MOHD Rasi bersama rakan, Zulhafizi Zulkefli cuba menaikkan wau.
MOHD Rasi bersama rakan, Zulhafizi Zulkefli cuba menaikkan wau.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kemahiran, ketelitian dan kesabaran tinggi menjadi elemen penting untuk menghasilkan wau kapal Selangor yang berkualiti.

Kualiti itu diukur apabila wau berkenaan dapat dinaikkan dengan cepat dalam masa tujuh hingga 10 saat, berdiri tegak dan terbang tinggi di udara.

Tetapi, tidak semua orang dikurniakan kelebihan itu, melainkan mempunyai banyak pengalaman bermain dan membuat wau berkenaan.

Mohd Rasi Maswan, 46, adalah individu mempunyai kepakaran menghasilkan wau kapal Selangor berkualiti dan memiliki lebih 30 tahun pengalaman bermain dan membuat wau itu.

Kehebatannya dalam permainan tradisional itu terbukti apabila menjuarai banyak pertandingan wau.

Dia juga antara penyambung warisan wau di Kampung Kanchong Darat, Banting, Selangor yang dipelopori generasi terdahulu sejak 1985.

Menurutnya, hanya empat bahan diperlukan untuk menghasilkan wau kapal Selangor iaitu buluh minyak, benang, kertas dan timah kira-kira 300 gram sebagai pemberat di bahagian kepala.

"Tidak sukar mendapatkan buluh ini kerana saya menanam sendiri di halaman rumah.

"Buluh minyak mempunyai ciri-ciri keras, liat, tahan lama dan sesuai menghasilkan wau berkualiti.

"Namun, buluh yang ditebang tidak boleh terus digunakan untuk membuat wau kerana perlu dibiarkan sekurang-kurangnya satu bulan bagi tujuan pengeringan.

"Sebaik-baiknya dibiarkan enam bulan kerana buluh akan lebih berkualiti," katanya.

Katanya, proses pengeringan itu bukan dijemur di bawah matahari, tetapi dibiarkan di tempat terlindung daripada matahari.

"Selepas itu, buluh dibelah dan diraut dengan teliti serta digosok menggunakan kertas pasir untuk kehalusan.

"Sebanyak 11 buluh diperlukan untuk membuat rangka wau.

"Kepingan buluh yang hendak dijadikan sayap akan ditimbang menggunakan jari untuk mendapatkan keseimbangan sayap sebelah kiri dan kanan.

"Perlu diberikan lebih tumpuan ialah pada tulang belakang wau iaitu bahagian tengah kerana untuk mendapatkan kelajuan wau," katanya.

Katanya, wau sesuai dimainkan di kawasan lapang yang membabitkan dua pemain iaitu berperanan memegang wau dan memegang tali.

"Apabila angin bertiup, maka tali ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya hingga wau ini terbang tinggi di udara.

"Wau yang terbang perlu dikawal supaya talinya tidak terputus dan jatuh ke tanah.

"Pada masa sama, wau boleh terbang pada ketinggian mengikut panjang benang iaitu kira-kira 100 meter dan bertahan hingga dua tiga hari di udara selagi ada angin," katanya.

Mohd Rasi berkata, berdasarkan pemerhatiannya, pembuatan wau tidak boleh dilakukan secara ala kadar kerana membuatkannya terbang tidak cantik.

"Oleh itu, proses pembuatannya perlu dengan sepenuh hati kerana permainan tradisional ini mempunyai jiwa tersendiri.

"Satu lagi wau ada 'perangainya' yang mana ada harinya tidak mahu diterbangkan walaupun dihasilkan dengan sebaiknya.

"Minggu depan barulah dapat diterbangkan tanpa sebarang pengubahsuaian pada wau berkenaan.

"Selain itu, wau sama biasanya tidak mengulangi kejayaan merangkul gelaran juara dalam pertandingan lain," katanya.

Tambahnya, wau turut mempunyai tarikh luput iaitu enam bulan selepas pembuatannya tidak sesuai digunakan untuk pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 7:01 AM