SEBAHAGIAN pengamal media dan peserta yang menyertai Program ‘Stong Hill Adventures’ bergambar kenangan di puncak Air Terjun Jelawang.
SEBAHAGIAN pengamal media dan peserta yang menyertai Program ‘Stong Hill Adventures’ bergambar kenangan di puncak Air Terjun Jelawang.
Nor Amalina Alias

Mendaki tebing batu atau dikenali sebagai ‘rock climbing’ di Gua Ikan, Kompleks Gunung Stong, Kuala Krai menjadi pengalaman cukup mengujakan bagi anda yang mahu mencabar keupayaan diri.

Aktiviti itu memerlukan kekuatan fizikal dan kecergasan mental bagi memastikan seseorang itu mampu mendaki hingga ke puncak.

Di samping perlu menguatkan kaki untuk melonjak ke atas, tangan juga perlu cukup bertenaga mencari rongga batu yang sesuai untuk bergantung dan menaikkan badan. Dua pergerakan ini perlu dilakukan serentak.

Penulis bertuah kerana bersama 14 lagi wakil media Kelantan berpeluang merasai pengalaman buat kali pertama melakukan aktiviti itu. Kejayaan memanjat hingga ketinggian 10 meter dikira cukup bagus walaupun mengambil masa hampir 15 minit.

Untuk sampai ke tahap itu, penulis bermandi peluh dan bernafas laju kerana perlu menggunakan kekuatan hujung jari memanjat Gua Ikan yang juga satu tarikan pelancongan.

Berbeza dengan aktiviti memanjat tembok tiruan atau ‘wall climbing,’ memanjat tebing batu lebih mencabar kerana perlu bergantung sepenuhnya kepada rongga batu di dinding gua yang terbentuk secara semula jadi.

Memanjat tebing juga memerlukan kelengkapan khusus seperti abah-abah, tali keselamatan, kapur dan kasut khas yang memudahkan pendakian.

Dalam aktiviti pendakian ini, kerjasama antara pendaki dan rakan di bawah yang bertindak sebagai pengawal tali keselamatan atau dikenali sebagai ‘belayer’ sangat penting.

Ini kerana pendaki perlu memaklumkan kepada ‘belayer’ sekiranya ingin turun atau berehat kerana penjaga tali di bawah yang ‘mengawal nyawa’ ketika mendaki.

AKTIVITI memanjat tebing batu menjadi kemestian buat anda yang gemarkan aktiviti lasak.
AKTIVITI memanjat tebing batu menjadi kemestian buat anda yang gemarkan aktiviti lasak.

Menariknya, aktiviti memanjat tebing batu itu antara tarikan terbaru yang dilaksanakan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi merancakkan aktiviti pelancongan di Gunung Stong.

Bagi penulis, keunikan kompleks Gunung Stong berkeluasan 21,950 hektar termasuk Gua Ikan boleh dianggap sebagai destinasi pelancongan rekreasi setaraf Rio De Janeiro di Brazil yang menyajikan pelancongan dengan pakej lengkap aktiviti lasak, mendaki, menikmati panorama alam semula jadi, aktiviti mandi-manda dan sesuai untuk mengambil gambar pemandangan yang menarik.

Selain aktiviti memanjat tebing batu, MOTAC turut menyediakan trek via ferrata (tangga batu dan susur tangan daripada besi) sepanjang 155 meter dengan ketinggian 150 meter bagi pengunjung meneroka Gua Ikan.

Uniknya Gunung Stong turut dikelilingi gua batu kapur berusia 225 juta tahun yang menjadi habitat flora dan fauna selain terdapat beberapa gua lain seperti Gua Keris, Gua Pagar dan Gua Gelap yang mana hutan lipur ini turut didiami spesies eksotik seperti siamang, kenyalang badak dan kera duku. Bahkan bunga rafflesia juga ada menyerikan dan menambah keunikan di sini.

Gunung Stong turut memberikan kepuasan merakam gambar dengan latar belakang yang menakjubkan seperti Air Terjun Jelawang yang menyamai ketinggian 30 tingkat bangunan.

Program Stong Hill Adventures membabitkan media Kelantan itu turut disertai Pengarah MOTAC, Mohd Aidil Afizie Daud, Pengarah JBPM Negeri Kelantan, Nazili Mahmood dan Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Hafiz Hazin dalam usaha mempromosikan gunung berkenaan sebagai tarikan pelancongan dalam serta luar negara.

PENULIS berehat seketika menghilangkan penat sebaik tiba di puncak Gunung Stong.
PENULIS berehat seketika menghilangkan penat sebaik tiba di puncak Gunung Stong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 12:47 PM