Nor 'Asyikin Mat Hayin


TIDAK dapat tidur malam selama beberapa hari setiap kali rasa sangat gatal dan panas seperti terbakar menyerang kulit.

Itu antara penderitaan yang terpaksa ditanggung pesakit psoriasis jenis 'erythrodermic psoriasis', R Ananthan, 30, sejak 11 tahun lalu.

Malah, kesemua 10 kuku jari tangannya pernah tertanggal enam kali kesan penyakit itu.

Ananthan berkata, dia menghidap penyakit itu bermula dengan satu tompokan kecil pada tangan yang disangkakan akibat alahan.

Namun, katanya, enam bulan kemudian, dia didiagnosis menghidap psoriasis apabila sisik merebak pada badan dan berdarah.

"Sepanjang menghidap penyakit ini, saya sudah 14 kali dimasukkan ke hospital. Keadaan paling teruk ialah pada bulan lalu apabila seluruh badan dipenuhi sisik.

"Tempoh paling mencabar ialah apabila sisa kulit kering pada tubuh mulai gugur dan ia mengambil masa tiga minggu.

PSORIASIS boleh menjejaskan kesihatan mental.
PSORIASIS boleh menjejaskan kesihatan mental.

"Sisa kulit yang gugur ini sangat banyak yang ada kalanya memenuhi ruang rumah," katanya.

Menurutnya, dia kini bergantung dengan rawatan suntikan biologik yang diambilnya dua bulan sekali, melalui bantuan subsidi kerajaan berjumlah RM28,000.

"Penyakit ini boleh menjejaskan emosi terutama apabila keadaan menjadi teruk. Ia membuatkan pesakit menderita seperti kulit menjadi sangat gatal, terasa panas seperti terbakar, kulit berdarah malah saya tidak terlepas melaluinya.

"Sejak beberapa tahun lalu, saya sudah boleh mengurus emosi kerana tidak mahu perkara itu menjejaskan kualiti hidup," katanya.

Pakar Perunding Dermatologi Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Ampang Dr Azura Mohd Affandi berkata, psoriasis ialah penyakit keradangan kulit kronik yang menyebabkan kulit pesakit menebal lebih cepat daripada kulit normal.

KUKU 10 jari tangan R Ananthan pernah enam kali tertanggal akibat psoriasis.
KUKU 10 jari tangan R Ananthan pernah enam kali tertanggal akibat psoriasis.

"Ia terjadi berikutan gangguan sistem imun badan yang menyebabkan pertumbuhan sel kulit lebih cepat iaitu tiga hingga tujuh hari, berbanding 21 hingga 28 hari bagi kulit normal.

"Proses ini mengakibatkan kawasan terbabit kelihatan tompok merah yang tebal dan bersisik," katanya.

Dr Azura berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Psoriasis Sedunia 2022 yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.

Hari Psoriasis Sedunia disambut pada 29 Oktober setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, memberi akses kepada rawatan, meningkatkan tahap kefahaman dan menyatukan pesakit psoriasis.

Menurut Dr Azura, penyakit psoriasis tidak berjangkit dan individu tidak akan mendapat penyakit itu melalui sentuhan.

"Sejarah keluarga yang positif psoriasis akan meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat psoriasis.

PENYANDANG kerusi Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil (dua dari kanan) menunjukkan 'White Paper On Psoriasis' pada sambutan Hari Psoriasis Sedunia 2022 yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.
PENYANDANG kerusi Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil (dua dari kanan) menunjukkan 'White Paper On Psoriasis' pada sambutan Hari Psoriasis Sedunia 2022 yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.

"Kira-kira 40 peratus daripada pesakit psoriasis mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit ini.

"Ia meskipun data daripada Registri Psoriasis Malaysia Tahun 2007 hingga 2019 menunjukkan jumlah pesakit yang mempunyai sejarah keluarga adalah lebih rendah iaitu 23 peratus," katanya.

Dr Azura berkata, dianggarkan satu hingga tiga peratus penduduk dunia menghidap psoriasis.

"Di Malaysia pula, Data Registri Psoriasis Malaysia Tahun 2007 hingga 2019 menunjukkan 23,803 orang dilaporkan menghidap penyakit itu.

"Bagaimanapun, jumlah sebenar penghidap psoriasis di negara ini adalah lebih daripada yang dilaporkan," katanya.

Dr Azura yang juga Penasihat Perubatan Persatuan Psoriasis Malaysia berkata, terdapat lima jenis penyakit psoriasis iaitu psoriasis plak, psoriasis guta, psoriasis lenturan/berbalik, psoriasis pustular dan psoriasis eritrodermik.

"Psoriasis plak adalah jenis yang biasa dilihat dan dianggarkan, 93 peratus pesakit di Malaysia menghidap psoriasis jenis ini (berdasarkan data Registri Psoriasis Malaysia Tahun 2007 hingga 2019).

"Tahap keterukan psoriasis berbeza mengikut individu. Sesetengah pesakit hanya ada beberapa tompok kecil sahaja dan sebahagiannya menghidapi psoriasis yang membabitkan permukaan kulit lebih besar.

"Selain kulit, ada organ lain yang boleh terjejas akibat psoriasis iaitu kuku. Data Registri Psoriasis Malaysia daripada 2007 hingga 2019 menunjukkan, 57.2 peratus pesakit psoriasis mengalami keabnormalan kuku.

PERTUNJUKAN fesyen oleh wirawati psoriasis.
PERTUNJUKAN fesyen oleh wirawati psoriasis.

"Antaranya, lubang kecil di permukaan kuku dan kuku menebal menyerupai jangkitan kulat," katanya.

Katanya, data Registri Psoriasis Malaysia Tahun 2007 hingga 2019 menunjukkan, 13.8 peratus pesakit psoriasis berdepan dengan masalah keradangan sendi kronik iaitu psoriatik arthritis (PsA).

"Penyakit ini menjejaskan fungsi sendi yang menyebabkan sendi kaku, bengkak dan kerosakan saraf progresif.

"Dalam kes serius, ia boleh menyebabkan kecacatan sendi kekal," katanya.

Katanya, selain itu, penyakit psoriasis juga boleh memberi kesan negatif kepada psikologi pesakit.

"Faktor lain yang boleh menyebabkan psoriasis bertambah teruk termasuk tekanan perasaan, pengambilan alkohol berlebihan, jangkitan kuman, kecederaan kulit dan pengambilan ubat-ubat tertentu seperti ubat tahan sakit, antibiotik serta ubat darah tinggi.

"Psoriasis turut dikaitkan dengan penyakit lain seperti obesiti, tekanan darah tinggi, kencing manis dan hiperlipidemia (kadar kolesterol dalam darah terlalu tinggi).

"Oleh itu, adalah sangat penting memastikan pesakit mengutamakan gaya hidup sihat.

"Meskipun psoriasis tidak mengakibatkan kematian, namun disebabkan penyakit yang berkait ini boleh meningkatkan risiko kematian kepada mereka," katanya.

Menyentuh mengenai rawatan untuk pesakit psoriasis, Dr Azura berkata, sehingga kini, penyakit itu tidak penawar, namun ia boleh dikawal.

Jelasnya, rawatan diberikan berdasarkan tahap keterukan penyakit pesakit, keutamaan pesakit, kesediaan rawatan dan risiko serta faedah rawatan.

"Terdapat empat jenis rawatan yang ditawarkan kepada pesakit iaitu terapi topikal (krim dan salap), fototerapi (terapi cahaya), terapi sistemik (ubat) serta terapi biologi (suntikan).

"Rawatan biologik adalah rawatan yang terkini dan simptom psoriasis boleh pulih sepenuhnya melalui rawatan ini.

"Bagaimanapun, kos rawatan biologik ini agak mahal dengan anggaran RM20,000 hingga RM50,000 setahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 7:00 AM