Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sungai Siput: Mayat lelaki tanpa identiti yang ditemukan dibalut kain putih dalam kanvas di Kilometer 57, Jalan Gerik-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar pada 29 Mac lalu kini disiasat sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian lelaki berusia 40-an itu adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul.

Katanya, bagaimanapun identiti sebenar mangsa sehingga kini belum dikenal pasti susulan kesukaran mendapatkan cap jari akibat pereputan.

"Bagaimanapun kita percaya mangsa adalah rakyat tempatan berdasarkan parut suntikan pada lengan kirinya. Hebahan juga dilakukan membabitkan semua kontinjen (negeri) sekiranya terdapat laporan orang hilang sebagai langkah mengenal pasti identiti mayat," katanya ketika ditemui pemberita dalam program Kayuhan Muhibbah Hari Polis Ke-214 di Jambatan Victoria, Karai di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Program anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput itu dihadiri kira-kira 200 peserta yang rata-ratanya terdiri daripada pegawai dan anggota polis dari IPD di seluruh Perak dengan program dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) mengekang wabak Covid-19.

MIOR Faridalathrash (berbaju hijau, kiri) ketika menyertai program kayuhan santai Kayuhan Muhibbah anjuran IPD Sungai Siput sempena peringatan Hari Polis ke-214 di Jambatan Victoria, Karai. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MIOR Faridalathrash (berbaju hijau, kiri) ketika menyertai program kayuhan santai Kayuhan Muhibbah anjuran IPD Sungai Siput sempena peringatan Hari Polis ke-214 di Jambatan Victoria, Karai. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Mior Faridalathrash berkata, susulan itu kes yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kerana membunuh.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, terdapat banyak kesan lebam di muka, tangan, dada, perut serta kaki mangsa dipercayai akibat cuba mempertahankan diri ketika dipukul oleh lebih daripada seorang suspek.

Media pada 29 Mac lalu melaporkan penemuan mayat lelaki tanpa identiti ditemui dalam keadaan berbalut kain putih seakan-akan dikafan selain dilapisi kanvas plastik oleh orang awam di jalan menghala ke Kuala Kangsar pada 10.15 pagi.

Bangkai seekor ayam turut ditemukan berhampiran mayat selain mangsa dipercayai mati di tempat lain, namun dibawa ke tempat berkenaan iaitu lokasi yang jauh daripada kawasan kejiranan dan laluan utama antara Kuala Kangsar dan Gerik.

Mangsa memakai kemeja dan seluar pendek (sebelum dibalut) dengan dia dipercayai mati dalam tempoh antara 24 hingga 36 jam sebelum ditemukan.

Berita berkaitan

Misteri mayat berbungkus di tepi jalan di sisi bangkai ayam

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 4:23 PM
MAYAT lelaki tanpa identiti ditemui dalam keadaan berbalut kain putih seakan-akan dikafan selain ditutup kanvas plastik di tepi jalan di Kilometer 57, Jalan Gerik-Kuala Kangsar, pada 29 Mac lalu. FOTO Ihsan pembaca
MAYAT lelaki tanpa identiti ditemui dalam keadaan berbalut kain putih seakan-akan dikafan selain ditutup kanvas plastik di tepi jalan di Kilometer 57, Jalan Gerik-Kuala Kangsar, pada 29 Mac lalu. FOTO Ihsan pembaca