SUASANA di Denai Kabus.
SUASANA di Denai Kabus.
Nurul Husna Mahmud

Bagi mereka yang pernah memasuki pintu sempadan Betong, Thailand dari daerah Hulu Perak, pastinya menyedari Pekan Gerik antara pekan paling hampir selepas pekan Pengkalan Hulu.

Kedudukan Gerik yang cukup strategik iaitu terletak di tengah-tengah laluan utara, timur, selatan atau barat Semenanjung, menjadikan ia lokasi persinggahan dan dipanggil 'pekan rehat.'

Pengunjung yang datang untuk bercuti ke destinasi ini biasanya terdiri daripada kelompok pendaki atau peminat sukan ekstrim kerana terdapat dua gunung tertinggi di Semenanjung iaitu Kenderong dan Kerunai atau lebih dikenali dengan K2 terletak tidak jauh dari pekan terbabit.

Sebelum pandemik Covid-19, biasanya ramai pelancong luar datang untuk mendaki dan menikmati panorama dari puncak yang turut menyajikan pemandangan luar biasa sehingga menampakkan pemandangan segenap pekan Gerik.

Kedua-dua gunung ini turut menjadi buruan pendaki tempatan dan luar negara untuk merakam fenomena awan karpet dari puncak Gunung Kenderong.

GUNUNG K2 yang mempunyai panorama awan karpet.
GUNUNG K2 yang mempunyai panorama awan karpet.

Tarikan lain ialah konsep pelancongan Agro yang diusahakan penduduk tempatan termasuk seorang pesara guru, Ahmad Termizi Abdul Hamid, 61, bersama anak sulungnya, Mohd Hafez Istiqar, 37.

Menariknya lokasi percutian ala dalam ladang dikenali sebagai Denai Kabus itu juga mempunyai penceritaan menarik apabila namanya dipetik berdasarkan keadaan persekitaran kawasan itu yang berkabus.

Menurut Ahmad Termizi yang berperanan sebagai pengurus di destinasi terbabit, kedudukan Denai Kabus yang terletak dalam kawasan Kampung Pahat iaitu antara kampung yang paling hampir dengan kaki Gunung K2 membuatkan suhu persekitarannya sejuk.

"Saya masih ingat lagi ketika mula mengajar di Pekan Gerik iaitu sekitar tahun 70-an hingga 80-an, sejuknya kawasan Gerik ini sebelum dibangunkan sehingga minyak masak boleh membeku.

STRUKTUR chalet berbentuk piramid yang membuatkan kawasan itu  kelihatan seolah-olah perkampungan di luar negara.
STRUKTUR chalet berbentuk piramid yang membuatkan kawasan itu kelihatan seolah-olah perkampungan di luar negara.

"Namun lama-kelamaan apabila hutan ditebang untuk pertanian dan pembangunan, ekosistem mula berubah selain hanya sesetengah tempat masih saja boleh menikmati suasana itu.

"Denai Kabus salah satunya kerana setiap pagi boleh rasa sejuk seperti berada di tanah tinggi dan kabus masih boleh kelihatan sehingga melewati jam 12 tengah hari. Lebih ketara menjelang musim hujan," katanya.

Tambah Ahmad Termizi lagi, mereka yang menginap baik di chalet atau di khemah juga dapat merasai suasana sejuk dari malam sehinggalah ke tengah hari.

"Kalau di sini pasang kipas sudah memadai dan saya sendiri tidak memasang sebarang pendingin hawa chalet kerana suhu sudah cukup sejuk.

"Jika berkhemah pula, buka sahaja pintu khemah, anda boleh menikmati pemandangan berkabus seolah-olah sedang bercuti di tanah tinggi seperti Cameron Highlands atau Genting Highlands.

AKTIVITI rekreasi air seperti berkayak.
AKTIVITI rekreasi air seperti berkayak.

"Berlatarkan pemandangan gunung, rasanya anda boleh merehatkan diri atau mencari ketenangan,"katanya.

Mengenai aktiviti boleh dilakukan pengunjung di situ, kata Ahmad Termizi, pelbagai aktiviti berkonsepkan percutian dalam ladang boleh dilakukan pengunjung.

"Di sini ada pelbagai aktiviti boleh dilakukan pelbagai peringkat usia. Mereka boleh berkuda atau lakukan aktiviti sukan air seperti berkayak. Air dalam kolam buatan pula menggunakan air semula jadi iaitu sungai kecil berhampiran untuk kolam ikan dan rekreasi.

Jadi, anda boleh berkayak mahupun memancing di sini. Sebelum pandemik, saya juga pelihara pelbagai jenis ayam termasuk ayam selasih dan semuanya terpaksa dijual untuk kelangsungan apabila terputus sumber pendapatan bagi pembelian makanan haiwan ternakan terbabit.

"Haiwan peliharaan lain seperti arnab juga boleh dibelai dan dekati. Memang kami mahu konsep interaksi mesra dengan haiwan dan tanaman. Selain memberi pengalaman cara hidup ringkas dalam ladang tanaman dan ternakan," katanya.

Terbaru pihaknya berkolaborasi dengan Jabatan Pertanian Hulu Perak bagi mewujudkan plot tanaman hidroponik untuk penanaman strawberi dan pelbagai jenis sayur-sayuran.

MEMANCING ikan air tawar antara keseronokan di pusat rekreasi terbabit.
MEMANCING ikan air tawar antara keseronokan di pusat rekreasi terbabit.

"Projek terbaru untuk memperkembangkan lagi aktiviti boleh dilakukan di sini selain pengunjung boleh memetik dan menikmati buah-buahan seperti strawberi serta sayur-sayuran ditanam.

"Mereka boleh tuai sendiri. Malah pelbagai jenis tanaman seperti durian, pokok limau, pokok lemon dan rambutan ada di sini.

Setidak-tidaknya pengunjung yang datang dengan anak boleh pelajari atau mengenali tanaman dan rasai sendiri perasaan memetiknya," katanya yang berharap projek itu tersedia sebaik aktiviti pelancongan boleh dibuka pada semua.

Tidak terkecuali, pengunjung Denai Kabus turut berpeluang merasai pengalaman atau suasana 'kenduri.' Juadah atau menu wajib seperti gulai umbut pisang bersama daging antara juadah wajib di daerah itu.

"Bagi hidangan tetamu pula, biasanya kami sediakan gulai umbut pisang bersama daging. Ia antara gulai kenduri yang wajib. Kami turut hidangkan dalam dulang menggunakan pinggan mangkuk tembikar putih bermotif bunga kangkung.

"Air pula sirap serbat iaitu air yang biasanya disediakan ketika kenduri di sini. Jika ada rezeki, tetamu berpeluang hadiri kenduri yang betul-betul diadakan penduduk tempatan. Ini kerana, biasanya tuan rumah akan jemput tetamu atau pengunjung untuk sama-sama menikmati hidangan kenduri," katanya.

SESUAI dikunjungi bersama  anak-anak.
SESUAI dikunjungi bersama anak-anak.

Meskipun aktiviti pelancongan dan rekreasi sudah dibuka pada orang awam, namun kata Ahmad Termizi pihaknya hanya mengehadkan pengunjung menyertai aktiviti di situ namun untuk bermalam masih belum dibuka.

"Bagi aktiviti seperti memancing dan juga melawat ladang kami buka. Tetapi untuk penginapan terpaksa ditangguhkan sehingga keadaan pandemik terkawal," katanya.

Denai Kabus boleh diakses kira-kira 10 kilometer dari pekan Gerik dengan pemanduan kira-kira 15 minit dengan perjalanan menuju ke Pekan Pengkalan Hulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 7:00 AM