Gelagat anak-anak di Jambatan Victoria.
Gelagat anak-anak di Jambatan Victoria.
Nor Hairulnizam Wahid


Hasrat pembantu pembedahan pergigian, Rozilah Rokman, 42, untuk melihat keindahan Jambatan Victoria ketika berkunjung ke Kuala Kangsar, Perak bersama keluarga hampir saja membuatnya kecewa.

Pemanduan berpandukan aplikasi Waze, membawanya ke jambatan yang popular dalam kalangan pelancong tetapi apa yang disaksikannya pada kunjungan pertamanya menimbulkan situasi aneh.

"Tiada orang di sini," katanya merujuk kepada pengunjung yang datang ke kawasan Kampung Seberang Karai, Enggor.

Beberapa pengunjung yang turut 'tersesat' juga kelihatan kecewa apabila melihat tarikan sebenar pengunjung berada di seberang sana.

Sesekali, kelihatan pengguna motosikal yang memanfaatkan jambatan ini untuk melintas selepas ia tidak lagi beroperasi sebagai laluan kereta api.

Jambatan yang juga dikenali sebagai Jambatan Enggor itu antara jambatan kereta api tertua di Malaysia, mula dibina sejak 1897 dan siap tiga tahun kemudian.

Malah jambatan berkenaan kemudiannya dirasmikan Sultan Perak ketika itu, Sultan Idris Murshidul Azzam Shah pada tahun 1900.

Ia dinamakan sempena Ratu Victoria dan berfungsi untuk menghubungkan Enggor dan Kuala Kangsar, sebelum digunakan sebagai laluan dari Perai, Pulau Pinang ke Johor pada 1910.

Dari kejauhan, kelihatan ramai pengunjung berhenti untuk bergambar pada penghujung jambatan itu yang merentangi Sungai Perak.

Maklumat dan sejarah Jambatan Victoria turut dipaparkan buat pengunjung.
Maklumat dan sejarah Jambatan Victoria turut dipaparkan buat pengunjung.

Keadaan itu pasti membuat mana-mana pengunjung berasa mereka tersilap jalan meskipun sudah berada di tebing jambatan berkenaan.

"Namun pada masa sama, saya tertarik dengan inisiatif penduduk Kampung Seberang Karai yang menjadikan kawasan mereka berbaloi untuk dikunjungi," kata ibu kepada empat cahaya mata dari Bangi, Selangor itu.

Penduduk kampung berkenaan jelasnya ternyata bijak menghias kawasan tebing sungai berkenaan sehingga tampil sebagai tarikan kepada pengunjung yang 'tersasar' angkara Waze.

Mereka menghias kawasan sekitar dengan pelbagai barangan kitar semula dan dicat dengan aneka warna bagi menimbulkan suasana ceria di tebing sungai itu.

Antaranya bilah kipas yang dicat aneka warna selain pelbagai tanaman berbunga yang mengindahkan landskap sekitarnya.

Tidak cukup dengan itu, bersedialah untuk satu lagi kejutan di bawah jambatan berkenaan.

Sebuah muzium mini menanti di bawah jambatan dalam persekitaran yang lapang, bersih dan mengujakan.

Antara 'artifak' yang dipamerkan termasuklah lesung kaki, mesin getah keping, dapur minyak tanah dan seterika arang yang tidak lagi digunakan pada zaman ini.

"Saya gembira dapat mendekatkan anak-anak dengan kehidupan zaman dahulu dan peralatan yang digunakan," kata Rozilah.

Rozilah bergambar di landasan yang dihubungkan dengan Jambatan Victoria.
Rozilah bergambar di landasan yang dihubungkan dengan Jambatan Victoria.

Puas bergambar dan mengabadikan kenangan di hujung jambatan berkenaan bersama keluarga, Rozilah kemudiannya menghala ke seberang jambatan itu.

Untuk itu, dia dan keluarga perlu melalui kawasan kampung berkenaan sebelum menyeberangi Jambatan Sultan Iskandar menuju ke pekan Karai yang akhirnya membawa mereka ke hujung jambatan bertentangan.

Suasana di sini jauh berbeza dengan kawasan tebing sungainya yang dibangunkan bagi menampung kehadiran pengunjung ke sana semata-mata untuk mengabadikan kenangan di jambatan kereta api lama itu.

Ada di antara pengunjung yang berani berjalan hingga ke tengah untuk bergambar dan menikmati pemandangan, namun ada juga yang lebih selesa bergambar di tepi jambatan, apatah lagi jika membawa anak kecil.

Turut dipaparkan, sejarah mengenai Jambatan Victoria sejak ia dibina sehingga kini dan menurut Rozilah, ia amat membantu pengunjung yang ingin mengetahui mengenai pembinaan jambatan berkenaan.

Antara fakta menarik mengenai jambatan berkenaan, ia pernah dibom ketika Perang Dunia Kedua untuk menghalang kemaraan tentera Jepun.

Sebuah kereta klasik menjual minuman kegemaran menanti di Jambatan Victoria.
Sebuah kereta klasik menjual minuman kegemaran menanti di Jambatan Victoria.

Bagi memberi kemudahan kepada pengunjung, pelbagai infrastruktur yang turut disediakan antaranya menempatkan kedai cenderahati dan kedai makan yang menyajikan makanan popular di negeri ini iaitu laksa.

Ia turut menempatkan sebuah hotel bagi yang ingin bermalam di tebing Sungai Perak itu.

Jika haus, sebuah kereta klasik berwarna hijau yang menjual minuman kegemaran rakyat Malaysia menanti di pinggir jalan dan anda pasti senang dengan keramahan peniaganya.

Apa yang pasti, kunjungan ke Jambatan Victoria memberikan pengalaman berharga buat Rozilah dan keluarga.

"Tak rugi melawat kedua-dua tebing Jambatan Victoria. Kedua-duanya mempunyai tarikan tersendiri yang wajar dihargai setiap pengunjung," kata Rozilah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 6:30 AM