NUR Syuhada merakam gambar raya bersama keluarga dengan latar jambatan kereta api unik.
NUR Syuhada merakam gambar raya bersama keluarga dengan latar jambatan kereta api unik.
Nurul Husna Mahmud


Latar belakang unik banyak membantu foto raya dirakam sebagai kenangan sekali gus menyuntik suasana lebih dramatik dan nostalgia apatah lagi rakaman itu dilakukan bersama orang-orang tersayang.

Pelbagai faktor diambil kira dari pemandangan, penceritaan dan sejarah lokasi dilihat banyak membantu menaikkan lagi mood terutama apabila dipilih menjadi latar belakang gambar sempena hari raya.

Buat Nur Syuhada Mohd Tarmizi, 25, selepas dua tahun beraya dalam keadaan 'terkurung,' detik meraikan Aidilfitri tahun ini lebih mengujakan kerana dapat merakam kenangan di lokasi unik.

Katanya yang juga penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Bahan dan Teknologi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam , Selangor lokasi bersejarah seperti Jambatan Victoria yang terletak di Karai, Kuala Kangsar, Perak menjadi pilihan sesuai untuk merakam gambar hari raya.

"Lokasi Jambatan Victoria yang mempunyai rel kereta api lama berwarna hitam menjadikan seseorang itu menonjol walau apapun pilihan baju raya. Apatah lagi dalam persalinan baju raya selalunya menggunakan warna terang dan menyerlah menyebabkan ia tampak menarik dalam foto.

"Jambatan ini juga tidak jauh dari lokasi rumah saya iaitu kira-kira 15 minit pemanduan. Apatah lagi ia berada dalam laluan ke rumah saudara dan kesempatan itu digunakan untuk saya merakam gambar raya bersama keluarga," katanya.

Tambah Nur Syuhada, ketika dia merakam gambar, kawasan tarikan pelancongan itu sudah sedia dipenuhi pengunjung yang tidak melepaskan detik untuk merakam gambar raya.

"Biarpun raya, lokasi itu dipenuhi ramai orang untuk bergambar. Bayangkan sepanjang laluan rel itu merentas Sungai Perak, setiap sisi, sudut dan di tengah rel, ada sahaja pengunjung mengenakan baju raya datang untuk merakam gambar.

"Malah ada juga orang luar yang mungkin kebetulan pulang ke kampung, tidak melepaskan peluang untuk rakam gambar raya atas jambatan kereta api lama itu. Bukan sahaja di rel kereta api, D'Village Hotel @Victoria Bridge, iaitu kawasan penginapan berhampiran juga menjadi tumpuan.

"Hotel itu menarik kerana selain bata merah dan warna senada dengan latar lokasi jambatan itu, ada juga lokasi malar hijau iaitu tumbuhan hiasan menjalar pada pagar hotel membuatkan ia menjadi sudut menarik untuk diabadikan," katanya.

HOTEL baru turut memiliki pemandangan menarik menerusi pagar dilitupi pokok hiasan selain warna bata bangunan senada dengan tembok di Jambatan Victoria.
HOTEL baru turut memiliki pemandangan menarik menerusi pagar dilitupi pokok hiasan selain warna bata bangunan senada dengan tembok di Jambatan Victoria.

Kata Nur Syuhada, selain hotel, dataran sungai berhampiran juga menjadi tempat sesuai untuk merakam foto apatah lagi sebagai kenangan pernah singgah atau berada di lokasi.

Sementara itu, Nurul Azimah Mohd Haris pula, memilih Tasik Chendroh yang terletak di pekan Sauk, Kuala Kangsar sebagai lokasi 'outfit of the day' (OOTD) ketika raya baru-baru ini.

Kata Nurul Azimah, latar belakang tasik hijau dengan bunga teratai yang mengembang menyebabkan panorama itu menjadi pilihan untuk dia bergambar raya.

"Tidak kisahlah panas atau tidak selesa, asalkan dapat OOTD dengan latar menarik. Tambah pula mengenakan baju raya, penting untuk pilih panorama atau sudut sesuai sebagai kenangan pada hari penting.

"Apabila dapat dikongsi di akaun media sosial dan mendapat reaksi yang positif, itu menunjukkan saya bukan sekadar berkongsi keseronokan raya sebaliknya keindahan yang jarang dapat dilihat oleh orang lain.

"Bagi orang tempatan atau yang tinggal di kawasan situ, tentunya ia pemandangan biasa-biasa sahaja. Tetapi bagi orang luar seperti saya dan tinggal di kawasan bandar, balik ke kampung dan beraya bersama keluarga sambil menikmati pemandangan sedemikian adalah pengalaman paling bermakna," katanya.

NURUL Azimah melihat latar tasik berwarna kehijauan dengan tumbuhan teratai memberi efek baik sebagai latar gambar menarik.
NURUL Azimah melihat latar tasik berwarna kehijauan dengan tumbuhan teratai memberi efek baik sebagai latar gambar menarik.

Menjelaskan mengenai lokasi Tasik Chendroh itu sendiri, kata Nurul Azimah, kawasan itu semakin sunyi apabila ramai penduduk sudah meninggalkan kediaman mereka untuk tinggal di lokasi kampung yang baru.

"Lokasi yang saya rakam ini adalah kampung saudara iaitu Changkat Duku. Sejak kecil sehinggalah hari ini, menjadi rutin untuk datang beraya di sini. Namun sejak tiga hingga empat tahun kebelakangan ini, kawasan kampung ini semakin sunyi apabila ada penempatan kampung baru di buka.

"Kampung Changkat Duku adalah kampung terletak betul-betul di pinggir tasik dan apabila musim banjir, ia antara terjejas terutama apabila air empangan terpaksa dilepaskan. Atas faktor itu ramai penduduk dipindahkan untuk tinggal di kawasan selamat," katanya.

Selain kawasan Tasik Chendroh, lokasi lain menjadi pilihan ialah kawasan bendang atau sawah padi di Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar. Pemandangan gunung-ganang hijau dengan pokok padi yang masih menghijau memberi latar menarik.

"Satu lagi kawasan popular menjadi 'port' orang tempatan atau orang luar bergambar ialah kawasan sawah bendang di Kota Lama Kanan. Kawasan ini masih dikenali kawasan kampung tradisi kerana masyarakat kampungnya masih mengerjakan bendang selain ada industri kecil seperti labu sayong.

"Saya juga tidak lepaskan peluang untuk rakam kenangan di lokasi ini yang kebetulan tidak jauh dari salah satu lokasi beraya saya bersama ahli keluarga," katanya.

Keistimewaan lokasi atau panorama ini menjadi latar belakang gambar raya adalah tiada kerja-kerja suntingan perlu dilakukan kerana ia sudah sedia menarik dan memiliki nostalgia tersendiri.

LOKASI sawah dan bendang menjadi pilihan peminat aktiviti bergambar merakam kenangan raya.
LOKASI sawah dan bendang menjadi pilihan peminat aktiviti bergambar merakam kenangan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 6:43 AM