Pemilik butik dalam talian dan fizikal, Sellection, Rafidah bersama suami tercinta, Abdul Hadi.
Pemilik butik dalam talian dan fizikal, Sellection, Rafidah bersama suami tercinta, Abdul Hadi.

Kuala Lumpur: Kisah pengasas butik dalam talian dan fizikal, Sellection, Nor Rafidah Khairuddin ini cukup memberi inspirasi dan pernah tular sebelum ini.

Mengimbas permulaan kejayaan, beliau pernah melakukan pelbagai kerja ketika berhijrah ke Montreal, Kanada pada tahun 2014.

Ianya termasuk menjadi pembantu dapur, bekerja di hotel "housekeeping job", mendapat gaji $10 (sekitar RM42) sehari sahaja demi niatnya untuk membantu suami dan menambah sumber pendapatan.

Ketika itu anak bongsu daripada tujuh beradik ini mengikut suami tersayang, Abdul Hadi Wisman yang bekerja di sana.

Paling kemuncak keputusannya mencuba nasib menjual mufin pisang hasil resipi ciptaan sendiri di kafe sekitar Montreal.

"Gigih saya jalan kaki dari satu kafe ke satu kafe di Downtown Montreal untuk memberi 'tester' mufin pisang. Saya dipandang jelek, kena 'reject' dan tidak ada siapa ingin menerima kerana saya muslim dan bertudung.

"Tapi ia tak mematahkan semangat dan saya terus kuat mencari peluang tanpa mengalah," katanya.

Kesungguhan Rafidah ini turut menjadi asbab kepada laluan rezeki dan kejayaannya kini.

Rafidah (kiri) pernah berhijrah ke Kanada.
Rafidah (kiri) pernah berhijrah ke Kanada.

"Jika dikenang semula semua kisah itu, saya ada kalanya menangis dalam kegembiraan. Tak sangka hasil duit jualan mufin itu, saya hargai diri dengan membeli beg tangan berjenama pertama di Montreal Premium Outlet.

"Terlintas pula nak jadi 'personal shopper' ambil pesanan dan tempahan daripada rakyat Malaysia. Masa itu niat nak beri peluang mereka yang lain untuk merasa pakai barangan mewah dan berjenama dengan harga mampu milik jenama dari Amerika Syarikat.

"Niat itu dipermudahkan, hingga saya tak sangka boleh memiliki perniagaan menjual beg tangan dan aksesori fesyen wanita dan lelaki yang tulen berjenama seperti Coach, Michael Kors, Fossil dan Kate Spade," katanya.

Bermula menggunakan medium Facebook Page - Branded Handbags by Rafidah untuk mengetengahkan perniagaan itu pada 2014, Rafidah kemudiannya membuka butik fizikal di Kuala Lumpur pada tahun 2018 dengan menubuhkan jenama Sellection.

Ia disusuli dengan mewujudkan domain laman sesawang www.sellection.com

Kini, Sellection.com - Branded Fashion Outlet ialah platform beli belah dalam talian pilihan utama dan dipercayai ramai di Malaysia.

Menariknya, jenama ini menyediakan pelan pembayaran ansuran sebanyak tiga kali buat semua pelanggan.

Ekoran fasa pandemik Covid-19 menyerang, cabaran yang dihadapi mereka ialah butik fizikal terpaksa ditutup dan tidak boleh beroperasi.

"Mujur laman sesawang menjadi penyelamat waktu getir ini kerana 80 peratus jualan diraih daripada situ. Pelanggan boleh membeli-belah secara dalam talian dengan mudah dan cepat di mana-mana sahaja pada bila-bila masa," katanya.

Mengetengahkan tagline 'Embracing Confidence' atau meraikan keyakinan telah berjaya merealisasikan impian ramai wanita serta lelaki untuk memiliki barangan berjenama antarabangsa serta kekal bergaya dan berkeyakinan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 4:52 PM