MANGSA buli berupaya mengalami trauma seumur hidup jika tidak ditangani dengan mekanisme sesuai. - Gambar Google.
MANGSA buli berupaya mengalami trauma seumur hidup jika tidak ditangani dengan mekanisme sesuai. - Gambar Google.
KURANG perhatian daripada keluarga faktor utama penyumbang kepada pelajar menjadi pembuli. - Gambar hiasan.
KURANG perhatian daripada keluarga faktor utama penyumbang kepada pelajar menjadi pembuli. - Gambar hiasan.
BULI bukan saja menyebabkan pelajar mengalami tekanan emosi, malah mengalami kecederaan fizikal yang membahayakan diri. - Gambar hiasan.
BULI bukan saja menyebabkan pelajar mengalami tekanan emosi, malah mengalami kecederaan fizikal yang membahayakan diri. - Gambar hiasan.
PROSES pembelajaran akan terjejas andai kestabilan emosi pelajar pembuli atau dibuli terganggu. - Gambar Google.
PROSES pembelajaran akan terjejas andai kestabilan emosi pelajar pembuli atau dibuli terganggu. - Gambar Google.
MANGSA buli bukan saja berpotensi mengalami kehilangan keyakinan diri, malah boleh menyebabkan mereka gagal dalam pelajaran. - Gambar Google.
MANGSA buli bukan saja berpotensi mengalami kehilangan keyakinan diri, malah boleh menyebabkan mereka gagal dalam pelajaran. - Gambar Google.
Oleh Ruhaiza Rusmin dan Nor Hanisah Kamaruzaman


“Saya tak pernah melupakan kejadian itu (dibuli) dan ia sering menghantui kehidupan saya hingga kini,” kata seorang daripada dua pelajar yang pernah menjadi mangsa buli di sekolah menengah.

Trauma dan kesan akibat dibuli menyebabkan Aisyah (bukan nama sebenar) hilang keyakinan diri sehingga sukar menjalani kehidupan seharian.

Dia mendakwa dibuli secara mental dan fizikal oleh rakan sekelas perempuan ketika di tingkatan dua, 10 tahun lalu.

“Pembuli saya adalah rakan sekelas. Mereka bukan saja memulaukan saya tanpa sebab, malah melakukan penderaan secara fizikal.

“Ia sangat menakutkan. Akibatnya, saya hilang keyakinan diri dan menjadi pelajar pasif,” katanya.

Menurutnya, dibuli secara mental lebih teruk kesannya berbanding fizikal.

“Selain dipukul, mereka membuli saya dengan memberikan pelbagai imej negatif menyebabkan tiada siapa sudi berkawan dengan saya di sekolah.

“Saya keseorangan kerana tiada kawan. Ibu bapa juga tidak tahu. Saya benar-benar tertekan,” katanya.

Sehingga kini, biarpun kes itu sudah lama berlaku, dia masih terbayangkan insiden berkenaan.

“Untuk merawatnya, saya berjumpa pakar psikologi dan alhamdulillah ia beransur-ansur hilang.

“Bagaimanapun, saya masih kurang keyakinan pada diri sendiri,” katanya.

Bagi Razif pula, akibat kerap dibuli ketika di tingkatan empat, dia takut untuk ke sekolah.

Bagaimanapun, sewaktu di tingkatan lima, dia mengumpul kekuatan untuk mengelakkan daripada terus dibuli.

“Ketika kali pertama dibuli, saya sangat takut untuk ke sekolah. Saya trauma dengan tindakan rakan yang suka mencemuh serta memukul.

“Mungkin ketika itu saya masih dianggap kecil (tingkatan empat) menyebabkan mereka membuli saya sewenang-wenangnya.

“Bagaimanapun, saya bangkit melawan sewaktu di tingkatan lima menyebabkan gangguan itu tidak berlaku lagi,” katanya.

Razif berkata, akibat pernah dibuli, ada kala rasa ingin membuli wujud sewaktu dia berada di tingkatan lima.

“Ketika itu, perasaan untuk membuli pelajar lain meluap-luap kerana saya seperti mahu membalas dendam.

“Bagaimanapun, perjumpaan saya dengan kaunselor menghalang niat itu,” katanya yang tidak menafikan perasaan mahu membuli sentiasa wujud pada mangsa buli.

“Terpulang pada diri masing-masing untuk menangani masalah ini kerana diri sendiri juga akan menanggung akibatnya,” katanya.

Membuli untuk menarik perhatian

Setiap kali kes buli berlaku, pelbagai komen diberikan pelbagai pihak bagi menyuarakan pandangan masing-masing. Tidak kurang ada yang menuding jari bagi meletakkan kesalahan di bahu pihak tertentu.

Meskipun buli bukan isu baru dan pelbagai langkah proaktif sudah diambil, kejayaan untuk mengekang gejala ini masih belum menunjukkan hasil memberangsangkan.

Buli masih tetap berlaku. Dan, skrip lama terus diulangi sekali gus menimbulkan kebimbangan sama ada gejala ini boleh dibendung.

Pakar motivasi yang juga Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Putra Malaysia Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, gejala buli di sekolah sukar dibendung sepenuhnya andai tidak wujud kesedaran untuk berubah.

Katanya, pelbagai kaedah boleh diperkenalkan tapi jika tiada elemen kesungguhan untuk mengubah perlakuan dan emosi pelajar terbabit, usaha itu mungkin gagal.

“Buli bukan sesuatu yang asing bagi sekolah, pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat. Ia sudah sinonim sejak dulu dengan faktor sama.

“Meskipun pelbagai mekanisme diperkenalkan, keberkesanannya masih kurang menyerlah.

“Hakikatnya gejala ini sukar dibendung kerana ia membabitkan kaitan antara perlakuan dan emosi golongan bermasalah hingga memaksa mereka menjadi pembuli sama ada di kawasan sekolah atau luar,” katanya.

Menurutnya, pelajar yang menjadi pembuli dan mangsa buli masing-masing berdepan ketidakupayaan menangani perkembangan konflik emosi dan fizikal.

“Lazimnya si pembuli boleh dikategorikan sebagai pelajar bermasalah untuk menangani emosi keterlaluan. Mungkin dia datang daripada keluarga bermasalah, persekitaran kurang sihat dan sebagainya.

“Ditambah pula dengan suasana sekeliling yang kurang mampu menyokong pelajar itu untuk menangani tekanan, jalan untuk melepaskannya ialah dengan membuli orang lain atau melakukan pelanggaran disiplin,” katanya yang menyifatkan tindakan itu sebagai proses keterbalikan psikologi bagi mencari perhatian.

“Dalam keadaan rasional, pelajar tidak akan melakukan perkara itu tapi disebabkan ada faktor tolakan daripada dalam, mereka bertukar karakter.

“Berdasarkan pelbagai kajian, kebanyakan mereka membuli kerana mahu mencari perhatian, bukan disebabkan kecelaruan mental atau sebagainya.

“Mungkin dengan hanya membuli, mereka berjaya mencuri perhatian yang diingini tanpa menyedari ia mampu meninggalkan kesan negatif kepada orang lain,” katanya.

Bagi pelajar yang menjadi mangsa buli pula, katanya, mereka kemungkinan besar berdepan trauma jangka panjang.

“Trauma ini jika tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan pelajar terbabit berdepan igauani buruk sepanjang hidup.

“Mereka mungkin boleh bertukar watak dan sifat, malah lebih bahaya jika membawa emosi trauma itu sehingga dewasa. Kesan ini sangat bahaya untuk perkembangan emosi dan fizikal. Bagi pelajar, ia boleh mengganggu proses pembelajaran.

“Gejala ini perlu dibendung dengan mencari mekanisme yang benar-benar ampuh agar pembuli dan mangsa buli tidak berterusan berada dalam kelompok itu,” katanya.

Ditanya faktor penyumbang terhadap kes buli, Dr Mohammad Shatar berkata, berdasarkan pelbagai kajian dilakukan, kurang perhatian keluarga menjadi punca utama.

“Pelajar yang kurang mendapat perhatian keluarga ada potensi besar menjadi pembuli kerana mereka mencari satu medium untuk melepaskan tekanan.

“Sekolah atau asrama menjadi lokasi terbaik kerana dari segi taraf mereka sama iaitu semuanya pelajar.

“Ia juga sesuai untuk menunjukkan sikap ego terutama kepada rakan yang lemah. Apa yang mereka ingini ialah perhatian dan tidak peduli walaupun menyedari perbuatan itu melanggar disiplin,” katanya,

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 10:20 AM