PENGALAMAN unik bercuti Langkawi.
PENGALAMAN unik bercuti Langkawi.
Aniza Zainudin


LANGKAWI, ‘Permata Kedah,’ yang sering menjadi tumpuan sama ada dalam kalangan pengunjung tempatan mahupun asing sebagai destinasi pelancongan popular di Malaysia.

Tersenarai sebagai satu daripada 99 pulau di Laut Andaman, populariti Langkawi tidak hanya bergantung pada keunikan alam semula jadi, bahkan kepelbagaian tarikan pelancongan mengikut trend semasa membuatkan ia tidak jemu untuk dikunjungi.

Parasailing atau paralayar antara aktiviti pulau yang popular menawarkan kelainan dan meninggalkan memori percutian unik berbanding sekadar bersantai di tepian pantai.

Ini diakui sendiri sekumpulan rakan yang menghabiskan percutian di Langkawi dan sempat meluangkan masa melakukan aktiviti paralayar pantai (penerbangan bermula dan berakhir di pantai) dan paralayar bot (penerbangan bermula dan berakhir di atas bot) di Pantai Tengah.

Menurut Fatimah Leman, percubaan kali kedua melakukan aktiviti paralayar pantai kerana ingin berkongsi keterujaan bersama empat rakan sambil menikmati keindahan semula jadi Pantai Cenang dari udara.

Bagi wanita berusia 44 tahun ini, dia pernah melakukan paralayar pantai ketika menyertai Runkawi Half Marathon 2018 di pulau itu.

Takjub dengan pemandangan istimewa menerusi pengalaman pertama membuatkan Fatimah memasang angan-angan melakukannya lagi sekiranya berkunjung ke tanah legenda Mahsuri itu pada masa akan datang.

“Baru-baru ini saya bersama sembilan rakan memilih Langkawi sebagai destinasi percutian yang dirancang sejak tiga bulan lalu. Ini memberi kesempatan kepada saya melakukan sekali lagi aktiviti paralayar pantai.

KEPUASAN terpancar selepas berjaya melakukan aktiviti paralayar.
KEPUASAN terpancar selepas berjaya melakukan aktiviti paralayar.

“Kami memilih melakukan paralayar pantai yang kosnya lebih rendah berbanding paralayar bot. Meskipun ini kali kedua (melakukan paralayar), perasaan teruja dan berdebar masih terasa.

“Dari Pantai Cenang, kami menaiki bot menuju Pantai Tengah yang menjadi lokasi paralayar pantai dilakukan. Saya menaiki paralayar ini bersama jurupandu berpengalaman yang bertanggungjawab mengawal hala tuju payung berkenaan.

“Walaupun bersama jurupandu, aspek keselamatan dititikberatkan termasuk memakai jaket keselamatan. Selepas memakai peralatan khas, tali pada badan saya dan payung terjun diikat pada bot sebelum bot berkenaan menarik tali paralayar berkenaan.

“Seiring dengan itu, saya perlu berlari dan kemudian terbang di udara. Perasaan takut itu hilang sebaik berada di udara dan menyaksikan keindahan ciptaan Allah SWT dari udara.

“Selalunya pemandangan ini hanya mampu dilihat sekadar gambar dan di Internet, tetapi saya menyaksikan realiti dengan mata sendiri,” katanya yang sempat berada di udara sekitar lima minit.

Menurut penolong pengurus kewangan ini, pengalaman melakukan paralayar mendidiknya untuk bersyukur dengan nikmat yang diberikan Maha Pencipta.

Sementara itu, rakannya, Siti Rodiah Abd Hamid mengakui aktiviti paralayar di Pantai Cenang memberi keseronokan tersendiri meskipun ia agak membimbangkan terutama membabitkan keselamatan.

“Sebenarnya saya bukanlah orang yang berani sebaliknya penakut, tetapi suka mencabar diri melakukan sesuatu berbeza dan keluar dari zon selesa.

“Sudah lama saya merancang melakukan aktiviti lasak ini kerana seronok menyaksikan pemandangan dan perkongsian pengalaman orang lain.

“Seperti paralayar ini, saya pernah melakukannya pada tahun lalu bersama Fatimah. Alhamdulillah, ini kali kedua dan saya berjaya mencuba kedua-dua jenis paralayar, pantai dan bot.

KETIKA memulakan penerbangan.
KETIKA memulakan penerbangan.

“Bagi melakukan paralayar pantai, saya terbang bersama jurupandu bagi membantu mengawal arah tuju penerbangan itu. Walaupun hanya berada di udara dalam tempoh 10 minit, saya sungguh gembira menyaksikan kecantikan laut Pantai Tengah.

“Bagi paralayar bot pula, saya memilih melakukannya bersama rakan kerana ingin mencipta memori menyaksikan pemandangan matahari terbenam. Ia sangat cantik dan istimewa.

Bercuti bersama rakan, juruteknik teknologi maklumat berusia 37 tahun ini menyifatkan Langkawi sebagai destinasi percutian yang menarik, lebih santai dan sesuai untuk dikunjungi pada bila-bila masa.

Antara aktiviti lain dilakukan sekumpulan rakan ini termasuk ‘island hoping’ ke Pulau Tasik Dayang Bunting, menyaksikan burung helang dan mengunjungi Pantai Beras Basah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 11:28 AM