Penduduk Palestin memeriksa tapak serangan Israel ke atas gudang bantuan, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas, di kem pelarian Al-Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza 14 Mac 2024. foto  REUTERS
Penduduk Palestin memeriksa tapak serangan Israel ke atas gudang bantuan, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas, di kem pelarian Al-Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza 14 Mac 2024. foto REUTERS
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah


Sejak perang Israel-Hamas pada Oktober 2023, Meta yang juga syarikat induk kepada Facebook dan Instagram, dilaporkan melakukan penapisan 'sistemik dan global' terhadap kandungan pro-Palestin, menurut Human Rights Watch (HRW).

Ini berdasarkan laporan setebal 51 muka surat oleh badan pemerhati antarabangsa berhubung hak asasi itu yang diterbitkan di laman webnya pada akhir tahun lalu.

Menurut HRW yang berpangkalan di New York, ia mendokumentasikan dan menyemak lebih daripada 1,000 kejadian yang mana Meta dilaporkan mengalih keluar kandungan dan menggantung atau mengharamkan akaun secara kekal di Facebook (FB) dan Instagram (IG).

Laporan itu berkata, Meta mempamerkan enam corak utama penapisan yang tidak wajar terhadap kandungan untuk menyokong Palestin dan penduduk Palestin. Ini termasuk menurunkan hantaran (posting), story dan komen; melumpuhkan akaun; menyekat keupayaan pengguna untuk berinteraksi dengan siaran orang lain.

Selain itu, HRW mendakwa Meta melakukan shadow banning yang merujuk kepada tindakan menyekat (pengguna) dari laman media sosial atau forum dalam talian tanpa pengetahuan mereka. Ia biasanya dilaksanakan dengan membuat hantaran dan ulasan mereka tidak lagi kelihatan kepada pengguna lain.

Menurut badan pemerhati ini dalam laporan yang kini dilaporkan secara meluas oleh organisasi media antarabangsa, contoh yang dipetik termasuk kandungan yang berasal dari lebih 60 negara.

Namun, menurut HRW, kebanyakan kandungan ini dalam Bahasa Inggeris dan semuanya adalah dalam bentuk 'sokongan aman Palestin yang dinyatakan dalam pelbagai cara'. Malah, menurut HRW, hantaran pihaknya mengenai contoh penapisan dalam talian ini juga ditandakan sebagai spam.

Justeru HRW menyifatkan bahawa penapisan kandungan berkaitan Palestin di Instagram dan Facebook adalah sistemik dan global dan penguatkuasaan Meta yang tidak konsisten terhadap dasarnya sendiri menyebabkan penyingkiran kandungan yang salah mengenai Palestin, kata badan pemerhati itu dalam laporan berkenaan.

Laporan sama yang masih boleh diakses di HRW itu seterusnya berkata, 'pelaksanaan yang salah, terlalu bergantung pada alat automatik untuk menyederhanakan kandungan dan pengaruh kerajaan yang tidak wajar terhadap penyingkiran kandungan" sebagai punca masalah ini.

Meta dalam kenyataan balasnya kepada akhbar utama di United Kingdom, The Guardian, mengakui ia membuat kesilapan yang 'mengecewakan' orang ramai, tetapi mengatakan bahawa "implikasi bahawa kami secara sengaja dan sistematik menindas suara tertentu adalah palsu."

Ia mendakwa 1,000 contoh yang dinyatakan HRW itu adalah daripada jumlah besar kandungan yang disiarkan mengenai konflik (Israel-Hamas), adalah bukti penapisan sistemik mungkin menjadi tajuk yang baik, tetapi itu tidak menjadikan dakwaan itu kurang mengelirukan.

Meta juga menegaskan ia adalah satu-satunya syarikat di dunia yang mengeluarkan usaha wajar hak asasi manusia secara terbuka mengenai isu berkaitan Israel dan Palestin.

"Dasar kami direka untuk memberi suara kepada semua orang dan pada masa yang sama memastikan platform kami selamat," kata kenyataan syarikat itu.

Suka atau tidak, ini hakikat yang terpaksa dihadapi oleh mana-mana pengguna media sosial berkenaan dalam menyiarkan apa jua kandungan berhubung konflik ini. Mungkin itu juga membuatkan ramai pencipta kandungan lebih berhati-hati dalam menyiarkan apa jua bentuk kandungan di FB dan IG.

Ini sama sekali tidak menghalang dunia untuk terus mengetahui apa yang berlaku di Gaza. Penduduknya kini di ambang kebuluran dan jumlah kematian terkini yang sudah melebihi 30,000 orang. Ini belum lagi mengambil kesan kemusnahan luar biasa di wilayah tepi pantai itu.

Semakin disekat, semakin ramai yang sedar mengenai realiti pencerobohan Israel, sikapnya yang tidak pernah dan akan mengendahkan gesaan antarabangsa untuk usaha damai dan matlamat sebenarnya dalam perang ini.

Sama-samalah juga kita berdoa supaya ada perkembangan positif dalam usaha gencatan senjata di Gaza, lebih-lebih lagi ketika umat Islam mula menyambut bulan suci Ramadan mulai minggu ini.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 7:01 AM