apabila menjangkau umur tiga hingga empat tahun.

Bagaimanapun, bayi mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami CMPA berterusan, jika terdapat ahli keluarga lain yang mengalami masalah alahan. Bayi juga mengalami masalah alahan lain seperti asma, ekzema dan resdung (alahan rinitis).

Antara gejala CMPA pada kulit ialah ekzema iaitu kulit kering, merah dan gatal yang biasanya berlaku pada leher, pipi, pelipat siku dan lutut.

Selain itu bibir, muka dan mata juga boleh menjadi bengkak. Ada kala ia disertai ruam gatal. Gejala ini biasanya timbul sejurus selepas bayi diberikan susu lembu.

Gejala pada paru-paru pula adalah sesak nafas, pernafasan menjadi kasar (berdehit) manakala gejala di usus pula menyebabkan seseorang bayi mengalami cirit-birit, muntah atau najis berdarah.

Komplikasi dan tanda bahaya CMPA

Jika bayi mengalami gejala seperti sesak nafas, muka pucat ataupun biru, bibir atau lidah bengkak ataupun pengsan, bayi anda mungkin mengalami reaksi alahan yang teruk dipanggil kejutan anafilaksis. Keadaan ini adalah amat bahaya, ia boleh berlaku dalam masa beberapa saat atau minit selepas anak anda terdedah kepada bahan yang dia alah.

Anda perlu segera membawa anak ke klinik atau hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan serta-merta. Bahan kimia yang dihasilkan oleh

badan ketika kejutan anafilaksis boleh menyebabkan tekanan darah anak turun mendadak dan saluran pernafasannya pula membengkak sehingga si kecil sukar bernafas.

Bayi yang mengalami CMPA juga boleh mengalami masalah tumbesaran menjurus kepada berat badan yang meningkat secara perlahan ataupun tiada peningkatan berat badan.

Rawatan

Penyusuan susu ibu adalah langkah terbaik untuk mencegah CMPA. Berikan susu ibu secara eksklusif sekurang-kurangnya selama enam bulan pertama dan penyusuan ini boleh diteruskan sehingga bayi berusia satu atau dua tahun.

Jika memerlukan susu pengganti, adalah penting untuk mendapatkan nasihat doktor untuk mengesahkan diagnosis CMPA. Ini kerana terdapat pelbagai keadaan lain yang boleh menyebabkan tanda yang kelihatan seperti gejala alahan CMPA.

Selain itu, jika mengalami alahan protein susu lembu, bayi anda juga mungkin alah terhadap susu soya dan susu kambing. Oleh itu, bayi anda biasanya memerlukan susu khas yang hanya boleh diberi selepas mendapat nasihat doktor.

Susu soya juga tidak disyorkan untuk bayi berumur enam bulan ke bawah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:09 AM