Noraniza Azmi

GANDINGAN mantap Farid Kamil dan Mimi Lana menerusi drama bersiri 'Masih Ada Rindu' ternyata tidak mengecewakan. 

Drama hasil adaptasi novel karya Mimie Afinie ini menemui penonton sejak 2 Jun lalu, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di TV3. 

 Drama bersiri 16 episod diarahkan oleh Osman Ali ini turut menampilkan barisan pelakon tanah air yang hebat seperti Dayang Areeda, Halim Radzi, Aishah Ilias, Fahmy Reza, Aleza Shadan, Rahim Jailani dan Kuna. 

Drama 'Masih Ada Rindu' ini mengisahkan pasangan suami isteri yang masih dibayangi hubungan yang lepas. Lebih menyedihkan, si isteri hidup dalam memori indah bersama arwah suaminya. 

Nurul Syafika (Mimi Lana) berkahwin dengan Lukman Hakim (Farid Kamil) walaupun walaupun tidak mendapat restu daripada ibunya, Zaleha. 

Kebahagiaan mereka hanya sekejap kerana Hakim pergi meninggalkan Syafika buat selama-lamanya. 

Selepas pemergian Hakim, Syafika menyedari yang dirinya hamil. Kelahiran anaknya diberi nama Luqman Adam membuatkan hidup Syafika lebih bermakna. 

Kegembiraan turut dikongsi bersama ibu dan ayah mentuanya. Luqman Hadi, bekas abang ipar Syafika pula jatuh cinta pada adik iparnya itu.

Hadi meluahkan perasaan kepada Syafika. Akan tetapi Syafika masih belum pasti perasaannya sendiri kerana cintanya terhadap Hakim tak pernah berubah. 

Apakah pengakhiran kisah mereka? Jangan lupa untuk teruskan menonton drama sensasi ini di TV3.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 12:17 PM