SEBANYAK 14.8 bagi setiap 100,000 orang lelaki di Malaysia menghidap kanser kolorektal.
SEBANYAK 14.8 bagi setiap 100,000 orang lelaki di Malaysia menghidap kanser kolorektal.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


RAKYAT Malaysia perlu cakna mengenai kanser kolorektal kerana ia adalah kanser paling lazim berlaku dalam kalangan lelaki iaitu 14.8 bagi setiap 100,000 orang dan kedua paling lazim dalam kalangan wanita (11.1 bagi setiap 100,000 orang).

Lebih membimbangkan lagi kanser kolorektal ini semakin meningkat dalam kalangan individu berusia lebih muda.

Analisis kajian kumpulan penyelidikan GUT di Fakulti Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendedahkan peningkatan kes untuk kumpulan umur 40 hingga 44 tahun dan 45 hingga 49 tahun, sejak 2003 hingga 2017.

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Dr Khairul Najmi Muhammad Nawawi berkata, ujian saringan bermaksud aktiviti pemeriksaan yang dilakukan terhadap individu berisiko sederhana atau tinggi terhadap sesuatu penyakit dan tidak mempunyai sebarang gejala.

Menurutnya, tujuan saringan adalah untuk mengesan penyakit pada peringkat awal ataupun mengesan ketumbuhan pada peringkat prakanser.

"Contoh ujian saringan yang giat dijalankan adalah untuk kanser payudara, kanser kolorektal dan kanser servik.

"Ujian saringan bagi kanser kolorektal adalah bertujuan untuk mengesan polip iaitu prekursor kepada kanser kolorektal.

"Polip ialah ketumbuhan kecil di lapisan dinding kolon. Pada kebanyakan kes, polip ini tidak berbahaya," katanya.

Katanya, namun ia mempunyai potensi untuk berkembang menjadi kanser dalam masa tujuh hingga 10 tahun.

"Potensi untuk menjadi kanser akan lebih tinggi, sekiranya saiz polip melebihi satu sentimeter (cm) dan mempunyai ciri-ciri histologi tertentu seperti displasia.

"Ada tiga kepentingan saringan kanser kolorektal. Pertama ialah kanser kolorektal antara kanser paling lazim di Malaysia dan menyumbang kepada beban ekonomi dan sosial kepada negara.

"Kepentingan saringan kedua adalah kerana penyakit itu berlaku akibat perkembangan polip. Apabila polip berjaya dikesan dan dibuang, risiko untuk mendapat kanser dapat dikurangkan secara signifikan.

"Kepentingan ketiga adalah kerana ada ujian saringan yang efektif dan mudah diakses," katanya.

Dr Khairul Najmi berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi garis panduan jelas mengenai ujian saringan bagi kanser kolorektal.

KIT ujian najis 'immunochemical fecal occult blood test'.
KIT ujian najis 'immunochemical fecal occult blood test'.

Katanya lagi, individu berumur 50 hingga 75 tahun (tidak bergejala) dan tidak mempunyai sejarah keluarga kanser kolorektal, mereka disarankan untuk menjalani ujian najis (immunochemical fecal occult blood) bagi mengesan kehadiran darah yang tidak kelihatan dengan mata kasar.

"Jika keputusannya negatif, ujian najis ini perlu diulangi setiap satu hingga dua tahun.

"Ujian najis ini boleh didapati hampir di semua hospital dan klinik kerajaan mahupun swasta.

"Malah ujian ini amat mudah dan boleh dilakukan sendiri di rumah. Jika keputusan adalah positif, maka individu terbabit perlu dirujuk ke hospital untuk menjalani prosedur kolonoskopi," katanya.

Kata Dr Khairul Najmi, bagi individu yang mempunyai sejarah keluarga kanser kolorektal, mereka boleh dikategorikan sebagai berisiko sederhana atau tinggi.

"Mereka perlu menjalani kolonoskopi pada usia 40 tahun ataupun 10 tahun lebih muda berbanding usia ahli keluarga ketika menghidap kanser kolorektal (yang mana lebih awal).

"Bagi individu yang mempunyai gejala, mereka perlu mendapat nasihat doktor segera kerana prosedur kolonoskopi lebih diperlukan berbanding melakukan ujian najis sebagai saringan.

"Antara gejala yang perlu diberi perhatian adalah perubahan dalam tabiat pembuangan air besar (sembelit atau cirit-birit), darah dalam najis atau dubur berdarah, ketidakpuasan dalam membuang air besar, ketidakselesaan perut (kembung, sakit, kekejangan), hilang selera makan serta susut berat badan," katanya.

Menurutnya, prosedur kolonoskopi adalah pemeriksaan usus besar dengan menggunakan tiub panjang yang mempunyai kamera di bahagian hujungnya. Ia amat berguna dalam mengesan sebarang polip mahupun kelainan di lapisan dinding kolon.

"Prosedur ini dilakukan pakar gastroenterologi dan pakar bedah yang berpengalaman. Secara umumnya, ia adalah selamat dan rendah risiko komplikasinya.

"Sehari sebelum hari prosedur, pesakit diberi minum ubat persediaan usus untuk pembersihan usus daripada najis.

"Pada hari kejadian, sejurus sebelum prosedur dimulakan, pesakit diberi ubat pelali dan pemantauan pernafasan serta nadi pesakit dijalankan sepanjang prosedur kolonoskopi berlangsung," katanya.

Tambahnya, ada beberapa mitos mengenai kanser kolorektal yang mana usia muda tidak berisiko menghidap kanser kolorektal.

"Walaupun risiko tidak setinggi mereka berumur lebih 50 tahun, tetapi kes semakin meningkat disebabkan gaya hidup yang kurang sihat dan mempunyai sejarah keluarga.

"Mitos kedua ialah kerap berak berdarah adalah disebabkan buasir. Tetapi, selagi prosedur kolonoskopi tidak dilakukan, kanser ataupun punca lain seperti radang usus tidak dapat ditolak secara pasti.

"Oleh itu, penting untuk mendapatkan nasihat doktor dengan segera tidak kira muda atau sudah berusia," katanya.

Tambahnya, mitos ketiga adalah sakit dan kembung perut disebabkan gastrik. Sekiranya gejala berlarutan melebihi sebulan, sila dapatkan nasihat doktor dengan segera kerana ia boleh menjadi gejala kanser kolorektal.

"Mitos keempat pula jika disahkan menghidap kanser kolorektal, tidak akan mempunyai jangka hayat yang panjang. Pesakit boleh sembuh menerusi rawatan pembedahan dan onkologi jika dikesan pada peringkat awal.

"Ada tiga perkara penting untuk diambil tahu mengenai kanser kolorektal iaitu menjalani (saringan, saringan dan saringan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 7:00 AM