Sanofi Pasteur

Ramai orang salah anggap bahawa flu adalah demam selesema tetapi kedua-dua penyakit ini berbeza. Flu adalah penyakit sistem pernafasan berjangkit disebabkan oleh virus influenza dan boleh terjadi secara tiba-tiba. Antara simptomnya seperti demam, batuk, sakit tekak, hidung berair atau tersumbat, sakit otot atau badan, sakit kepala, lesu (keletihan), muntah dan dalam kes yang jarang berlaku, cirit-birit (lebih kerap terjadi pada kanak-kanak berbanding orang dewasa).

Malah ada yang mengalami komplikasi serius radang paru-paru (pneumonia), jantung (miokarditis), otak (ensefalitis) atau tisu otot (miositis) dan kegagalan beberapa organ yang boleh membawa maut. Salah satu cara berkesan untuk mengelak jangkitan ialah dengan mendapatkan vaksin bagi mencegah penyakit berkenaan. Vaksin flu kuadrivalen memberi perlindungan meluas daripada empat virus utama flu – dua virus influenza A dan dua virus influenza B.

Individu yang tidak berisiko tinggi juga digalakkan untuk mendapatkan vaksin. Malah CDC menyarankan mereka yang berusia enam bulan ke atas mendapatkan vaksin flu setiap tahun. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) mengkategorikan individu ini kepada kumpulan berisiko tinggi dan perlu mengelak dari jangkitan flu.

• Kanak-kanak di bawah umur 5 tahun (terutamanya usia 2 tahun ke bawah)

• Wanita hamil

• Warga emas melebihi 65 tahun

• Pesakit penyakit kronik

• Individu yang mempunyai masalah pernafasan.

Kanak-kanak dan wanita hamil

Flu berbahaya kepada kanak-kanak kerana berjuta-juta daripada mereka jatuh sakit akibat flu. Kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah, berisiko tinggi mendapat komplikasi serius yang berkaitan dengan flu. Begitu juga kanak-kanak yang menghidap masalah kesihatan kronik seperti lelah dan diabetes jenis 1.

Memberikan vaksin flu kepada kanak-kanak memberi manfaat kepada ibu bapa dan kanak-kanak dengan mengurangkan kekerapan berjumpa doktor dan mengelakkan ketidakhadiran ke pejabat serta sekolah. Paling penting, mengelakkan kesengsaraan akibat flu yang teruk dan komplikasinya.

Kehamilan menyebabkan pelbagai perubahan pada sistem imun, jantung dan paru-paru. Ini boleh membuatkan wanita hamil (dan sehingga dua minggu selepas bersalin) lebih cenderung untuk mengalami penyakit yang teruk akibat flu dan risiko lebih tinggi untuk dimasukkan ke hospital. Mujur vaksinasi flu boleh diberikan semasa hamil dan terbukti dapat melindungi ibu dan bayi dari flu selama beberapa bulan selepas kelahiran.

Pesakit penyakit kronik & warga emas

Ramai rakyat Malaysia menghidap satu atau lebih penyakit tidak berjangkit seperti diabetes melitus jenis 2, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kanser, penyakit buah pinggang kronik, dan penyakit hati. Masalah kesihatan seperti ini membebankan sistem imun dan menyukarkan tubuh untuk melawan dan sembuh dari jangkitan flu malah menjadikan penyakit kronik sedia ada lebih serius atau menyebabkan serangan jantung atau strok.

Warga emas, terutama berusia 65 tahun ke atas, sangat terdedah kepada jangkitan flu. Kebanyakan mereka menghidap penyakit tidak berjangkit. Risiko ini semakin meningkat kerana sistem imun mereka sudah lemah berikutan peningkatan usia.

Oleh itu, pesakit penyakit kronik dan warga emas disarankan untuk menjadikan vaksinasi flu tahunan sebahagian daripada gaya hidup mereka. Ini akan menghasilkan perbezaan yang sangat bermakna untuk kesihatan dan kualiti hidup mereka.

Individu yang menghidap masalah pernafasan

Masalah pernafasan atau paru-paru membabitkan lelah, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), emfisema, bronkitis kronik dan fibrosis pulmonari. Mereka yang menghidap masalah ini perlu mengetahui risiko yang dibawa oleh flu. Tambah pula kira-kira 17% kematian berkaitan flu setiap tahun boleh dilihat dalam kalangan penghidap penyakit pernafasan kronik.

Lelah ialah masalah pernafasan yang paling lazim dan menjejaskan sejumlah besar golongan dewasa dan kanak-kanak. Flu adalah ancaman serius walaupun lelah dan simptomnya terkawal dengan ubat-ubatan14.

Bagi orang dewasa dan kanak-kanak, jangkitan virus pernafasan adalah pencetus utama episod lelah mereka. Influenza boleh menyebabkan keradangan lebih teruk pada laluan udara dan paru-paru mereka yang sensitif. Ini akan memburukkan lagi simptom lelah dan meningkatkan kebarangkalian terjadinya radang paru-paru atau penyakit pernafasan akut yang lain.

Vaksinasi flu untuk pengembara dan jemaah haji dan umrah

Flu ialah risiko kesihatan boleh dicegah vaksin yang paling lazim untuk mereka yang mengembara atas tujuan perniagaan, percutian dan menunaikan haji atau umrah. Mereka mungkin dijangkiti semasa menaiki kapal terbang atau berada berhampiran individu yang dijangkiti di tempat sesak.

Pengembara boleh mencegah flu dari mengganggu perjalanan mereka dengan mendapatkan vaksin sekurang-kurangnya dua minggu sebelum berlepas (untuk memberi tempoh yang mencukupi bagi membentuk imuniti vaksin yang diingini).

Untuk jemaah haji dan umrah, mereka sering mendapat jangkitan saluran pernafasan (termasuk flu) semasa berada di Tanah Suci. Kajian menunjukkan, lebih daripada 90% rakyat Malaysia akan dijangkiti sekurang-kurangnya satu simptom pernafasan semasa menunaikan haji atau umrah. Ini membawa masalah terutamanya kepada golongan yang lanjut usia atau yang turut menghidap penyakit kronik.

Untuk membantu menunaikan tuntutan agama dengan tenang, jemaah dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin bagi melindungi diri mereka dari flu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 9:10 AM