KAMPUNG Cina. FOTO Aswadi Alias.
KAMPUNG Cina. FOTO Aswadi Alias.
Hafiz Ithnin

KUALA Terengganu sememangnya terkenal sebagai pusat beli-belah pelbagai produk tempatan. Jika ke sana, pastinya Pasar Besar Kedai Payang antara yang pertama anda cari.

Berkesempatan mengikuti lawatan media bersama Tourism Malaysia baru-baru ini, membuatkan penulis agak teruja menerokai rahsia di sebalik Kuala Terengganu yang didominasi masyarakat Melayu.

Bermula dari Pasar Besar Kedai Payang hingga ke Hotel Seri Malaysia sejauh kira-kira satu kilometer sebenarnya terdapat sebuah lokasi yang dahulunya dipercayai menjadi antara destinasi persinggahan pelayar China. Ia akhirnya menjadi sebuah perkampungan bangsa itu dikenali sebagai Kampung Cina sehingga ke hari ini.

Kisah itu dikongsikan pemandu pelancong, Putih Dalib, apabila beliau difahamkan Kampung Cina sudah wujud antara 300 hingga 400 tahun dahulu di kawasan itu dan terdapat pelbagai nostalgia menarik boleh dilihat pengunjung.

CHAN WHA CHAI generasi keenam yang tinggal di Kampung Cina menunjukkan pelbagai nostalgia di kampung berkenaan menerusi foto yang dimilikinya.
CHAN WHA CHAI generasi keenam yang tinggal di Kampung Cina menunjukkan pelbagai nostalgia di kampung berkenaan menerusi foto yang dimilikinya.

Beliau berkata, tapak warisan masyarakat lama di Kampung Cina kini dipelihara dan ada lima lorong yang dijadikan lokasi menarik untuk pengunjung melihat sendiri sejarah kawasan itu.

“Banyak aktiviti santai yang boleh dilakukan di sini. Selain restoran untuk menikmati sajian tradisional sambil melepak, tempat ini juga antara lokasi kegemaran peminat fotografi untuk mencerap gambar pemandangan yang menarik.

“Terbaharu Kampung Cina diwarnakan dengan tarikan di celah-celah bangunan antiknya. Ada lorong yang dihiasi gambar, ukiran dan sejarah penyu, hiasan antik serta gambar tiga dimensi (3D) pada dindingnya,” katanya.

PONDOK telefon lama dan mural menjadi tarikan pengunjung.
PONDOK telefon lama dan mural menjadi tarikan pengunjung.

Paling menarik pastinya Lorong Kenangan apabila ukiran potret di atas kepingan batu memaparkan barisan pemimpin masyarakat Cina yang pernah menabur jasa.

Selain itu, dekorasi payung yang digantung sebagai lelangit antara kedai menambah keceriaan di lorong berkenaan. Pengunjung juga tidak melepaskan peluang mengabadikan kenangan sebaik berada di situ.

Putih yang sudah 20 tahun menetap di Terengganu juga memberitahu, jika pengunjung datang ke kawasan itu pasti menemui beberapa tinggalan sejarah lain yang menarik seperti pondok telefon lama dan pondok surat Pos Malaysia.

Katanya, masyarakat Cina yang tinggal di sana juga amat fasih bertutur bahasa Melayu dialek Terengganu dan mereka lebih selesa bertutur dengan pengunjung luar menggunakan dialek berkenaan.

“Di sini terdapat juga kedai kopi yang boleh disinggah untuk menjamu selera. Di kedai berkenaan turut dipamerkan gambar keluarga pemilik mengikut generasi.

PASAR Besar Kedai Payang sentiasa menjadi tumpuan.
PASAR Besar Kedai Payang sentiasa menjadi tumpuan.

“Jadi, sambil duduk minum anda boleh juga berbual dengan pemilik kedai untuk mengetahui cerita keluarga atau pelbagai nostalgia di Kampung Cina. Perkara ini agak menarik kerana anda bukan saja melancong, malah mendapatkan maklumat mengenai tempat ini,” katanya.

Tidak melepaskan peluang di depan mata, penulis turut berkesempatan menaiki beca di bandar itu. Di Kuala Terengganu, beca dipanggil ‘teksi’ dan rata-rata pengayuhnya dalam kalangan warga emas yang ramah melayan setiap soalan serta tidak langsung menunjukkan rasa penat membawa penulis bersiar-siar di Kampung Cina itu.

Menurut Putih, Kampung Cina kini sudah banyak berubah. Jika dulu kampung bersejarah itu seperti terasing terutama bagi bangsa lain, kini tidak lagi.

“Jalan khas sudah dibuat di antara belakang bangunan antik dan muara Sungai Terengganu yang turut diindahkan dengan pembinaan Kuala Terengganu Waterfront (KTWF).

LALUAN sibuk di Kampung Cina menjadi perkara biasa jika anda bertandang ke sini.
LALUAN sibuk di Kampung Cina menjadi perkara biasa jika anda bertandang ke sini.

“KTWF menjadi satu lagi tarikan pelancong ke Kuala Terengganu. Daripada kawasan pantai yang tidak terjaga pada suatu ketika dahulu, ia ditambak dan ditambah nilai dengan hiasan,” katanya.

Di sebalik semua itu, Kuala Terengganu turut menjadi lokasi rujukan berkenaan perkembangan Islam dengan adanya Taman Tamadun Islam dan pelbagai masjid unik lagi menarik seperti Masjid Kristal yang sedang dinaik taraf.

Bukan sekadar itu, Terengganu juga kaya dengan keindahan pulau dan pantai antaranya Pulau Redang, Pulau Kapas dan Pulau Perhentian yang saban hari menanti kunjungan anda!

INFO

• Pelancongan sejarah antara aktiviti pelancongan yang boleh anda lakukan yang tidak terhad hanya melawat muzium.

• Di Malaysia terdapat pelbagai lokasi menarik yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.

• Menggunakan pemandu pelancong bertauliah membantu anda untuk mendapatkan maklumat yang tepat.

• Pemandu pelancong bertauliah boleh dihubungi menerusi Tourism Malaysia.

PENGUNJUNG mengambil kesempatan merakam foto di Lorong Kenangan.
PENGUNJUNG mengambil kesempatan merakam foto di Lorong Kenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 11:49 AM