RADANG dalam perut.
RADANG dalam perut.
Nurul Husna Mahmud


KESAKITAN dialami pesakit gastrik atau gastritis boleh digambarkan seolah-olah ada luka di dalam perut yang diperah limau.

Kesakitan, pedih dan rasa nyeri boleh berlaku secara tiba-tiba dalam jangka pendek seperti gejala akut atau berperingkat dan lama yang merujuk kepada gejala kronik.

Menurut Pakar Perunding Gastroenterologi UiTM Private Specialist Centre (UiTMPSC) Dr Rafiz Abdul Rani, pesakit akan melalui episod pengalaman berbeza bergantung kepada punca penyakit berkenaan.

“Lazimnya orang yang biasa mengalami gastrik, mereka akan rasa sakit di bahagian perut sama ada di bahagian tengah atau bawah dada.

“Ada setengah orang mengaitkannya dengan pedih ulu hati. Pedih ulu hati tidak sama dengan gastrik, ia dipanggil refluks, iaitu keadaan ketidakselesaan yang berlaku apabila asid perut mengalir balik ke atas.

“Apabila makanan sampai ke perut, ia akan berada di sana kira-kira empat hingga lima jam. Makanan ini akan bercampur dengan jus gastrik dan asid hidroklorik yang dirembeskan oleh sel dalam perut untuk dicerna.

 ELAK makanan ‘tajam’ seperti nanas dan yang berasid tinggi.
ELAK makanan ‘tajam’ seperti nanas dan yang berasid tinggi.

“Asid ini sangat kuat dan ukuran pH bagi asid berkenaan ialah 1.5 menyamai asid biasa ditemui dalam makmal sekolah mahupun industri.

“Jadi, ada satu lapisan membran yang khusus untuk melindungi otot perut daripada terkena asid ini.

“Tetapi ada beberapa kes, lapisan membran ini menipis dan individu berkenaan mula merasai kesan asid. Itu dipanggil gastrik,” katanya turut mengakui lapisan berkenaan menipis seiring dengan faktor peningkatan umur, stres, jangkitan kuman dan gaya hidup.

Dr Rafiz berkata, pengambilan ubat tertentu antara punca kepada masalah gastrik berlaku kepada mereka.

“Ada sesetengah pesakit akan mengalami gejala radang perlahan-lahan dan ada juga menghadapi serangan mengejut.

“Itu bergantung kepada puncanya, termasuk mereka yang mengambil ubat tahan sakit dan ubat migrain contohnya ponstan dan ibuprofen.

VIRUS antara punca menyebabkan masalah gastrik kronik.
VIRUS antara punca menyebabkan masalah gastrik kronik.

“Selain itu ada kajian yang menunjukkan peningkatan pesakit gastrik.

“Ada teori mengatakan ia disebabkan pengaruh budaya Barat dalam pemakanan tempatan selain pengambilan makanan proses segera yang mengandungi banyak kandungan kimia, pengawet, cili dan jeruk.

“Tetapi kajian ini tidak begitu ketara kerana perbezaan individu mempunyai tahap ketahanan adalah berbeza mengikut diet tertentu.

“Namun penemuan terbukti ketika ini adalah jangkitan Helicobacter pylori iaitu bakteria yang biasanya mudah masuk ke dalam badan manusia seawal usia kecil lagi.

“Ada juga kes di mana bakteria ini tidak mengganggu fungsi perut tetapi kalau ada gejala kronik, kita akan ambil sampel tisu perut dan periksa.

“Jika didapati ada jangkitan bakteria, pesakit akan diberi antibiotik,” katanya.

Menjelang Ramadan, Dr Rafiz menyarankan individu yang sudah lama menghidap gastrik membuat persiapan tertentu bagi membolehkan mereka menjalani ibadat puasa dengan lancar.

“Bagi pesakit gastrik, ada beberapa perkara boleh dilakukan untuk mengurangkan kemungkinan diserang penyakit itu.

“Antaranya amalan seperti lengahkan sahur dan mempercepatkan berbuka sebaik tiba waktunya.

“Selain itu jaga pemakanan dengan mengelakkan makanan yang ‘tajam’ seperti nanas, oren dan mengandungi cuka.

“Malah mereka juga disarankan mengambil ubat perencat pam proton bagi mengurangkan asid perut,” katanya.

PERLUKAN antibiotik untuk kes jangkitan bakteria.
PERLUKAN antibiotik untuk kes jangkitan bakteria.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 1:49 PM