ORANG ramai diingatkan supaya melengkapkan vaksin dan menjalani saringan serta rawatan sekiranya tergolong di dalam golongan berisiko.
ORANG ramai diingatkan supaya melengkapkan vaksin dan menjalani saringan serta rawatan sekiranya tergolong di dalam golongan berisiko.
TANDA-tanda utama jangkitan hepatitis A dan E termasuk demam, keletihan, loya dan muntah, sakit perut dan kekuningan apabila hati sudah terjejas.
TANDA-tanda utama jangkitan hepatitis A dan E termasuk demam, keletihan, loya dan muntah, sakit perut dan kekuningan apabila hati sudah terjejas.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KES jangkitan hepatitis di negara ini menunjukkan peningkatan dalam tempoh 10 tahun yang lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata, hepatitis yang lazim dilaporkan di negara ini ialah A,B dan C dengan kadar notifikasi hepatitis A masih rendah meskipun menunjukkan sedikit peningkatan dalam tempoh itu iaitu 0.1 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2009 kepada 0.3 orang bagi 100,000 penduduk pada 2019.

Bagi hepatitis B pula, kadar notifikasi adalah lebih tinggi dan menunjukkan peningkatan iaitu daripada 2.1 orang bagi 100,000 penduduk pada 2009 kepada 15.3 orang bagi 100,000 penduduk pada 2019.

Peningkatan juga ditunjukkan bagi jangkitan hepatitis C dalam tempoh sama, iaitu daripada 3.7 bagi setiap 100,000 penduduk kepada 10.6 bagi setiap 100,000 penduduk.

Apakah sebenarnya penyakit hepatitis?

Hepatitis adalah penyakit yang membabitkan salah satu organ terbesar dan penting di dalam badan iaitu hati.

Seperti yang semua sedia maklum, hati memainkan peranan di dalam penghasilan dan metabolisme protein, mengawal gula dan tenaga, melawan jangkitan serta bertindak sebagai penyingkiran toksin.

Secara definisinya, hepatitis bermaksud keradangan hati dan disebabkan jangkitan virus A, B, C, D atau E.

Virus hepatitis A dan E ialah jangkitan akut yang disebabkan pengambilan makanan atau air yang tercemar.

HEPATITIS A dan E ialah jangkitan akut biasanya disebabkan oleh pengambilan makanan atau air yang tercemar.
HEPATITIS A dan E ialah jangkitan akut biasanya disebabkan oleh pengambilan makanan atau air yang tercemar.

Manakala virus hepatitis jenis B, C dan D pula berjangkit melalui darah atau cecair badan, ia boleh menjadi penyakit kronik selain punca utama kepada sirosis hati serta kanser hati.

Pakar Bedah Am, Hepatobiliari-Pankreas dan Trauma, Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr Affirul Chairil Ariffin berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan sebelum ini, dianggarkan lebih sejuta rakyat Malaysia dijangkiti hepatitis B kronik manakala 2.5 peratus orang dewasa positif antibodi terhadap jangkitan hepatitis C.

Kata Dr Affirul, jumlah itu agak membimbangkan dan dijangka meningkat menjelang 2040.

DR Affirul
DR Affirul

Katanya, hepatitis A and E menjangkiti individu yang terdedah kepada kontaminasi melalui modus 'fecal-oral,' golongan berisiko tinggi adalah mereka yang tinggal di persekitaran tidak bersih selain tercemar dengan sampah dan najis, kawasan berkepadatan tinggi serta tiada akses kepada air bersih atau saliran yang baik.

"Hepatitis B, C dan D pula menjangkiti individu melalui cecair badan seperti darah serta air mani.

"Antara kaedah transmisi termasuk hubungan seksual, penggunaan jarum seperti penyalahgunaan dadah, tatu badan atau terdedah kepada cecair daripada pesakit yang dijangkiti," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Dr Affirul berkata, jangkitan daripada ibu kepada anak juga (prenatal) adalah penyumbang utama.

Selain itu, individu lain yang berisiko tinggi juga termasuk mereka yang mengamalkan hubungan seksual bebas dan melanggani pekerja seksual, pekerja kesihatan, pekerja makmal dan penyalahgunaan dadah melalui jarum suntikan yang tercemar.

HEPATITIS A dan E ialah jangkitan akut biasanya disebabkan oleh pengambilan makanan atau air yang tercemar.
HEPATITIS A dan E ialah jangkitan akut biasanya disebabkan oleh pengambilan makanan atau air yang tercemar.

"Setakat ini, belum ada bukti yang menunjukkan bahawa hepatitis adalah penyakit keturunan namun hepatitis B boleh menjangkiti anak ketika kelahiran," katanya.

Dalam pada itu, apa yang membimbangkan mengenai virus hepatitis adalah ia bukan menyerang hati sahaja malah membabitkan keseluruhan sistem imun badan.

Antara tanda-tanda utama jangkitan hepatitis A dan E termasuk demam, keletihan, loya dan muntah, sakit perut dan kekuningan apabila hati sudah terjejas.

Gejala itu boleh berlarutan sehingga dua bulan jika tidak dirawat dengan segera.

TEMA Hari Hepatitis Sedunia 2021: HEP Tidak Menunggu.
TEMA Hari Hepatitis Sedunia 2021: HEP Tidak Menunggu.

Kata Dr Affirul, gejala utama jangkitan hepatitis B, C dan D pula adalah sakit perut, muntah-muntah, kekuningan pada mata, badan dan air kencing serta keletihan.

Menurutnya lagi, ia menjurus kepada kegagalan hati akut yang boleh membawa maut.

"Untuk mencegah jangkitan hepatitis A dan E, penekanan harus diberikan kepada penambahbaikan sistem sanitasi, keselamatan makanan dan program imunisasi.

"Ini dapat dilakukan dengan menyediakan air bersih dan saliran yang bagus, pembuangan dan pelupusan sampah yang efektif serta menggalakkan penjagaan diri yang bersih dan baik," katanya.

Bagi mengatasi jangkitan hepatitis B pula, ia boleh dicegah dengan pengambilan vaksin.

Langkah pencegahan utama itu turut dimasukkan ke dalam program vaksinasi Malaysia dan vaksin itu boleh diambil secara sukarela di pusat kesihatan dan klinik.

"Individu yang berisiko tinggi yang disarankan mengambil vaksin itu termasuklah pekerja yang terdedah kepada cecair badan dan darah (contohnya pekerja kesihatan dan makmal), pesakit yang memerlukan transfusi darah, pengamal seksual bebas, pekerja seksual dan individu yang sering berkunjung ke tempat-tempat endemik hepatitis.

"Untuk hepatitis C and D pula, tiada terdapat sebarang vaksin yang benar-benar efektif.

"Justeru, pencegahan adalah dengan mengelakkan aktiviti berisiko tinggi dan juga menjaga persekitaran dengan baik," katanya.

Jelas Dr Affirul lagi, jangkitan virus hepatitis adalah suatu penyakit yang serius dan sekiranya tidak dirawat boleh menjurus kepada kanser hati, sirosis hati, kegagalan hati akut dan membawa maut.

Untuk itu, adalah penting untuk masyarakat mengambil langkah pencegahan seperti menyediakan persekitaran yang bersih, melengkapkan vaksin hepatitis dan mengamalkan gaya hidup sihat serta mengelakkan kehidupan berisiko tinggi.

"Sempena Hari Hepatitis Sedunia yang disambut setiap 28 Julai, orang ramai diingatkan supaya melengkapkan vaksin dan menjalani saringan serta rawatan sekiranya tergolong di dalam golongan berisiko.

"Dengan kadar kes kematian yang meningkat, masyarakat perlu sedar mengenai bahaya penyakit itu dan adalah penting untuk mengesan seramai mungkin individu yang sudah dijangkiti bagi membolehkan rawatan segera serta vaksinasi dapat diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 7:00 AM