ATEROSKLEROSIS punca asas penyakit CAD, Serebrovaskular, PVD.
ATEROSKLEROSIS punca asas penyakit CAD, Serebrovaskular, PVD.
Aniza Zainudin


KES kematian membabitkan atlet di lapangan pasti menjadi persoalan apabila sering dikaitkan dengan masalah jantung.

Melakukan aktiviti fizikal secara teratur, berdisiplin, menjaga pemakanan dan pengambilan nutrisi sebaiknya, isu kesihatan jantung dilihat seakan-akan mustahil berlaku pada mereka.

Perkara itu dikongsikan Pakar Runding Bedah Kardiotorasik, Dr Hardip Singh, yang mengakui golongan penggiat sukan selalunya tidak mengalami masalah jantung atau lebih khusus masalah arteri tersumbat.

“Mengambil contoh kejadian atlet terjatuh dan disahkan meninggal dunia, saya tidak menafikan mungkin faktor genetik berkaitan masalah jantung diwarisi daripada ahli keluarga.

“Risiko mendapat penyakit jantung bagi mereka yang mengalami masalah arteri mencecah 50 peratus sekiranya keluarga ada sejarah penyakit itu.

BERLAKU akibat plak berlemak terkumpul dalam arteri.
BERLAKU akibat plak berlemak terkumpul dalam arteri.

“Jika bapa mengalami sakit jantung, risiko anak lelaki mengalami masalah sama juga tinggi.

“Keadaan berbeza dengan anak perempuan kerana hormon estrogen mampu mengawal isu ini.

“Apabila mengalami menopaus, barulah risiko mendapat masalah ini sama seperti anak lelaki,” katanya ketika ditemui.

Arteri adalah saluran yang membawa darah beroksigen dan nutrien ke seluruh badan.

Manakala vena pula membawa darah dinyahtoksin dan sisa ke organ tertentu bagi tujuan pemprosesan dan penyingkiran.

Berikutan itu, penjagaan pembuluh darah perlu diambil berat apabila ia turut berisiko mengalami penyempitan dan pengerasan berpunca daripada pengumpulan plak berlemak, dikenali sebagai aterosklerosis.

Arteri memiliki lapisan pelapik pada dinding dalamnya dipanggil endotelium.

Fungsi endotelium merangkumi mengekalkan ciri separa telap salur darah, pembekuan darah dan kawalan tekanan darah.

RISIKO penyakit jantung.
RISIKO penyakit jantung.

Apabila berlaku ketidakseimbangan endotelium, ia membawa kepada masalah kardiovaskular.

Ini kerana darah dibawa ke seluruh badan mengandungi lemak, kolesterol, kalsium dan sebagainya terenap di kawasan itu.

Pengenapan bahan itu membentuk pengumpulan plak berlemak seterusnya menjadi aterosklerosis jika tidak dirawat.

Menurut Dr Hardip, aterosklerosis bermula apabila plak terbentuk dalam saluran darah.

Jelasnya, apabila pembentukan plak semakin bertambah di dalam arteri, ia mampu menjejaskan aspek kesihatan lain terutama membabitkan fungsi jantung.

Ujarnya, aterosklerosis bukan saja membabitkan kesihatan jantung, bahkan memberi impak terhadap otak, perut, kaki dan organ berkaitan dengan saraf jantung.

Lebih membimbangkan, aterosklerosis menjadi punca asas bagi penyakit arteri koronari (CAD), serebrovaskular dan vaskular periferi (PVD)

DR Hardip
DR Hardip

Kata Dr Hardip, antara simptom aterosklerosis yang selalu berlaku ialah sakit dada, nafas tercungap-cungap, mudah penat dan palpitasi.

“Gejala awal aterosklerosis tersembunyi dan hanya dikenal pasti apabila berlaku sekatan arteri penuh, hampir penuh atau dinding arteri sudah lemah.

“Kesannya juga berbeza mengikut bahagian badan.

“Risiko mengalami aterosklerosis jika tidak dirawat merangkumi tekanan darah tinggi dan kencing manis.

“Aterosklerosis juga diketahui meningkatkan risiko mengalami penyakit kardiovaskular seperti angin ahmar,” jelasnya.

Di Malaysia, penyakit arteri koronari mempunyai kelaziman kira-kira 30 peratus dengan usia awal purata 52 tahun.

Rawatan bagi aterosklerosis termasuk ubatan seperti antiplatelet, vasodilator, statin dan terapi senaman.

Dr Hardip menjelaskan, amalan gaya hidup sihat seperti kurangkan pengambilan makanan berlemak, manis dan masin, tidak merokok dan bersenam mampu mengurangkan risiko aterosklerosis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 5:15 AM