SEGERA berjumpa doktor jika demam pada suhu yang tinggi.
SEGERA berjumpa doktor jika demam pada suhu yang tinggi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

INFLUENZA ialah jangkitan virus yang menyerang sistem pernafasan iaitu hidung, tekak dan paru-paru.

Ada perbezaan klinikal yang ketara di antara jangkitan virus influenza dengan selesema biasa.

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad berkata, jangkitan virus influenza selalunya bermusim.

Di Malaysia, ia kerap berlaku antara November atau Disember sehingga Februari atau Mac.

Menurut Dr Zubaidi, virus ini sangat agresif, mudah merebak dan menyebabkan mangsa jangkitan lebih sengsara.

“Selalunya mangsa jangkitan mengalami masalah demam tinggi dan berulang, sakit kepala yang kuat serta sakit badan yang teruk.

“Mereka selalunya menjadi letih dan tidak bermaya selepas beberapa hari dijangkiti virus,” katanya.

Dr Zubaidi berkata, pesakit akan mengalami sakit tekak, batuk teruk dan kesukaran bernafas kerana itu adalah bahagian sasaran virus ini.

“Sekiranya tidak mendapatkan rawatan segera, kemungkinan pesakit akan mengalami masalah kesukaran bernafas, penyakit radang paru-paru dan tidak sedarkan diri serta perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Pesakit yang datang ke klinik dalam keadaan batuk, selesema dan demam akan menjalani pemeriksaan darah menggunakan ‘influenza kit’ untuk mengesan antibodi yang melawan virus ini dalam darah,” katanya.

Menurut Dr Zubaidi, sekiranya ujian pemeriksaan itu positif, bermakna pesakit dijangkiti virus influenza dan akan diberikan ubat antivirus.

Menurut Dr Zubaidi, pesakit perlu dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut sekiranya mengalami demam yang tinggi, tidak bermaya dan kesukaran bernafas.

Jangkitan virus selesema pula, Dr Zubaidi berkata, ia tidak bermusim dan boleh berlaku sepanjang tahun.

“Jangkitan virus biasa atau selesema selalunya tidak berbahaya dan boleh sembuh dalam masa lima hingga tujuh hari.

“Namun ia boleh menjadi lebih lama kepada pesakit yang mempunyai masalah daya tahan seperti pesakit kencing manis,” katanya.

Menurut Dr Zubaidi, tanda jangkitan virus selesema yang biasa seperti demam, sakit kepala, sakit badan, letih dan tidak bermaya selalunya jarang berlaku atau tidak terlalu teruk.

“Pesakit turut mengalami sakit tekak, batuk dan sukar bernafas kerana jangkitan virus selesema, tetapi tidak membabitkan saluran pernafasan bahagian yang dalam seperti trakea, bronkus dan paru-paru-paru,” katanya.

Menurut Dr Zubaidi, berdasarkan laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, virus influenza lebih mudah menjangkiti wanita hamil berbanding yang tidak hamil.

“Tahap serius jangkitan lebih dirasai wanita hamil dan mereka berisiko mendapat komplikasi kegagalan fungsi paru-paru lebih tinggi.

“Jangkitan virus influenza boleh menyebabkan kecacatan pada bayi seperti kerosakan saraf,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 7:30 AM