PLASMA darah penderma akan diproses aferesis untuk mengasingkan sel darah. - FOTO Google
PLASMA darah penderma akan diproses aferesis untuk mengasingkan sel darah. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MINGGU lalu, seorang bekas pesakit jangkitan Covid-19 menjadi penderma pertama mendermakan plasma darah untuk dijadikan serum bagi merawat penghidap wabak terbabit.

Bekas pesakit terbabit memiliki antibodi untuk melawan virus Covid-19 dan kesan penggunaan serum itu diharap membantu pemulihan pesakit lain.

Dijangkakan, lebih ramai bekas pesakit Covid-19 akan tampil melakukan perkara sama bagi membantu menyelamatkan nyawa pesakit lain.

Pakar Perunding Perubatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Faizal Amri Hamzah berkata, rawatan pencegahan adalah langkah terbaik menangani wabak ini.

Katanya, kaedah plasma darah berpotensi membantu merawat pesakit, namun ia masih dalam peringkat kajian rawatan.

Menurutnya, perkongsian kaedah rawatan ini dalam jurnal kesihatan antarabangsa ke atas lima pesakit turut mendapat perhatian dunia perubatan.

“Kaedah rawatan ini dinamakan sebagai ‘convalescent plasma’ yang mengandungi antibodi terhadap virus Covid-19.

“Cecair kekuningan mengandungi sejumlah titer antibodi Covid-19 diambil daripada darah bekas pesakit Covid-19 yang sembuh sepenuhnya.

“Ia kemudian dimasukkan ke tubuh pesakit tenat yang lain sebagai keimunan pasif bagi melawan virus itu,” katanya.

Menyentuh mengenai konsep dan kaedah rawatan, Dr Faizal Amri berkata, darah penderma (bekas pesakit Covid-19) akan disaring terlebih dahulu bagi memastikan ia bebas daripada sebarang virus termasuk HIV, Hepatitis B dan Hepatitis C apabila didermakan kelak.

PLASMA darah berwarna kuning yang didermakan bekas pesakit Covid-19. - FOTO Google
PLASMA darah berwarna kuning yang didermakan bekas pesakit Covid-19. - FOTO Google

“Jumlah antibodi penderma turut diperiksa supaya mencapai tahap yang bersesuaian.

“Seterusnya, satu proses aferesis akan dilakukan untuk mengasingkan sel darah dan hanya antibodi serta serum yang diekstrak,” katanya.

Beliau berkata, bahan yang terhasil daripada proses ini dinamakan ‘convalescent plasma’ dan akan dimasukkan ke dalam tubuh penerima melalui transfusi (pemindahan darah) ke salur darah pesakit penerima.

Namun, jelasnya, pesakit hendaklah terlebih dahulu bersetuju untuk mencuba kaedah rawatan ini kerana keberkesanannya secara klinikal belum terbukti dengan lebih menyeluruh.

“Pesakit yang dianggap sesuai menerima kaedah rawatan ini ialah mereka yang mengalami komplikasi seperti kerosakan organ dan menggunakan bantuan mesin pernafasan.

“Transfusi ialah antara langkah terakhir untuk merawat pesakit selepas rawatan lain seperti antiviral dan steroid diberikan terlebih dahulu” katanya.

Sementara itu, Pakar Klinikal Penyakit Berjangkit HCTM, PPUKM, Dr Najma Kori berkata, beberapa percubaan dalam penggunaan ‘convalescent plasma’ ke atas pesakit menunjukkan peningkatan tahap kesembuhan seawal beberapa hari selepas transfusi plasma darah dilakukan.

Katanya, peningkatan ini ketara daripada segi pembaikan parameter jangkitan ujian darah dan pengimejan radiologi ke atas radang paru-paru.

PESAKIT Covid-19 berisiko diberikan antibodi bekas penghidap yang sudah pulih sebagai keimunan pasif bagi melawan virus itu. - FOTO Google
PESAKIT Covid-19 berisiko diberikan antibodi bekas penghidap yang sudah pulih sebagai keimunan pasif bagi melawan virus itu. - FOTO Google

“Hasil ujian awal ke atas sebilangan kecil pesakit ini menunjukkan kemungkinan ia boleh berkesan sebagai pilihan rawatan jangkitan Covid-19.

“Malah wujud juga beberapa pendapat mencadangkan agar kaedah ini mungkin boleh diguna pakai sebagai langkah rawatan awal semasa wabak.

“Lebih-lebih lagi ke atas pesakit mempunyai pelbagai penyakit kronik atau yang mempunyai daya tahan sistem imun lemah bagi mengelakkan gejala menjadi lebih teruk,” katanya.

Dr Najma berkata, meskipun ujian awal menunjukkan perkembangan memberangsangkan, ada beberapa isu mengenai penggunaan teknik transfusi plasma ini yang masih menjadi tanda tanya.

“Sehingga kini, persoalan berkaitan jumlah antibodi perlu dikumpul dalam proses aferesis daripada penderma dan jumlah sebenar isi padu plasma yang optimum perlu ditransfusikan kepada penerima belum diketahui,” katanya.

Selain itu, katanya, kesan sampingan daripada proses transfusi darah juga perlu diambil kira.

“Antara kesan sampingan transfusi ialah alahan terhadap serum, jangkitan kuman darah dan kecederaan lanjutan paru-paru.

“Tentunya penggunaan kaedah ini untuk merawat jangkitan Covid-19 perlu dikaji secara lebih mendalam seperti kajian ‘Randomized Clinical Trial’ sebelum penggunaannya dibuat secara besar-besaran.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 7:00 AM