FAKTOR pelaku melakukan gangguan seksual didorong oleh kuasa, agresif dan manipulasi.
FAKTOR pelaku melakukan gangguan seksual didorong oleh kuasa, agresif dan manipulasi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


‘SELAK kain sikit saja, bukan nampak apa pun.’ ‘Siapa suruh pakai pakaian seksi, sebab itu kain diselak.’ Ini antara alasan biasa diberikan pelaku gangguan seksual di tempat kerja apabila diminta memberikan penjelasan mengenai tindakan tidak bermoral dilakukan terhadap mangsa.

Malah perbuatan pelaku yang berulang kali itu juga menyebabkan mereka dianggap mempunyai masalah mental.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria berkata, hakikatnya gangguan seksual banyak dilakukan oleh individu normal yang tidak mempunyai masalah mental, tetapi pesakit mental sering dipersalahkan.

Beliau berkata, lazimnya individu ini juga ‘bertopengkan’ karakter yang baik sehingga membuatkan masyarakat terpedaya di sebalik perilaku buruk dilakukannya.

“Ini kerana pelaku mempunyai personaliti tertentu iaitu narsisistik. Ia kecenderungan memuja atau mengagumi diri sendiri dengan berlebihan.

“Narsisistik ialah antara ciri pelaku gangguan seksual apabila individu ini mudah rasa tercabar jika wanita yang digodanya tidak menunjukkan minat terhadapnya,” katanya.

Menurutnya, ia mendorong lelaki terbabit melakukan tindakan berkenaan berulang kali kerana berasakan perlu mendapatkan perhatian daripada wanita diminatinya.

GANGGUAN seksual menyebabkan mangsa tertekan.
GANGGUAN seksual menyebabkan mangsa tertekan.

“Situasi yang berterusan ini membuatkan mangsa berasakan dirinya tidak selamat dan terancam.

“Lelaki yang mempunyai ciri narsisistik ini berpotensi lebih tinggi menjadi pelaku gangguan seksual berbanding pelaku yang mempunyai masalah mental,” katanya.

Katanya, ciri kedua ialah psikopat yang seseorang itu mempunyai personaliti antisosial sehingga menunjukkan tingkah laku tidak normal.

“Golongan ini turut tidak mempunyai empati terhadap orang lain dan berasakan perlu mendapatkan sesuatu yang dirasakan haknya.

“Mereka sepatutnya datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan psikoterapi, tetapi tidak mahu berbuat demikian,” katanya.

Dr Hazli berkata, ‘machiavellianisme’ ialah ciri ketiga pelaku gangguan seksual.

Ia gabungan daripada narsisistik dan psikopat.

“Lelaki yang memiliki ciri-ciri ini suka mengambil kesempatan, bersifat licik dan pandai menipu,” katanya.

DR Hazli
DR Hazli

Katanya, ciri seterusnya ialah ketiadaan nilai moral apabila individu ini boleh menukar cara berfikir dengan berasakan perbuatannya tidak salah daripada segi agama, moral dan sebagainya.

“Tidak mustahil juga pelaku memutarbelitkan fakta demi menyelamatkan dirinya yang kononnya tidak bersalah melakukan perbuatan tidak bermoral,” katanya.

Jelasnya, ciri terakhir adalah sikap pelaku yang menganggap wanita bukan setanding mereka, lemah dan mudah dimanipulasi.

“Ada kalanya gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja, bukan kerana pelaku menyukai mangsa, sebaliknya membenci mereka.

“Tindakan itu juga didorong oleh rasa terancam terhadap mangsa,” katanya.

Selain itu, Dr Hazli berkata, gangguan seksual di tempat kerja juga bukan disebabkan nafsu semata-mata, tetapi lebih menjurus kepada kuasa, keagresifan dan memanipulasi.

“Penganiayaan perlu dihalang daripada terus berlaku atau lebih ramai wanita yang menjadi mangsa lelaki tidak berhati perut ini.

“Mangsa perlu berani tampil berkongsi kisah sebenar dan membuat laporan kepada polis,” katanya.

Dr Hazli berkata, gangguan seksual boleh memberikan kesan psikologi kepada mangsa seperti kebimbangan melampau, kemurungan, masalah tekanan pasca-trauma (PTSD).

“Masalah ini menyebabkan mangsa hilang semangat ke tempat kerja selain kerap mengambil cuti sakit.

“Ini secara tidak langsung boleh menjejaskan prestasi kerjaya yang akhirnya berisiko kehilangan pekerjaan,” katanya.

Katanya, kesan paling teruk ialah mangsa ini membunuh diri kerana kemurungan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 7:00 AM