BANGUNAN Sultan Abdul Samad pada skala saiz yang kecil. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
BANGUNAN Sultan Abdul Samad pada skala saiz yang kecil. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Nurul Husna Mahmud


ANDA yang pernah menyaksikan filem Gulliver’s Travel lakonan aktor Jack Black menerusi karakter Lamuel Gulliver mengembara ke Pulau Lilliput yang dihuni penghuni ‘kecil’ pastinya berangan untuk melalui pengalaman sama.

Meskipun tidak berpeluang untuk menjelajah ke pulau yang dikunjungi Gulliver tetapi anda boleh rasakan momen berkenaan menerusi pengembaraan ke galeri miniatur terdapat dalam negara.

Tidak perlu terbang sehingga ke Miniatur Wunderland Hamburg di Jerman, penduduk tempat di dua bandar iaitu Ipoh, Perak dan Subang Jaya, Selangor hanya perlu memandu kereta mereka ke lokasi yang menempatkan galeri unik berkenaan.

Kalau anda tinggal di Subang Jaya, hanya pemanduan beberapa minit sahaja ke Pusat Membeli-Belah Summit USJ anda akan merasai pengalaman itu di Min Nature.

Menariknya membariskan fenomena termasuklah realiti pemandangan Kuala Lumpur sekitar tahun 1990-an. Anda pasti tertarik dengan deretan bangunan rumah kedai selain mercu bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka mahupun Masjid Negara terpamer di sini.

SEBAHAGIAN replika yang terdpat di Min Nature Summit USJ.
SEBAHAGIAN replika yang terdpat di Min Nature Summit USJ.

Pengunjung pastinya tidak dapat menahan diri untuk menyentuh model miniatur itu yang begitu teliti dalam pembikinannya meskipun penghasilannya cukup mencabar iaitu pada skala 1 nisbah 87.

Bagi merasai pengalaman dan cabaran artis, pengunjung berpeluang menghasilkan model miniatur sendiri menerusi slot disediakan membabitkan bengkel khas iaitu pengalaman bersama staf galeri berkenaan bagi membuat model rumah, landskap, pokok, dan sebagainya. Bukan itu saja pengunjung boleh mendapatkan kit model miniatur dan menghasilkan galeri sendiri di rumah.

Bagi mereka yang tinggal di Ipoh, untuk mengunjungi galeri menampilkan pameran atau tema hampir sama boleh mengunjungi Miniature Wonders Art Gallery di Jalan Market.

Menariknya berkenaan galeri berkenaan yang terletak di kawasan rumah kedai dua tingkat turut dikenali sebagai lorong seni dan budaya bagi masyarakat setempat.

Lebih mengujakan apabila mengetahui kisah pemiliknya, Phoon Lek Kuin dan pasangan apabila galeri itu menampilkan hasil kerja beliau serta bapa mentuanya, Xu Shi-Ying.

PENGARAH Urusan Miniature Wonders Sdn Bhd, Chan Chee Wing bergambar dihadapan salah satu replika yang terdapat di Min Nature Summit USJ.
PENGARAH Urusan Miniature Wonders Sdn Bhd, Chan Chee Wing bergambar dihadapan salah satu replika yang terdapat di Min Nature Summit USJ.

Xu ialah generasi ketiga lahir daripada keluarga pengukir tanah liat (doh) tersohor di Beijing malah terkenal dengan kemahirannya dalam menghasilkan figura mini bersaiz 5.5 sentimeter tinggi. Phoon pula lebih kepada pembinaan latar senario bagi setiap pameran berkenaan.

Di sini pengunjung dapat lihat kehalusan kerja tangan tinggi apabila melihat setiap bahan pameran daripada senario kehidupan masyarakat di China era lalu seperti ‘Street Scene of Old Beijing 1910 – 1930’ sehinggalah kepada kegemilangan tamadun China seperti Terracotta Army.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 9:56 AM