FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Prof Madya Dr Azmawaty Mohamad Nor DAN Nur Nadhirah Mat Nawi

Umum sedia tahu Malaysia  sering digambarkan dengan masyarakat berbilang kaum dan harmoni serta kaya dengan pelbagai adab, adat dan budaya. Namun, dalam kalangan masyarakat hari ini masih wujud gejala buli yang dilihat sangat merisaukan kerana ia boleh menjadi satu norma masyarakat kita hari ini.

Gejala buli ini bukan sahaja berlaku dalam institusi pendidikan, di tempat kerja atau dalam kalangan ahli keluarga sahaja, tetapi ia boleh berlaku dan dilihat semakin meruncing di alam maya atau siber.

Hari ini mangsa buli bukan sahaja dilihat melalui kecederaan fizikal, malah mental dan emosi terhadap mangsa makin membimbangkan kerana pembuli menggunakan lidah serta tangan untuk berkata-kata.

Sering kali dipaparkan di media massa dan juga di dada akhbar, ada mangsa yang dibuli sehingga membawa kepada kecederaan serius, dan yang lebih membimbangkan buli siber turut mengakibatkan kehilangan nyawa.

Tidak dinafikan, mangsa buli sudah pasti akan berhadapan dengan tekanan emosi yang kritikal kerana berdepan dengan ejekan dan perkataan negatif yang dilemparkan kepada mereka. Melihat kepada ragam pembuli siber hari ini, mereka menjadikan tangan mereka sebagai lidah untuk mereka berkata-kata di alam maya. Benarlah, lidah ini satu nikmat yang Allah SWT berikan kepada manusia, sifatnya lembut tidak bertulang, tetapi tajam ibarat pedang hingga boleh membunuh dan melukakan hati insan yang mendengarnya.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Rasulullah SAW pernah ditanyakan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam syurga. Baginda menjawab: "Bertakwa kepada Allah dan baik akhlaknya." Lalu baginda ditanyakan lagi sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda Menjawab: "Mulut dan kemaluan."

Allah SWT juga ada berfirman dalam Surah al-Hujurat, ayat 11 yang mana ayat ini Allah memberi peringatan kepada lelaki dan perempuan mengenai larangan untuk melakukan perbuatan mencemuh, memerli, menghina serta memberikan gelaran yang buruk kepada orang lain. Di sini jelas kita tidak boleh menghina orang atau melontarkan perkataan yang tidak baik serta memberi gelaran yang buruk kepada seseorang sama ada di hadapan atau di belakangnya kerana Allah berfirman pada akhir ayat surah ini iaitu orang beriman itu bersaudara dan janganlah kita merosakkan atau memutuskan persaudaraan itu.

Jika kita lihat, perbuatan menghina, mencaci yang dilakukan pembuli siber ini bukan sahaja dilarang oleh agama Islam semata-mata, tetapi agama lain turut melarang para penganutnya untuk melakukan perbuatan yang boleh menyakiti individu lain. Seorang pakar ilmuan agama pernah menyebut, "Saya tidak takut dengan keyboard warriors, tetapi saya takut dengan keyboard sinners." Jadi, keyboard warriors di luar sana, anda yang mana satu? Buat pilihan bijak kerana setiap perbuatan anda akan dipersoalkan kelak.

Pembuli siber mungkin sedar atau tidak perbuatan mereka meninggalkan parut kepada mangsa. Mangsa buli biasanya akan berhadapan kecederaan emosi yang teruk, isu berkaitan psikologi, trauma dan sebagainya. Jadi dikongsikan di sini konsep 3R yang boleh diaplikasi mangsa buli bagi memastikan mereka tenang dan sedar emosi yang mereka alami.

Retract iaitu berundur seketika daripada perbuatan yang kita lakukan. Contohnya, jika waktu itu mangsa buli siber berada dalam situasi tegang, berundur seketika dapat memberikan ruang masa pada diri agar dapat bertenang. Berundur bermaksud cuba ambil masa tenangkan diri dari sudut pemikiran dan emosi sambil mengamalkan teknik pernafasan betul.

Teknik pernafasan boleh dilaksanakan dengan menarik, menahan, menghembus dan seterusnya menahan nafas dengan setiap peringkat ini dilaksanakan dalam tempoh empat saat. Perhatikan bahawa teknik pernafasan yang tepat ini akan memberikan anda kelegaan pada badan, pemikiran dan membantu anda kekal fokus.

Rethink, fikirkan adakah perkataan yang disebutkan atau penulisan orang lain sebenarnya dapat memberikan kesan pada diri? Ketahuilah tiada siapa pun yang dapat membuat apa-apa pun pada anda sekiranya anda tidak membenarkan ia berlaku. Sebagai contoh, sekiranya anda diejek atau dicemuh, ambil masa untuk tenangkan diri dan anda akan menjadi lebih jelas dan rasional dalam setiap pemikiran yang wujud dalam diri.

Anda lebih faham bahawa orang yang membuli ada isu dengan diri mereka dan menzahirkan dengan cara penulisan atau percakapan mereka terhadap orang lain. Jadi, ambil masa lebih lama jika perlu bertenang dan berfikir secara rasional.

Respon iaitu kita memberikan tindak balas yang positif serta bersesuaian mengikut situasi dan keadaan yang berlaku. Sekurang-kurangnya kita dapat mengelakkan diri daripada bertingkah laku mengikut kehendak emosi, perasaan dan pemikiran yang negatif.

Jika anda sedih atau marah, tidak salah anda validasi perasaan itu dan bangkit semula menjadi lebih resilien dalam mendepani masalah. Jadi, pesanan buat semua berhati-hati melontarkan kata-kata, jangan kerana lidah badan binasa dan jangan kerana mulut ia membuatkan orang lain terasa. Fikirkan terlebih dahulu sebelum mula bicara atau bertingkah laku dan jangan jadikan perbuatan buli ini satu norma kepada masyarakat hari ini kerana setiap perbuatan yang kita lakukan sekarang akan membentuk generasi negara pada masa akan datang.

Penulis Timbalan Dekan (Program Ijazah Dasar), Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan anggota Lembaga Kaunselor Malaysia, Kaunselor Pelatih, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 7:01 AM