AKIF Hatimi setia menjaga dan menguruskan isterinya, Siti Rohaizah yang kini menerima rawatan di HTJ, Seremban. FOTO Ihsan Akif Hatimi Abdul Halim
AKIF Hatimi setia menjaga dan menguruskan isterinya, Siti Rohaizah yang kini menerima rawatan di HTJ, Seremban. FOTO Ihsan Akif Hatimi Abdul Halim
Redzuan Muharam

Seremban: Setianya Akif Hatimi Abdul Halim kerana masih ada di sisi Siti Rohaizah Abdullah walaupun keadaan fizikal dan penampilan isterinya itu banyak berubah berbanding ketika awal perkahwinan mereka akibat penyakit kulit kronik, psoriasis tahap enam.

Semuanya selepas Siti Rohaizah, 33, atau mesra disapa Haiza diserang penyakit itu yang turut mengakibatkan arthritis iaitu masalah keradangan sendi.

Psoriasis menyebabkan kulit Haiza bersisik seluruh badan manakala arthritis mengakibatkan tangannya tidak dapat membengkok.

Lebih menyedihkan, Haiza hilang keupayaan berjalan dan bergerak dengan kerusi roda sejak lebih setahun lalu kesan penyakitnya itu.

Kini, Akif Hatimi, 36, menguruskan dan menjaga keperluan Haiza yang sudah seminggu menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini.

"Kami berkahwin pada 2007 serta dikurniakan lapan cahaya mata. Isteri dulunya sihat namun diserang psoriasis pada 2012 iaitu ketika usia perkahwinan kami lima tahun.

"Keadaan kulitnya semakin teruk selepas melahirkan anak bongsu yang kini berusia setahun empat bulan. Tumpuan saya hanya menguruskan isteri di wad dan anak-anak dijaga ibu mentua buat sementara ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Akif Hatimi berkata, dia pernah bekerja sebagai eksekutif jualan di sebuah syarikat kemudian menjalankan perniagaan dengan membuka kedai menjual peranti rokok elektronik.

Bagaimanapun, perniagaan itu sudah ditutup dan kini, Akif Hatimi tiada sumber pendapatan tetap sebaliknya bergantung dengan hasil komisyen daripada menjadi ahli gabungan pemasaran (affiliate marketing) yang menjual minyak wangi, kurma, gula dan habbatus sauda di laman sosial.

SITI Rohaizah menghidap penyakit psoriasis tahap enam dan arhritis. FOTO Ihsan Akif Hatimi Abdul Halim
SITI Rohaizah menghidap penyakit psoriasis tahap enam dan arhritis. FOTO Ihsan Akif Hatimi Abdul Halim

"Jujurnya, saya tidak rasa terbeban kerana dulu, hampir 10 tahun juga isteri pernah jaga dan bantu cuci luka saya selepas terbabit dalam kemalangan.

"Selagi ada kudrat saya akan berusaha mencari penawar bagi merawat isteri. Kalau boleh, saya nak isteri sihat dan tak nak biar jadi begitu saja.

"Saya masih cuba cari jalan nak rawat kerana kasihan lihat keadaannya malah jika dibiarkan, penyakit sendinya akan melarat hingga mengakibatkan tulang belakang bengkok," katanya juga Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal akibat kemalangan.

Sementara itu, Haiza tidak menyangka penyakit kulitnya menjadi kronik hingga merebak ke seluruh badan pada 2020.

"Waktu itu memang saya sedih tetapi saya bersyukur kepada Allah kerana kurniakan suami yang bertanggungjawab dan bukakan pintu hatinya untuk menjaga saya.

"Saya dapat rasa keikhlasannya menjaga saya dengan kasih sayang," katanya yang turut membuat perkongsian di TikTok berkaitan penyakit psoriasis dan arthritis dengan hasrat memberi kesedaran kepada orang ramai.

"Ingatkan, saya seorang saja yang kena penyakit itu, rupanya ramai juga di luar sana menanggung derita yang sama.

"Itu pun saya dapat tahu selepas aktif di TikTok dan tak sangka ramai beri sokongan malah dapat sahabat baru hingga ada sanggup datang dari jauh untuk jumpa.

"Pengalaman sebagai pesakit psoriasis dan arthritis saya gunakan untuk kongsi di TikTok mengenai penjagaan makanan bagi dua penyakit berkenaan.

"Ia kerana saya dulu tidak jaga makan hingga penyakit jadi kronik dan tidak mahu orang lain menanggung derita sama," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 155087260448 atas nama Siti Rohaizah Abdullah atau menghubunginya di talian 017-6425433.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 3:20 PM