Nazarali Saeril


KUALA LUMPUR: Virus Covid-19 akan terus berada di sekeliling kita bagi tempoh yang lama malah ia turut menjejaskan kehidupan komuniti di seluruh dunia.

Di Malaysia, pandemik ini bukan saja memberi kesan terhadap ekonomi dan masyarakat malah sumber penjagaan kesihatan negara.

Prihatin dengan keadaan ini, baru-baru ini, Roche Malaysia yang juga syarikat bioteknologi terbesar dunia, menganjurkan perbincangan meja bulat bersama media.

Perbincangan

ini memberi tumpuan terhadap pengurusan, intervensi dan pilihan rawatan.

Selain itu, vaksinasi juga diperlukan bagi membantu komuniti, khasnya pesakit yang lemah untuk menjalani kehidupan dalam norma baharu.

Panel dalam perbincangan itu termasuk Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Penyakit Berjangkit, Hospital Umum Sarawak Dr Chua Hock Hin dan Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Klinik Rophi, Pusat Perubatan Pakar Mount Elizabeth Novena, Singapura Dr Leong Hoe Nam.

Sementara Dr Peter Tok dari Pusat Penyelidikan Hasil Klinikal, Institut Penyelidikan Klinikal Malaysia berperanan sebagai moderator.

Dr Peter berkata, orang awam perlu menyedari, ada pilihan rawatan sedia ada dan pilihan rawatan yang bakal berada di pasaran bagi membantu mereka mengawal simptom yang dialami, selain menyumbang kepada pencegahan serta rawatan terhadap Covid-19.

Dr Peter percaya kemudahan ini diperlukan bagi mencegah dan menentang penularan Covid-19 pada masa hadapan serta meminimumkan penutupan ekonomi.

"Ia sekali gus dapat menyumbang kepada penerimaan orang ramai untuk hidup bersama Covid-19 dalam kalangan masyarakat," katanya.

"Covid-19 adalah cabaran kesihatan global yang terbesar dalam kehidupan kita. Namun, bagaimanakah kita dapat hidup bersamanya," tanya Dr Chua.

Dr Chua berkata, satu daripada cara terbaik adalah untuk melengkapkan diri kita dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk memahami penyakit dan kepelbagaian pilihan rawatan yang ada, termasuk perubatan moden, penyelesaian diagnosis serta vaksin.

"Seperti yang kita ketahui, syarikat, institusi penyelidikan dan kerajaan sedang bekerjasama untuk mencari jalan yang berpotensi untuk merawat dan menguruskan Covid-19.

"Oleh itu, adalah amat penting sistem kesihatan mengambil langkah awal bersama pemberian vaksin dan kaedah pencegahan serta rawatan bagi membasmi penularan Covid-19," katanya.

Kata Dr Chua, pesakit Covid-19 yang paling lemah perlu diberi perhatian lebih kerana mereka tidak mampu membentuk antibodi yang mencukupi bagi melawan virus itu.

Walaupun sudah divaksin, pesakit ini masih mudah terdedah kepada jangkitan ekoran komorbiditi yang tersirat atau ubat-ubatan yang diambil.

Terdapat pelbagai rawatan berbeza yang tersedia, pada masa sama sedang dibangunkan, bagi menangani keperluan pesakit yang berada di rumah mahupun hospital.

"Ia merangkumi terapi profilaktik dan rawatan ini diharapkan dapat mencegah mereka daripada mengalami keadaan penyakit yang lebih teruk dan menawarkan lebih banyak pilihan rawatan sekiranya mereka berada di hospital.

"Langkah ini seterusnya dapat membenarkan pesakit itu menjalani kehidupan normal yang baharu bersama Covid-19," katanya.

Dr Leong pula berkata, selain penjagaan klinikal, penambahan oksigen dan ventilasi mekanikal, ada beberapa pilihan rawatan yang terbukti berkesan bagi merawat pesakit Covid-19.

"Contoh, antibodi peneutralan (Nabs), antivirus dan imunomodulator," katanya.

Mengulas lanjut berkaitan NAbs, kata Dr Leong, antibodi peneutralan ini adalah antibodi yang terbentuk secara semula jadi.

"Ia memainkan peranan penting terhadap sistem imun tubuh. Antibodi ini memberi isyarat bahawa terdapat kehadiran patogen dalam tubuh bagi membolehkan sel darah putih mencari dan membunuhnya.

"Antibodi peneutralan bertanggungjawab untuk menghalang kemasukan patogen ke dalam sel agar ia tidak menjangkiti sel-sel sihat, tidak berkembang dan menyebabkan jangkitan yang lebih teruk," katanya.

Sementara itu, kata Dr Leong, antivirus pula bertindak secara berlainan, bergantung pada jenis ubat dan virus.

Antivirus boleh menghalang reseptor agar virus tidak terikat dan memasuki sel sihat.

Ia membantu menentang jangkitan virus dan mengurangkan beban virus iaitu amaun virus aktif dalam tubuh.

"Satu lagi rawatan adalah yang membabitkan imunomodulator. Ia satu kelas ejen yang merangsang atau menahan sistem imun.

"Ia sering digunakan sebagai salah satu cara menentang barah, jangkitan atau penyakit lain," katanya.

Dr Leong menambah, NAbs adalah satu bentuk rawatan terkini.

"Sekiranya diberikan awal kepada pesakit, kita berupaya menurunkan kadar morbiditi dan kematian.

"Kita telah mencapai perkembangan yang pesat sepanjang pandemik ini dan akan terus berdaya tahan untuk menghadapi cabaran akan datang, khasnya apabila dilengkapi dengan rawatan inovatif ini," katanya.

Sejak permulaan pandemik Covid-19, Roche sudah meneroka pelbagai pendekatan bagi memenuhi keperluan mereka yang terkesan berikutan virus berkenaan.

Sungguhpun kadar vaksinasi kian meningkat di seluruh dunia, kebanyakan negara sedang berhadapan gelombang keempat penularan virus ini.

Ini dapat dilihat menerusi menerusi peningkatan angka kes yang dilaporkan.

Oleh demikian, pilihan rawatan bagi setiap tahap penyakit dan varian yang membimbangkan masih diperlukan.

Sementara itu, Pengurus Besar Roche (Malaysia) Bhd, Deepti Saraf berkata, dalam keadaan yang luar biasa ini, pihaknya komited untuk bekerjasama dengan sistem kesihatan negara dalam usaha menentang Covid-19 dan meminimumkan impak virus terbabit.

"Kami sudah menghasilkan beberapa penyelesaian diagnostik yang membantu mengesan dan mendiagnosis jangkitan berkenaan, di samping terus membangun dan menyokong terapi berpotensi yang boleh memainkan peranan dalam merawat penyakit ini.

"Impak Covid-19 melangkaui jangkitan terhadap pesakit. Oleh itu, kami menjalin kerjasama dengan penyedia penjagaan kesihatan, pihak berkuasa dan organisasi berkaitan untuk membantu memastikan pesakit terus menerima inovasi terkini dalam ujian, rawatan dan penjagaan yang diperlukan sepanjang tempoh yang amat mencabar ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 6:40 AM