FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Profesor Madya Dr Haryati Shafii dan Amin Izwan Farid Ridzwan Wong

Perkembangan pembangunan yang tidak mengambil kira aspek kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar banyak membawa kesan negatif kepada persekitaran. Perubahan iklim yang berlaku di seluruh dunia turut mempengaruhi frekuensi dan magnitud bencana alam. Semakin hari semakin banyak bencana alam dilaporkan berlaku yang diakibatkan oleh ketidakseimbangan pembangunan.

Sebagai contoh fenomena banjir monsun, banjir kilat mahupun tanah runtuh. Kejadian hujan lebat secara berterusan boleh mengakibatkan paras air sungai, longkang, tasik dan parit meningkat dan ia boleh menyebabkan pembentukan lopak air di darat. Banjir adalah satu geobencana pasif iaitu bencana yang berkaitan dengan aktiviti manusia. Banjir berlaku pada kepantasan sederhana tetapi mempunyai saiz bencana yang besar. Punca banjir yang paling biasa adalah hujan lebat yang berterusan.

Malah, impak sosial yang boleh dilihat daripada kejadian bencana banjir adalah kemusnahan tempat tinggal penduduk kerana arus banjir yang deras boleh merosakkan rumah mangsa. Oleh itu, penduduk terpaksa berpindah meninggalkan rumah ke kawasan yang lebih selamat iaitu Pusat Penempatan Sementara (PPS). Menurut Berita Harian (2023), Kementerian Kerja Raya (KKR) menganggarkan kos baik pulih keseluruhan infrastruktur yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda berjumlah lebih RM232 juta. Kos merangkumi kerja baik pulih di negeri paling teruk terjejas iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang yang dianggar RM196 juta. Memandangkan kos membaik pulih adalah tinggi, maka kewajaran pihak pemegang taruh untuk mencari mekanisme yang terbaik adalah dengan mencari kaedah atau alternatif untuk mengurangkan kos itu. Oleh itu, sudah tiba masa untuk meneliti dan mengkaji keperluan rumah bebas banjir mampu milik yang berupaya untuk mengurangkan kerosakan struktur rumah dan menjimatkan kos.

Berdasarkan kajian penulis berkenaan model rumah bebas banjir mampu milik, adalah dengan mengambil kira pengalaman negara luar (negara yang biasa mengalami banjir besar) dan pandangan daripada pakar iaitu arkitek dan kontraktor tempatan dengan berasaskan pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang masing-masing. Terdapat beberapa aspek yang perlu dipertimbangkan dalam mereka bentuk rumah bebas banjir mampu milik iaitu:

1. Menggunakan Sistem Binaan Maklumat (IBS) adalah lebih sesuai kerana mempunyai kelebihan dari segi tempoh masa yang singkat untuk disiapkan.

2. Bangunan yang tahan banjir umumnya menggunakan bahan seperti konkrit atau keluli.

3. Pertimbangan terhadap ketinggian, teknik ketinggian, asas rumah, kebolehcapaian rumah dan bahaya tambahan selain banjir.

4. Ketinggian rumah perlu dinaikkan bergantung pada ketinggian banjir asas kawasan itu.

5. Mengetahui BFE (BFE ialah ketinggian yang dijangka dicapai oleh air banjir semas 'banjir asas'. BFE juga adalah keperluan kawal selia untuk ketinggian rumah yang menentukan premium insurans banjir.

6. Pemilik rumah juga digalakkan untuk menambah ketinggian 1 atau 2 kaki pada ketinggian banjir asas tempatan untuk memberikan perlindungan daripada kejadian banjir yang lebih tinggi.

7. Memanjangkan atau meningkatkan, dinding asas rumah. Rumah diangkat dari asas dan asas sedia ada ditambah sehingga ketinggian yang dimaksudkan dicapai.

8. Bukaan dibuat dalam asas yang dipanjangkan supaya air banjir boleh masuk dan keluar. Untuk meningkatkan dinding rumah, bumbung dan rangka bumbung mesti ditanggalkan supaya dinding dapat dipanjangkan.

9. Dinding ditambah, tingkap dinaikkan dan lantai bertingkat baharu dibina di atas paras banjir.

10. Kawasan di bawah lantai yang dinaikkan mempunyai bukaan di dalamnya supaya air banjir boleh masuk dan keluar.

11. Untuk meninggalkan kawasan tingkat satu dan membina ruang tamu tingkat dua yang baharu, bumbung dan rangka bumbung mesti dialihkan, tingkat kedua dibina dan bukaan dibuat di tingkat satu yang terbiar.

12. Memanjangkan dinding asas, memanjangkan dinding rumah, atau meninggalkan kawasan tingkat satu dan membina ruang tamu tingkat dua yang baharu semuanya meningkatkan ruang tamu rumah daripada paras banjir dan mewujudkan bukaan pada asas yang ditutup sebelum ini supaya air banjir boleh masuk. Pilihan asas terbuka memerlukan penggalian di sekeliling asas lama, memotong lubang ke dalam asas supaya rangkaian rasuk pengangkat boleh dipasang dan biasanya mengalihkan asas lama supaya tiang, cerucuk atau tiang boleh dipasang.

Manakala untuk kos pembinaan rumah bebas banjir mampu milik pula amat bergantung kepada jenis bahan binaan yang digunakan. Kos ini mengambil kira tempoh penyiapan rumah iaitu antara dua hingga empat bulan bergantung kepada reka bentuk, bahan binaan dan buruh yang terlibat.

Justeru, boleh disimpulkan reka bentuk rumah bebas banjir sangat berkait secara langsung dengan jenis bahan binaan, buruh dan juga kos. Elemen ini akan menentukan ketahanan struktur binaan rumah, penyelenggaraan dan juga mengurangkan kerosakan semasa banjir melanda. Adalah diharapkan pematuhan kepada peraturan ini memastikan rumah dibina dapat mengurangkan kerosakan struktur rumah menyumbang kepada keselamatan masyarakat dan pengurangan risiko banjir secara keseluruhan.

Dr Haryati Pensyarah, Jabatan Pengurusan Pembinaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) manakala Amin Izwan penuntut Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan UTHM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 7:02 AM