KANSER payudara pembunuh utama wanita.
KANSER payudara pembunuh utama wanita.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


KANSER berlaku apabila terdapat sel di mana-mana bahagian organ dalaman mengalami pertumbuhan tidak terkawal.

Apabila wujud sel di dalam badan yang rosak atau mati, ada mekanisme supaya sel rosak dibaiki atau sel mati itu diganti.

Namun bagi sesetengah sel mengalami mutasi, sistem sepatutnya yang membaiki sel rosak menjadikan pertumbuhan sel itu tidak normal dan tak terkawal.

Sempena bulan kesedaran kanser payudara kini, Pakar Onkologi Klinikal, KPJ Johor Specialist Hospital, Dr Natasha Mohd Hashim berkongsi lanjut mengenai penyakit itu yang dianggap sebagai pembunuh utama wanita di negara ini.

Menurut Dr Natasha, antara gejala paling kerap dialami wanita penghidap kanser payudara ialah ketulan pada organ berkenaan. Ketulan pada organ itu kebiasaannya tidak sakit dan akan membesar.

"Terdapat juga ketulan boleh tumbuh di bawah ketiak dan ada kala di pangkal leher. Apabila ketulan ini semakin membesar, ia akan menembusi kulit yang menjadi merah serta berbintik-bintik.

"Apabila ketumbuhan menjalar ke bahagian dinding toraks, ketulan akan menjadi keras. Pada kes yang lebih teruk, ketumbuhan akhirnya pecah melalui kulit dan mengeluarkan cairan serta darah," katanya.

Katanya, gejala lain ialah pendarahan melalui puting atau cairan putih yang keluar menerusi puting.

Dr Natasha berkata, apabila sel kanser mula merebak ke organ lain seperti paru-paru atau tulang, pesakit akan mendapati mereka mempunyai gejala batuk atau sesak nafas.

"Selain itu, pesakit turut mengalami gejala sakit bahagian tulang terutama tulang belakang dan tulang kaki serta pinggul atau sakit di bahagian kanan abdomen. Sekiranya kanser merebak ke hati, ia menyebabkan hati bengkak.

"Bagaimanapun, gejala ini tertakluk kepada berapa banyak dan saiz sel barah itu pada organ lain.

"Ada kalanya sel kanser dapat dilihat melalui ujian imbasan, tetapi pesakit tidak mempunyai gejala yang serius. Setiap pesakit kanser mempunyai presentasi berbeza," katanya.

Jelasnya, hanya lima hingga 10 peratus daripada pesakit barah payudara mempunyai kaitan dengan gen keturunan.

"Ini bermakna, gen yang termutasi ini iaitu sama ada BRCA 1 atau BRCA 2 akan disebarkan pada keturunan iaitu anak. Mutasi gen ini penyebab kepada pertubuhan sel tidak terkawal.

"Bagi mereka mempunyai faktor keturunan, seluruh ahli keluarga perempuan mempunyai tujuh hingga 10 kali ganda risiko menghidap kanser payu dara berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai gen berkenaan.

"Malah, mereka juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidapi kanser ovari. Kita boleh agak bahawa faktor keturunan mungkin memainkan peranan di dalam kes kanser payudara.

"Ini sekiranya pesakit muda dan mempunyai ramai ahli keluarga yang menghidap kanser payudara dalam kalangan keluarga terdekat," katanya.

Dr Natasha berkata, kebas terjadi biasanya pada sebelah bahagian yang mengalami pembedahan payudara dan ketiak. Selepas pembedahan terdapat kawasan terasa kebas kerana saraf rosak serta gejala itu akan lebih terasa semakin serius lagi setelah radioterapi dilakukan.

"Kebiasaannya kebas akan hilang selepas beberapa bulan, tetapi ada segelintir pesakit yang akan berasa kebas untuk jangka masa lama.

"Cara paling berkesan untuk mengatasinya ialah sentiasa melakukan senaman yang disarankan pakar bedah selepas pembedahan.

"Selain itu juga senaman untuk menguatkan otot rangka badan bagi menampung tangan yang sudah menjalani pembedahan berkenaan.

"Senaman ini akan melancarkan perjalanan darah dan limpa, membuka saluran limpa yang sempit, menguatkan otot tangan serta memberi postur lebih baik," katanya.

Katanya, saringan adalah proses yang ujian penyiasatan dilakukan untuk mengesan kanser payudara pada peringkat paling awal iaitu sebelum seseorang wanita tidak dapat berasa lagi ketulan di payudara.

"Apabila kanser payudara dikesan pada peringkat sangat awal, rawatan menjadi lebih ringkas dan kebarangkalian untuk sembuh lebih tinggi.

"Maka dinasihatkan kepada wanita berumur 40 hingga 69 tahun untuk membuat pemeriksaan kesihatan setiap dua tahun.

"Jika terdapat ahli keluarga yang menghidapi kanser payudara, bagi ahli keluarga perempuan lebih muda, disarankan melakukan pemeriksaan Ujian Imbasan Pengimejan Resonas Magnetik (MRI) atau mamografi setiap tahun," katanya.

Tambahnya, selain daripada pemeriksaan di hospital, pemeriksaan paling murah dan mudah dilakukan ialah pemeriksaan payudara sendiri terutama ketika mandi.

"Jangan ambil mudah sekiranya berasa ada perubahan pada payudara untuk mendapatkan nasihat doktor.

"Meskipun berasakan masih muda dan masih menyusukan anak, kes kanser payudara kini banyak membabitkan wanita muda.

"Masyarakat selalu beranggapan kanser hanya membabitkan mereka yang lebih tua iaitu selepas menopaus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 7:01 AM