PENUH koleksi barangan antik di Srisari Spa.
PENUH koleksi barangan antik di Srisari Spa.
Hidayatul Akmal Ahmad

Lazimnya jika ke spa kita akan disambut dengan muzik atau alunan bunyi yang mendamaikan selain haruman segar dan aromatik.

Namun pernahkah anda menjejakkan kaki ke spa yang mempamerkan hiasan barangan antik? Srisari Spa di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor ada ada keunikan itu.

Pemiliknya, Nur Haniza Abdullah Amri, 37, berkata, idea mempamerkan barangan antik hadir apabila dia dan suami, Zul Helme Jaafar, 41, berkunjung ke sebuah kedai makan yang mempamerkan barangan antik sebagai hiasan.

Menurutnya yang lebih mesra disapa Nur, dia mula terfikir untuk mempamerkan hiasan barangan antik kerana mahu mencari kelainan dan berbeza dengan spa sedia ada.

NUR Haniza
NUR Haniza

“Idea hiasan dan susunan dalam spa ini hasil idea kami suami isteri. Dari semasa ke semasa bilangan barangan antik makin bertambah dan sering bertukar.

“Kebanyakan barangan antik ini kami dapat dari dalam dan luar negara. Antaranya radio, koleksi pinggan mangkuk lama, dulang, botol, almari, basikal, tin, gelas dan pelita.

“Untuk pengetahuan, kami juga menyediakan perkhidmatan sewa barangan antik kepada mereka yang memerlukan atau masih mencari hiasan pentas atau acara dengan harga berpatutan,” katanya.

AURA antik mengindahkan sudut.
AURA antik mengindahkan sudut.

Disebabkan mahu memberi kelainan, dia dan suami sanggup berhabis ribuan ringgit dan mengerah tenaga ‘mencantikkan’ semula barangan antik yang dibeli.

“Bukan semua barangan antik yang dibeli sedia ada cantik seperti yang anda lihat. Kami mengeluarkan duit sendiri bagi mencantikkan semula barangan khusus untuk dipamerkan di spa ini.

“Mujur suami seorang yang ringan tulang dan kreatif. Hampir semua barangan antik di sini hasil kerja tangannya termasuk membeli bingkai, membuat pancuran air dan menyusun atur,” katanya.

TERATUR laluan ke bilik spa.
TERATUR laluan ke bilik spa.

Nur berkata, setiap barangan antik yang dipamerkan mempunyai cerita dan nilai tersendiri. Hanya yang benar-benar cinta dan suka barangan antik akan memahami.

“Pada awalnya, saya dan suami agak pening untuk susun barangan antik di spa memandangkan keluasan agak terhad. Tetapi apabila melihat barangan yang semakin bertambah, kami tekad susun dan kemas yang akhirnya memberi kepuasan serta rasa lebih berbaloi.

“Paling menyeronokkan apabila ada pelanggan yang datang teruja dan memuji keunikan barangan antik yang dipamerkan. Selain itu kami turut berkongsi ilmu mengenai barangan ini terutama kepada generasi muda yang tidak sempat melihat atau menggunakan sendiri barangan lama berkenaan,” katanya.

Penulis turut kagum dengan dekorasi yang dipamerkan kerana pasangan suami isteri ini bijak memanfaatkan ruang yang ada. Setiap ruang diisi dengan barangan antik yang berjaya ‘menyorokkan’ kehambaran ruang jika dibiarkan kosong.

GAYA dekoratif yang mencuri perhatian.
GAYA dekoratif yang mencuri perhatian.

Begitu juga dengan hiasan pada dinding yang tersusun rapi. Kombinasi warna dinding yang cerah dan susun atur dulang, jam dinding serta almari klasik memberikan impak yang cantik lagi nostalgia.

Menurut Nur, ramai yang tidak menyangka dia baru saja berjinak dalam dunia mengumpul barangan antik kerana kuantiti yang dipamerkan luar biasa.

“Sebenarnya saya dan suami masih baru dalam bidang ini (mengumpul barangan antik). Orang kata masih setahun jagung. Tetapi ramai yang datang ke spa tidak percaya kerana kuantiti barangan antik dipamerkan seperti pengumpul veteran.

“Ada juga pelanggan mahu membeli barangan antik yang dipamerkan tetapi saya dan suami tiada niat untuk menjual kecuali barangan itu lebih daripada satu.

“Antara barangan antik kesayangan yang saya tidak akan jual adalah radio lama. Ia adalah barangan antik pertama yang dibeli dan meja solek tiga cermin yang memang susah untuk dicari,” katanya.

 KOLEKSI tin minuman.
KOLEKSI tin minuman.

Berkenaan kepuasan mengumpul barangan antik, Nur berkata, walaupun agak sukar dicari ditambah harga mahal dia tetap suka dan akan meneruskan hobinya itu.

“Saya puas apabila melihat barangan antik kerana mengingatkan saya kepada zaman kanak-kanak. Selain itu setiap barangan mempunyai nilai kenangan yang sangat berharga.

“Ada sesetengah barang antik sekitar tahun 1842 seperti teropong. Selain itu ada juga barangan antik yang berusia 90 tahun seperti pinggan piring batu dan pinggan mangkuk,” katanya.

KOLEKSI mangkuk tingkat.
KOLEKSI mangkuk tingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 8:38 AM