Kuala Lumpur: Kerajaan dilihat mempunyai persediaan baik untuk memberikan suntikan dos vaksin penggalak kedua kepada rakyat Malaysia, memandangkan bekalan vaksin itu sudah tersedia di negara ini.
Pakar Virologi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Chee Hui Yee berkata, bagaimanapun tidak ramai ingin mengambil dos vaksin penggalak kedua.
"Saya mencadangkan individu berisiko tinggi seperti yang menghidap penyakit kronik, terimunokompromi dan mereka yang sentiasa bergaul dengan pelawat asing supaya mengambil dos vaksin berkenaan.
"Langkah ini dapat mengurangkan kebarangkalian mengalami kesan teruk.
"Namun, kita tidak boleh katakan ia tidak akan mengalami kesan teruk 100 peratus. Ini kerana, ia bergantung kepada sistem imun individu terbabit," katanya.
Dr Chee berkata, beliau berpendapat tidak semua penerima vaksin dos penggalak perlu mengambil dos vaksin penggalak kedua kecuali golongan berisiko tinggi.
"Tambahan pula, rakyat Malaysia sudah mengetahui bagaimana mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang mudah iaitu memakai pelitup muka dengan cara betul serta kerap mencuci tangan.
"Tetapi, masih ada yang memakai pelitup muka secara tidak betul dengan hanya menutup mulut sahaja.
"Ramai tidak faham titisan penafasan mengandungi virus juga dihembus keluar daripada hidung dan seterusnya meningkatkan risiko jangkitan," katanya.
Selain itu, beliau berkata, masyarakat tidak perlu bimbang dengan kemuculan Varian BA.5.2 dan BF.7 Covid-19 di Malaysia.
Jelasnya, setakat ini, tiada data menunjukkan varian itu lebih berbahaya daripada varian Delta.
"Kebiasaannya, virus baharu menjadi lebih mudah merebak, tetapi sangat tidak patogenik," katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat dan Ekonomi Kesihatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kerajaan perlu menimbang semula keputusan menerima kedatangan pelancong dari China, sekiranya Malaysia tidak bersedia untuk menyaring semua pelancong negara republik berkenaan.
"Tetapi pilihan terbaik pada masa ini ialah menghalang mereka daripada memasuki Malaysia.
"Ini kerana, kemungkinan varian baharu dibawa masuk dari China adalah tinggi," katanya.
Berkenaan persediaan Malaysia berhadapan varian baharu, Dr Sharifa Ezat menegaskan, ujian saringan dan pengasingan terhadap pelancong yang positif Covid-19 perlu dimantapkan.
"Selain itu, mereka perlu menjalani kuarantin sekurang-kurangnya lima hari dan disusuli dengan ujian RT-PCR (real-time reverse transcription-polymerase chain reaction).
"Semua kos untuk prosedur ini perlu ditanggung sepenuhnya pelancong dan bukannya kerajaan Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihati rakyat Malaysia supaya mengelak bergaul dengan mereka yang baru tiba dari China, memakai pelitup muka dan mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak.