NASI impit dan kuah kacang boleh diambil secara sederhana.
NASI impit dan kuah kacang boleh diambil secara sederhana.
KURANGKAN makanan berkanji dan berlemak di hari raya.
KURANGKAN makanan berkanji dan berlemak di hari raya.
Hidayatul Akmal Ahmad


Sejumlah 3.5 juta rakyat Malaysia dewasa didapati menghidap diabetes pada 2015, yang juga jumlah keempat tertinggi penghidap penyakit itu di Asia. Sejak 20 tahun lalu, prevalen penyakit tidak berjangkit (NCD) dan faktor risiko di Malaysia meningkat dengan ketara.

Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan amat membimbangkan apabila diabetes jenis 2 meningkat lebih sekali ganda sejak 2006 hingga 2015 daripada 6.9 ke 17.5 peratus. Kes berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan orang dewasa iaitu risiko utama diabetes, juga meningkat 1.5 kali ganda dalam tempoh sama, daripada 26.4 kepada 48 peratus.

Memasuki perayaan Aidilfitri, pesakit diabetes diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam setiap pengambilan juadah hari raya seperti lemang, ketupat, rendang dan kuih muih yang boleh mempengaruhi paras gula dalam darah pesakit.

Pakar Pemakanan Klinikal Pusat Perubatan Tropicana, Wong Xue Yan berkata, pesakit diabetes perlu mengamalkan masa makan yang tetap.

“Meskipun hari raya, pesakit harus makan ikut masa dan jangan langkau tempoh makan ditetapkan. Selain itu, diet mereka haruslah sama dengan hari biasa.

“Mereka tidak digalakkan mengambil makanan yang berlebihan dan manis ketika musim perayaan. Pesakit diabetes juga perlu mengehadkan pengambilan kuih-muih dan biskut yang manis,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurut Wong, pesakit diabetes digalakkan mengambil sayur tidak berkanji dalam kuantiti yang banyak. Manakala, pengambilan sayur berkanji, seperti ubi-ubian harus dikurangkan.

“Pengambilan makanan berkanji lain seperti nasi, mi, roti, bijirin dan produk bijirin juga perlu dikurangkan. Selain itu, makanan berprotein harus diambil dalam kuantiti sederhana.

“Pesakit diabetes disarankan makan mengikut pinggan sihat, iaitu setengah daripada pinggan diisi dengan sayur-sayuran, diisi dengan makanan berkanji dan lagi diisi dengan makanan berprotein seperti ayam, ikan, daging, telur, tempe dan sebagainya. Kurangkan penganbilan minyak dan santan dengan mengehadkan pengambilan kuah serta sup,”katanya.

Mengenai juadah hari raya, Wong berkata, pesakit diabetes boleh mengambil hiangan itu tetapi dengan kuantiti sederhana atau sekadar merasa saja.

“Pesakit diabetes masih boleh menikmati hidangan seperti nasi impit, kuah kacang, kuah lodeh dan sebagainya.Tetapi mereka digalakkan menikmati makanan itu dalam kuantiti disarankan mengikuti konsep pinggan sihat. Kurangkan pengambilan kuah berlemak seperti yang disarankan.

“Tidak ketinggalan, mereka turut digalakkan minum segelas air kosong sebelum mengambil juadah hari raya. Mereka juga boleh mengambil minuman tanpa gula atau kurang manis seperti teh hijau, teh bunga tanpa gula atau kopi O kurang manis.

“Selain hidangan utama, pesakit diabetes juga boleh mengambil snek ringan, seperti sup, buah-buahan dalam kuantiti sederhana, biskut bijirin penuh dan sebagainya,” katanya yang turun menggalakkan pesakit mengambil air kosong lapan gelas sehari.

Wong turut menasihatkan, pesakit diabetes makan sikit dan kerap, seperti tiga hidangan utama dan dua kali makan snek. Ini boleh mengelakkan rasa terlalu lapar.

Snek ringan, seperti dua keping roti sandwic bijirin penuh, sebiji buah, tiga hingga enam keping biskut bijirin penuh, semangkuk salad amat digalakkan.

“Pengambilan makanan berkanji dan bergula berlebihan akan menyebabkan gula darah meningkat. Pesakit mungkin mengalami simptom seperti pening kepala, mata menjadi kabur, dahaga dan letih.

“Dalam tempoh jangka panjang, risiko bagi pesakit mendapat penyakit kronik yang lain seperti penyakit ginjal kronik, penyakit mata dan pemotongan kaki akan meningkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2017 @ 4:31 AM