Barisan pelakon Guard Komando - FOTO Orangetree Production Sdn Bhd
Barisan pelakon Guard Komando - FOTO Orangetree Production Sdn Bhd
Muhammad Najmir Razaman

SLOT Diandra TV9 terus membawakan drama terbaik buat tontonan seisi keluarga.

Terbaharu, drama Guard Komando sudah mula menemui penonton bermula 28 Julai lalu. 

Drama bersiri 20 episod ini berkisar tentang Taman Kampung Coh yang sedang berhadapan dengan kes kecurian yang tinggi.

Selaku penghulu kampung, Pak Kassim mengadakan mesyuarat dengan beberapa wakil penduduk bagi mencari jalan penyelesaian namun semua usaha itu gagal dilaksanakan.

Kini, Pak Kassim menaruh harapan kepada Komandudu Adnan lakonan Shamsul Ghau Ghau yang dipercayai mempunyai pengalaman dan kemahiran bagi menyelesaikan masalah berkenaan. 

Komandudu menetapkan syarat bahawa dia akan memilih pasukannya sendiri iaitu ketiga-tiga anak lelakinya, Kholid, Mansur dan Dollah yang dilakonkan oleh Fendy Bakry, Mark Adam dan Jiggy Masin untuk bekerja dengannya mengawal kawasan perumahan mereka. 

Awalnya mereka bertiga tidak bersetuju kerana masing-masing mempunyai impian dan cita-cita yang lain, namun kerana cita-cita mereka tidak kesampaian, mereka terpaksa menuruti kehendak ayah mereka. 

Pengembaraan Guard Komando di Taman Kampung Coh bermula apabila mereka diberi kepercayaan untuk menyiasat kes kecurian yang berlaku di taman berkenaan.

Kehadiran Guard Komando memberi sinar kepada penduduk Taman Kampung Coh apabila mereka berjaya menyelesaikan pelbagai kes yang berlaku di kawasan perumahan berkenaan. 

Bagaimanapun, kehadiran mereka tidak disenangi oleh sekumpulan penjahat yang semakin sukar untuk melakukan operasi mengganggu penduduk di situ.

Saksikan lakonan pelakon hebat tanah air seperti Shamsul Ghau Ghau, Fendy Bakry, Mark Adam, Jiggy Masin, Ayunie Rizal dan ramai lagi dalam drama Guard Komando pada  setiap Khamis dan Jumaat, jam 8.30 malam bermula 28 Julai 2022 di TV9 atau strim langsung secara HD di www.tonton.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 2:51 PM