Mohammad Asyraf Khalib

SLOT Drama Sangat di TV3 terus menghiburkan penonton setia dengan drama bersiri baharu berjudul Oh My Hantaran.

Ia mengisahkan Mira, gadis idaman di kampung yang bercinta dengan Mail, seorang pemuda yang sangat rajin dan menghormati orang tua. 

Malangnya, hubungan mereka berdua tidak direstui oleh ayah Mira iaitu Sabri. Bagi Sabri, Mira perlu berkahwin dengan Rizal, anak ketua kampung yang berkelulusan universiti.

Apatah lagi, Rizal dikatakan bakal mewarisi tanah dan perniagaan milik ayahnya yang sudah pasti menjanjikan masa depan lebih cerah buat keluarga Sabri.

Disebabkan tidak bersetuju dengan hubungan Mira dan Mail, Sabri menetapkan syarat kepada Mail untuk menyediakan wang hantaran RM51,000 dalam masa sebulan.

Demi cinta, Mail berusaha mengumpul duit itu dalam tempoh singkat. 

Image

Simpati melihat Mail buntu mencari jalan penyelesaian, ibu Mail akhirnya meminta Mail berjumpa dengan ayah kandungnya, Malek di Kuala Lumpur. 

Malek kemudiannya meminta Mail mendapatkan kembali wang yang dipinjamkan kepada penghutang dan Mail akan diberikan ganjaran berdasarkan jumlah kutipan itu. 

Bermulalah cabaran Mail sebagai pemungut hutang demi mencari duit hantaran segera. 

Mail yang tidak mahu kehilangan Mira terpaksa merahsiakan kegiatan itu daripada pengetahuan Mira. 

Adakah Mail akan berjaya mengecapi kebahagiaan bersama Mira dan bagaimana pula dengan Rizal yang tidak berputus asa untuk menawan hati Mira?

Ikuti drama bersiri Oh My Hantaran yang disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis jam 8.30 malam hanya di TV3.

Drama bersiri ini diarahkan oleh Shuhaimi Lua menampilkan barisan pelakon seperti Elisya Sandha, Noki K-Clique dan MK K-Clique serta ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 4:13 PM