HABBATUS sauda mempunyai sifat antikeradangan, antioksidan, antibakteria, antiparasit dan antikulat.
HABBATUS sauda mempunyai sifat antikeradangan, antioksidan, antibakteria, antiparasit dan antikulat.

HABBATUS sauda adalah satu daripada herba yang banyak digunakan untuk rawatan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, asma, darah tinggi, penyakit kardiovaskular (jantung) dan barah.

Keberkesanan herba ini dalam merawat beberapa penyakit kronik berkenaan ikaitkan dengan ciri-cirinya yang mempunyai sifat antikeradangan, antioksidan, antibakteria, antiparasit dan antikulat.

Potensi dan kelebihan habbatus sauda dalam bidang perubatan serta kesihatan bukanlah perkara baharu.

Habbatus sauda digunakan sejak ribuan tahun dahulu oleh pengamal perubatan masyhur.

Seorang pengamal perubatan dari Greece yang terkenal dengan gelaran bapa perubatan awal iaitu Hipocrates, menyarankan memakan habbatus sauda bagi merawat penyakit berkaitan sistem penghadaman.

Pengamal perubatan Islam terkenal pada abad ke-10, Ibnu Sina pula memperihalkan habbatus sauda dalam buku 'The Canon of Medicine' sebagai satu tumbuhan herba yang dapat meningkatkan tenaga badan, menghilangkan kelesuan dan meningkat kekuatan spiritual.

Daripada sudut pandangan Islam sendiri, ada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Aishah RA menyebut mengenai kelebihan habbatus sauda dalam membantu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Penyelidikan saintis mengenal pasti pelbagai kandungan bioaktif yang terdapat dalam habbatus sauda.

'Thymoquinone' adalah antara kandungan bioaktif utama dalam

habbatus sauda.

Sejak lebih 20 tahun lalu, kajian mengenai keberkesanan thymoquinone dalam melawan sel barah sudah dilaporkan.

Satu tinjauan saintifik yang diterbitkan dalam jurnal 'Critical Review in Food Science and Nutrition' melaporkan mekanisma thymoquinone dalam mengawal perebakan sel barah.

Tinjauan saintifik ini menganalisis secara kritikal hasil kajian makmal dari seluruh dunia mengenai kesan dan mekanisma tindakan thymoquinone terhadap pelbagai jenis barah.

Hasil tinjauan saintifik ini menunjukkan thymoquinone adalah ejen terapeutik yang berkesan dalam membantutkan perkembangan dan pertumbuhan pelbagai jenis sel barah, serta mengelakkan rebakan sel barah ke struktur badan yang lain (metastasis).

Berikutan keberkesanan habbatus sauda membantu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit, ia turut digunakan oleh pengamal herba tradisional dalam menguatkan pertahanan badan dan dalam rawatan melawan Covid-19.

Satu laporan yang diterbitkan dalam jurnal 'Nutrients' pada 2021 menunjukkan, habbatus sauda adalah antara carian dalam talian tertinggi, berdasarkan data yang diekstrak daripada carian Google sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 31 Oktober 2020.

Beberapa kajian mengenai keberkesanan habbatus sauda dalam menyembuhkan pesakit Covid-19 sudah dilaporkan.

Kajian klinikal awal berskala kecil yang dijalankan ke atas 173 pesakit Covid-19 di Arab Saudi menunjukkan, pesakit yang diberi minyak habbatus sauda sembuh dalam masa lebih singkat, berbanding pesakit tidak mengambil habbatus sauda.

Kumpulan pesakit yang diberi minyak habbatus sauda juga mempunyai jumlah pesakit sembuh lebih tinggi, berbanding kumpulan pesakit tidak menerima minyak habbatus sauda.

Penemuan menarik ini diterbitkan dalam Jurnal 'Complementary Therapies in Medicine' pada September 2021.

Satu kajian klinikal dijalankan di Pakistan juga menunjukkan hasil kajian yang setara. Kajian klinikal di Pakistan ini membabitkan 313 pesakit Covid-19 dengan 210 pesakit Covid-19 tahap sederhana dan 103 pesakit Covid-19 tahap teruk.

Kumpulan pesakit Covid-19 yang mengambil madu atau

habbatus sauda menunjukkan pengurangan gejala Covid-19 dalam masa empat hari, berbanding tujuh hari bagi kumpulan yang tidak diberi habbatus sauda atau madu.

Hasil yang sama juga dapat dilihat dalam kadar pembersihan virus (virus clearance), kadar kecepatan pulih dan kembali kepada aktiviti harian dan kadar kematian akibat Covid-19.

Kajian ini masih berlangsung ketika ini dan hasil kajian terperinci belum diterbitkan dalam jurnal saintifik.

Terdahulu, satu kajian mengenai potensi habbatus sauda sebagai antivirus semula jadi dalam merawat Covid-19 dilaporkan dalam 'Journal of Biomolecular Structure and Dynamics' pada 2020.

Kajian ini menggunakan model pengkomputeran untuk mengenal pasti potensi habbatus sauda sebagai antivirus yang dapat dimanfaatkan dalam rawatan Covid-19.

Rumusan hasil kajian ini menunjukkan, salah satu bahan bioaktif yang terdapat dalam habbatus sauda, 'dithymoquinone', mampu menghalang lekatan virus SARS-CoV2 kepada sel badan manusia, seterusnya menghalang jangkitan.

Penemuan ini mungkin dapat menerangkan salah satu mekanisma keberkesanan habbatus sauda dalam merawat Covid-19.

Namun perlu diingat, pengambilan habbatus sauda dan makanan tambahan lain untuk meningkatkan imuniti badan dalam mencegah dan melawan penyakit seperti Covid-19, perlulah selari dengan amalan kesihatan yang lain.

Pemakanan seimbang, gaya hidup sihat merangkumi kesihatan fizikal dan mental perlu dititikberatkan dalam mencapai kesihatan menyeluruh serta hidup yang berkualiti.

Di samping itu, masyarakat perlu diingatkan kesan pengambilan makanan tambahan ini terhadap tahap kesihatan adalah bersifat umum dan tidak menyumbang kepada imuniti berkelompok.

Kesan spesifik terhadap kesihatan seperti penghasilan antibodi spesifik hanya dapat diperoleh dengan pengambilan vaksin Covid-19 atau apabila seseorang itu mendapat jangkitan Covid-19.

Oleh Dr Rosmaliza Ramli

Pensyarah Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Pergigian, USM

Prof Madya Dr Norhayati Luddin dan Pensyarah Prostodontik,
Pusat Pengajian Sains Pergigian, USM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 6:35 AM